BAB 4

Romance Series 6137

PANTULAN dirinya dalam cermin panjang itu dipandang lama. Cantik sangat. Sudah lama dia tidak berdandan seperti sekarang. Sejak dia berjaya mengenggam segulung ijazah setahun lepas, dia terus terkurung dalam dunia abangnya. Hari-hari dia diasak untuk membayar hutang abangnya. Walaupun dia dengan Azrul tidaklah rapat tapi dia rasa bertanggungjawab untuk membantu abangnya sebab hanya dialah satu-satunya darah daging dia sekarang.

Sejak ibu bapanya meninggal dalam kemalangan tiga tahun lepas, Azrullah tempat dia meminta pertolongan. Walaupun mereka tidak rapat tapi lelaki itu sentiasa ada di kala dia dalam kesusahan. Sudah tiga bulan dia cuba sedaya upaya dia untuk mencari wang bagi membayar semua hutang abangnya tapi sampai sekarang jumlahnya masih lagi sama. Dia pun tak tahu macam mana abangnya boleh berhutang dengan begitu banyak sekali.

"Cik dah siap?" Khayalan Amanina putus apabila seorang pekerja menegur dirinya. Dia tersenyum dan mengangguk. Malam ini dia akan diperkenalkan dengan mummy Irfan. Selepas saja dia bersetuju dengan tawaran lelaki itu, dia memang tahu hidupnya akan berubah 360 darjah. Dia harap sangat pengorbanan yang dia lakukan ini berbaloi.

"You look beautiful tonight." Pujian Irfan langsung tidak membuatkan dia kembang. Penampilan lelaki itu benar-benar menambat hatinya. Entah kenapa dadanya tiba-tiba berdebar tidak tentu pasal. Dia masuk ke dalam kereta sebaik saja pintu dibuka lelaki itu.

"Kenapa you nampak nervous sangat ni. Cuba rileks. Mummy I tak makan oranglah." Irfan bersuara apabila melihat wajah gadis di sebelahnya pucat. Dia tahu pasti Amanina gementar untuk berhadapan dengan mummynya nanti. Petang tadi, sewaktu dikhabarkan dia akan membawa Amanina pulang ke rumah, mummy tayang muka terkejut. Pasti tak sangka dengan perkhabarannya yang mendadak.

"Mummy, malam ni Fan bawa tetamu istimewa datang ke rumah."

"Siapa? Calon isteri kamu ke?"

"Insya-Allah kalau mummy berkenan."

"Kamu jangan nak bergurau Irfan."

"Betullah mummy. Malam ni Irfan bawa dia datang. Jangan risau, mummy pasti akan suka. Dia sesuai dengan taste mummy."

"Apa saya nak cakap kalau mummy awak tiba-tiba tanya soalan pelik?" soalan Amanina menghancurkan lamunan Irfan. Gadis yang cantik dengan dress di sebelahnya dipandang. Sememangnya dia tidak silap memilih. Gadis itu memang cantik dan manis. Walaupun tanpa senyuman, kecantikan gadis itu tetap terserlah.

"Soalan pelik? Contohnya?"

"Kalau dia tanya dah berapa lama kita bercinta. Macam mana kita kenal apa semua? Apa saya nak jawab?" Wajah Irfan dipandang sekilas. Sungguh, dia memang rasa gementar sangat-sangat. Ini kali pertama dia berhadapan dengan situasi macam ni.

"Pandai-pandailah you goreng. Asalkan benda itu logik tak apa, I tak kisah. Cuma kalau mummy tanya sejak bila kita bercinta, you cakap dah lima bulan dan kenapa hubungan ni dirahsiakan, you cakap sebab I yang minta. Okey." Amanina mengangguk perlahan, cuba menyemat informasi itu dalam kepalanya.

"MUMMY, inilah teman istimewa Fan. Nama dia Amanina." Irfan mula memperkenalkan Amanina kepada keluarganya. Riak wajah mummy sedikit berubah membuatkan Irfan menahan debaran dalam dada.

"Nina?"

"Aunty?"

Irfan terpinga-pinga.

"I tak sangka you dengan mummy I pernah kenal sebelum ni," soal Irfan sewaktu mereka di dalam kereta untuk menghantar Amanina pulang ke rumahnya. Pada mulanya dia terkejut apabila mengetahui yang mummy dan Amanina pernah jumpa. Nasib baik hanya sekali itu saja, kalau tak memang hancur rancangannya.

"Saya pun tak sangka yang Aunty Lina tu mummy awak," ujar Amanina. Sebaik saja tahu yang wanita itu merupakan ibu Irfan, dadanya yang ketat tadi terasa lega sangat. Tak sangka wanita yang pernah menjadi pelanggannya sewaktu dia bekerja di sebuah restoran itu masih mengenali wajahnya. Manakan tidak, wanita itulah yang pernah ditolongnya sewaktu hampir-hampir dilanggar kereta beberapa bulan lepas.

"Kecil kan dunia, pusing-pusing jumpa orang yang sama juga," komen Irfan pendek. Melihatkan kemesraan mummynya dengan Amanina tadi membuatkan harapan dia untuk memperisterikan gadis itu terbuka luas. Dia tahu mummy suka dengan pilihan dia, kalau tak takkanlah mummy susah nak melepaskan Amanina pulang tadi kalau tak ditarik pergi.

"Mummy awak baik sangat."

"Kenapa? You tak suka ke mummy I baik dengan you?" Amanina diam. Dia rasa bersalah sebab bagi harapan pada wanita itu. Dia tahu semua ini hanya satu lakonan semata-mata dan sebab itulah dia tak nak bagi harapan pada wanita itu. Dia tak nak wanita itu kecewa kelak.

"Awak tahu kan semua ini hanya sementara saja. Saya tak nak bagi harapan dekat mummy awak. Saya tak nak kecewakan dia." Amanina pandang jari jemarinya yang bertaut antara satu sama lain. Masalah abangnya belum lagi selesai dan sekarang dia sedang mencipta masalah baru.

"Jadi jangan kecewakan dia."

"Apa maksud awak?" Kereta mereka berhenti sebaik saja lampu isyarat bertukar warna merah. Amanina menanti jawapan daripada lelaki itu.

"Marry me." Bukan ayat tanya tapi lebih kepada ayat penyata. Dia benar-benar ikhlas mahu memperisterikan gadis itu. Ya, memang perasaan cinta belum wujud dalam hati dia, hanya perasaan sayang saja tapi nak melepaskan gadis itu pergi, bukan dalam rancangan dia.

"Apa awak cakap? Jangan merepek boleh tak?" Suara Amanina sedikit bergetar. Terkejut dengan lamaran daripada lelaki itu. Mereka baru kenal dua hari dan tiba-tiba lelaki ini mengajak dia kahwin. Tak ke gila namanya.

"I tak merepek. I sedang melamar you sekarang. I nak jadikan you isteri I." Wajah Amanina dipandang. Sejak mengenali gadis itu dua hari lepas, dia mula jatuh suka pada gadis itu. Dia sudah mengetahui semua latar belakang gadis itu melalui orang upahan dia dan kisah hidup gadis itu membuatkan dia bersimpati tapi pada masa yang sama dia kagum dengan kesabaran gadis itu.

"Perjanjian kita tak ada menyebut hal kahwin jadi jangan paksa saya kahwin dengan awak. Kita baru kenal dua hari. Awak pun belum tahu lagi perangai saya, hidup saya macam mana jadi kenapa tiba-tiba awak melamar saya?" Suara Amanina mula tegang. Dia tak suka dengan situasi sekarang. Dia tak suka apabila lelaki itu cuba membeli seluruh hidupnya dengan wang ringgit.

"Ya, memang semua ni tak ada dalam perjanjian kita. I tak paksa you untuk kahwin dengan I cuma I bagi peluang untuk you mulakan hidup baru selepas you selesaikan urusan abang you." Dengan tenang Irfan menjawab. Semua itu cuma satu alasan sedangkan hakikat sebenarnya dia tak mampu melepaskan gadis itu. Ini kali pertama perasaan itu bertandang dalam hati dia.

"Thanks but no thanks. Saya boleh mulakan hidup baru sendiri. Awak tak perlu masuk campur dalam urusan hidup saya," balas Amanina dingin. Dia hargai sangat apabila lelaki itu sudi menghulurkan bantuan di saat dia memerlukan tapi cukup hanya sekadar di sini saja.

KERETA membelok masuk ke kawasan rumah Amanina dan sebaik saja lampu kereta menyuluh dinding rumah, muka Amanina terus berubah. Tangannya mula mengeletar dan wajahnya pucat. Irfan di sebelah pun turut sama terkejut.

Jelas di matanya cat merah yang membasahi dinding rumah itu dan kawasan-kawasan lain. Semua barang berselerakan dan ada yang pecah. Irfan terus keluar dari kereta apabila melihat Amanina berdiri mengadap rumahnya. Dia faham perasaan gadis itu sekarang. Pasti terkejut.

Air mata Amanina mula bergenang. Sungguh dia takut dengan situasi sekarang. Ini kali pertama dia terpaksa hadap semua benda ini. Kakinya hampir saja gagal berfungsi tapi digagahkan juga untuk melangkah mendekati tiang rumah. Sekeping kertas yang terdampar atas tangga rumah diambil.

Esok hari last kau bayar hutang. Kalau sebelum pukul sebelas tengah hari duit aku belum sampai. Kau anggap sajalah abang kau dah tak wujud.

Lutut Amanina akhirnya gagal bertahan. Dia hampir rebah ke lantai tapi cepat disambut Irfan. Wajah gadis itu semakin pucat. Walaupun tiada air mata yang mengalir tapi dia tahu dalam diam gadis itu menangis. Setelah beberapa minit berkeadaan sedemikian, Amanina mula bangun.

"Awak baliklah Irfan. Dah lewat ni. Terima kasih hantar saya pulang." Sekarang dia perlukan masa untuk bersendirian. Walaupun dia takut untuk masuk ke dalam rumah tapi apa pilihan yang dia ada. Itulah satu-satunya tempat dia berteduh sekarang.

"No. Ikut I balik rumah."

"Tak apa. Awak baliklah."

"No. You jangan nak buat kerja gila. Lepas apa yang jadi, you still lagi nak duduk rumah ni. You tak takut ke Nina?" Suara Irfan mula meninggi. Geram dengan kedegilan gadis itu. Sekarang dia memang risaukan keselamatan Amanina.

"Saya..."

"Dah, jangan degil. Ikut I balik." Lengan gadis itu ditarik masuk ke dalam kereta. Amanina mengalah. Dalam keadaan emosi yang tidak stabil, ada baiknya dia ikut arahan lelaki itu. Keselamatan dia yang utama sekarang. Nasib baik ketika itu dia tak ada di rumah, kalau tak entahlah apa nasib dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience