BAB 7

Romance Series 6137

SUDAH seminggu berlalu dan dalam seminggu itu keadaan sudah kembali normal. Abangnya juga sudah mula sihat dan sudah boleh berjalan semula walaupun bertongkat. Sudah banyak kali dilarang tapi abangnya tetapi berdegil ke hulu ke hilir membuat kerja. Dia tahu abangnya buat semua itu sebab tak nak menyusahkan dia. Dia faham abangnya rasa bersalah atas apa yang berlaku.

"Assalamualaikum." Suara orang memberi salam membuatkan Amanina terus keluar dari dapur.

"Waalaikumussalam. Naiklah aunty." Senyuman pahit tertampal di bibir dia. Ini bukan kali pertama Aunty Lina hadir ke rumahnya. Sejak mengetahui kejadian yang menimpanya, wanita itu tak berhenti menelefon bertanya khabar. Mujurlah Aunty Lina tidak memarahi dia sebab melibatkan Irfan dalam masalahnya sebaliknya wanita itu sangat memahami dirinya. Sering bertanya khabar dia dua beranak dan mengirimkan makanan untuk mereka. Sungguh, dia rasa terhutang budi dengan wanita itu.

"Duduklah dulu aunty, biar Nina buatkan air."

"Eh, tak payah. Aunty datang sekejap saja ni. Nak bagi kek dekat Nina. Ni aunty buat sendiri tau. Cubalah rasa. Sedap ke tidak." Amanina senyum. Bekal yang dihulurkan wanita itu diambil dan dibawa masuk ke dapur. Aunty Lina mengekori dari belakang. Dia duduk memerhati gadis itu menyediakan minuman dan keknya tadi.

Sebenarnya dia datang sini ada hajat, dia mahu meminang gadis itu untuk Irfan. Ini bukan kali pertama dia datang ke sini, tapi dah tiga kali dan semua pinangannya ditolak Amanina. Dia pun sudah tak tahu bagaimana caranya lagi untuk memujuk gadis itu menerima pinangan dia. Anak terunanya di rumah pun tidak putus harapan berdoa yang Amanina akan terbuka hati menerima kehadiran dia.

Dia tahu kisah yang berlaku dalam hidup gadis itu. Sejujurnya dia bersimpati walaupun terselit juga perasaan marah sebab Irfan menipu dirinya tapi apakan daya dia memang sudah jatuh sayang dengan gadis itu. Kali pertama berjumpa pun dia sudah dapat melihat peribadi mulia gadis itu. Mana mungkin dia menolak pilihan Irfan apabila pilihan itu sama dengan dia.

"Minumlah aunty. Air bujang saja." Suara Amanina menyedarkan Aunty Lina daripada lamunan. Dia tersenyum segaris.

"Aunty datang ni bukan saja-saja kan." Amanina terus pada tujuan asal. Dia tahu kedatangan wanita itu bersebab dan jawapan dia tetap sama.

"Nina pun dah tahu jadi tak perlulah aunty terangkan semula. Jadi... apa jawapan Nina?" Kali ni dia memang mengharapkan akan ada jawapan lain daripada gadis itu tapi harapan dia hancur.

"Maaf aunty. Jawapan Nina tetap sama. Nina tak layak untuk Irfan." Aunty Lina mengeluh lemah. Jawapan yang sama dari gadis yang sama.

"Nina... sejujurnya aunty kecewa. Nina tahu kan ini lamaran keempat daripada aunty. Kalau boleh aunty tak nak buat benda yang sama berulang kali tapi aunty cuba juga sebab aunty mengharapkan Nina akan faham Irfan tapi aunty silap. Ayat 'Nina tak layak untuk Irfan' itu tak sepatutnya keluar dari mulut Nina. Aunty tak pernah pandang harta pun sayang. Aunty cuma nak Nina jadi menantu aunty, isteri Irfan. Nina tahu kan Irfan sentiasa tunggu Nina dan aunty tahu Nina pun simpan rasa yang sama macam Irfan jadi kenapa nak nafikan semua ini lagi. Cuba cakap dengan aunty apa masalahnya yang sebenar? Kenapa Nina susah nak terima Irfan?" Aunty Lina cuba berlembut. Dia tahu ada sesuatu yang menghalang gadis itu menjadi sebahagian daripada keluarga dia.

"Nina..." Kata-katanya mati di situ. Tidak tahu ayat apa yang perlu dikarang untuk dijadikan alasan. Apa yang wanita itu katakan betul. Memang dia simpan rasa yang sama dengan Irfan. Dia pun baru sedar perkara itu tapi untuk menerima lamaran lelaki itu, sukar untuk dia berkata ya. Memang dia mahu menjadikan lelaki itu yang halal untuk dia tapi memikirkan keadaan dia dan abangnya membuatkan dia menolak.

"Okey, aunty faham. Aunty bagi Nina masa seminggu untuk fikirkan balik lamaran aunty. Kalau dalam masa itu Nina belum bagi jawapan, aunty anggap Nina tolak lamaran itu." Amanina hanya pegun di meja makan walaupun sudah setengah jam Aunty Lina menghilang. Dia keliru dengan perasaannya sekarang. Suka, tapi dia menolak. Kenapa?

PINTU bilik anak bujangnya dikuak perlahan. Kelihatan susuk tubuh Irfan duduk termenung di balkoni bilik. Perlahan-lahan dia melangkah mendekati anaknya.

"Irfan..."

"Jawapan Nina tetap sama kan mummy?" Aunty Lina kaku di tempatnya berdiri. Walaupun tidak dikhabarkan jawapan gadis tadi, dia tahu Irfan sudah dapat meneka.

"Irfan..." Sekali lagi nama anaknya diseru tapi cepat-cepat dipintas Irfan.

"Irfan okey mummy. Irfan dah agak benda ini akan berlaku. Mummy tak payah risaulah, Irfan okey." Kalau boleh dia tak nak mummynya ulang ayat memujuk yang sama. Dia dah hadam semuanya. Dia pun dah tahu jawapan gadis itu sebelum bertanya. Sejujurnya dia kecewa tapi apakan daya itu pilihan Nina. Dia tak akan membantah tapi sebaliknya. Dia cuba memberi masa untuk gadis itu berfikir.

"Irfan tahukan Nina sayangkan Irfan. Bagi dia masa ya sayang." Aunty Lina memujuk. Dia berharap tempoh seminggu yang diberikan kepada gadis itu dapat mengubah fikiran dia. Tangannya naik menyentuh bahu anaknya, memujuk dalam diam. Irfan pula hanya tersenyum tawar.

"BOLEH abang tanya sesuatu?"

"Tanya apa?" Amanina sibuk dengan jarum dan benang kait di tangan. Itulah hobi dia pada hari minggu. Daripada habiskan masa dengan benda tak berfaedah, ada baiknya dia mengait, sekurang-kurangnya dapatlah dia menjual hasilnya nanti.

"Kenapa Nina tolak lamaran Irfan? Ini bukan kali pertama Nina tolak lamaran dia. Jadi, boleh abang tahu kenapa?" berhati-hati dia bertanyakan soalan sebab dia tak nak menyakiti adiknya. Amanina sudah banyak berkorban untuk dia dan Irfan pun sama. Kalau boleh dia nak lelaki itu menjadi adik ipar dia tapi dia tak boleh memaksa Amanina untuk menerima lelaki itu. Dia hormat dengan keputusan adiknya.

"Nina tak layak untuk dia abang. Kita..."

"Kenapa nak libatkan 'kita' dalam urusan hidup Nina?" celah Azrul laju. Dia tak suka apabila adiknya menggunakan alasan taraf yang berbeza untuk menolak lamaran Irfan.

"Kalau Aunty Lina pandang pada harta, pada status kita, dia takkan datang lamar Nina banyak kali. Dia orang pun ada perasaan malu juga Nina. Dia orang tahu Nina akan menolak tapi masih lagi mencuba. Itu dah cukup membuktikan yang Irfan memang nak kahwin dengan Nina. Jadi, kenapa nak jadikan taraf dan harta sebagai ukuran."

Amanina diam. Kata-kata abangnya memang benar. Dah banyak kali dia menolak tapi Aunty Lina masih tidak berputus asa untuk menghantar lamaran lagi. Irfan pun banyak bersabar dengannya selama ini. Mesej dan panggilan daripada lelaki itu pun langsung dibiarkan tidak berjawab. Dia sengaja menjarakkan diri daripada Irfan tapi dia tahu lelaki itu sentiasa memantau pergerakan dia melalui abangnya.

"Fikir baik-baik Nina. Jangan bila dah terlambat baru nak menyesal. Abang tak nak Nina buat keputusan melulu. Abang tahu Nina dan Irfan saling suka sama suka dan abang nakkan yang terbaik untuk adik abang. Kalau boleh memang abang nak Nina kahwin dengan Irfan. Bahagia sama-sama. Cukuplah abang membebankan Nina selama ini. Jadi sekarang ni abang nak Nina fikirkan kebahagiaan Nina." Azrul memujuk dalam diam. Dia mahu adiknya bahagia dan apa yang dia nampak, inilah kebahagiaan untuk adiknya. Bersama dengan Irfan, dia yakin adiknya boleh bahagia.

"Nina sayangkan dia tapi Nina..." Amanina bersuara setelah sekian lama membisu. Pandangannya dibuang jauh ke dada langit. Semua kata-kata Azrul disimpan dalam mindanya. Dia tahu Azrul inginkan yang terbaik untuknya dan dia pun mahukan benda yang sama.

"Tapi kenapa? Apa yang menghalang Nina untuk terima dia dalam hidup Nina?"

"Abang tahukan yang Nina baru saja kenal dia dan kami belum kenal antara satu sama lain sepenuhnya. Nina takut nanti Nina..."

"Sebenarnya Nina takut Nina akan kecewa. Nina takut Irfan tu tak sama seperti yang Nina jangkakan? Itu yang Nina risaukan sebenarnya?" Amanina diam. Mengiyakan pun tidak menolak pun tidak.

"Sebenarnya benda ni mudah saja. Kenal dengan Irfan. Nina berkawan dulu dengan dia dan lepas tu barulah Nina buat keputusan sama ada dia layak atau tidak untuk Nina. Jangan buat keputusan macam ni. Kata orang, tak kenal tak cinta. Jadi, abang nak Nina kenal dengan dia dulu barulah Nina buat keputusan. Sekurang-kurangnya Nina tak akan menyesal dengan keputusan Nina nantl."

Berkawan dengan Irfan? Ya, sepanjang dia kenal dengan lelaki itu, mereka belum pernah lagi bertemu empat mata. Dalam erti kata lain, menjadi kawan. Sepatutnya dia mulakan semuanya daripada awal lagi. Kemudian, barulah dia boleh buat keputusan. Adil untuk kedua-dua belah pihak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience