BAB 6

Romance Series 6138

"I tunggu awak dekat sini. Kalau ada apa-apa, I nak you jerit." Irfan risaukan gadis itu. Kalau boleh dia nak temankan Nina tapi apabila Daos menyuruh gadis itu pergi sendirian, makanya dia terpaksa mengikut. Dia bimbang sekiranya abang gadis itu diapa-apakan.

"Terima kasih Irfan. Saya terhutang budi dengan awak." Amanina takut tapi dia perlu kuat. Dia perlu selamatkan abang dia. Ya, dia mesti jadi kuat. Demi abang dia.

"I tunggu awak dekat sini." Amanina pandang wajah Irfan. Sungguh dia memang terhutang budi dengan lelaki itu. Di saat dia memerlukan bantuan, lelaki itu datang memberi pertolongan. Walaupun bersyarat tapi semua itu tidak setanding dengan bantuan yang dia berikan.

Telefon Amanina berbunyi. Dia yakin Daos yang menelefon.

"Dah nak masuk pukul sebelas. Takkanlah kau dah lari kot."

"Aku dah sampai." Panggilan dimatikan sebelum dia melangkah mendekati gudang lama, tempat perjumpaan mereka. Semakin dekat dengan pintu masuk, semakin kuat debaran di dadanya. Tali beg berisi wang bernilai 30 ribu ringgit digenggam kemas sebelum dia melangkah masuk ke dalam bangunan itu.

"Datang pun kau. So, mana duit aku?" Beg dicampakkan di hadapan lelaki itu.

"Mana abang aku?" Daos senyum sinis. Disuruh anak buahnya memeriksa beg yang dibawa Amanina. Melihatkan not-not berwarna ungu di dalam itu membuatkan bibir Daos mengukirkan senyuman. Dia memberi isyarat untuk membawa Azrul keluar daripada bilik.

"Aku ingatkan kau akan lari tapi tak sangka kau datang juga. Daripada mana kau dapat duit ni? Takkanlah kau dah..." Anak mata lelaki itu menyoroti badan Amanina. Dia tahu gadis itu faham apa yang cuba diperkatakannya.

"Bukan urusan kau. Mana abang aku." Amanina cuba untuk bertahan walaupun hakikatnya dia gusar memikirkan nasibnya sekarang ini. Melihatkan anak buah lelaki itu yang agak ramai lagilah membuatkan dia takut. Dia takut sekiranya lelaki itu ada niat lain disebalik semua ini.

"Abang!" Amanina terus meluru ke arah Azrul yang sudah dibawa keluar. Wajah lelaki itu yang basah dengan darah dipegang. Automatik air matanya mengalir. Melihatkan keadaan abangnya yang teruk itu membuatkan amarahnya memuncak. Entah bagaimana keadaan abangnya sepanjang dikurung selama sebulan.

"Abang. Ni Nina. Abang..."

"Lari Nina. Lari." Suara Azrul dapat didengari jelas walaupun perlahan. Dia tahu abangnya risaukan keselamatan dia tapi sekarang dia lagi risaukan keadaan abang dia. Dia bimbang sekiranya ada luka yang tersembunyi di badan Azrul.

"Tak. Nina takkan tinggalkan abang. Jom keluar." Dia cuba memapah Azrul untuk keluar tapi ditahan konco-konco Daos.

"Apa lagi yang kau nak? Aku dah bayar hutang kau kan. Jadi lepaskan abang aku. Kau dah janji kan." Suara Amanina sedikit kuat. Marah dan sakit hati. Sepatutnya dia tak percayakan lelaki itu.

"Janji? Kau tahu apa fungsi janji? Janji dibuat untuk dimungkiri, sayang. Sepatutnya kau tak percayakan aku tapi disebabkan kau bodoh sangat, terima sajalah nasib kau." Serentak dengan itu, pintu gudang ditutup rapat. Riak wajah Daos juga sudah berubah. Amanina tahu dia takkan terlepas. Ketakutan mula merajai dirinya. Azrul yang sedang dipapahnya juga sudah mula memberat. Dia tahu abangnya sudah semakin lemah. Dalam keadaan sekarang, dia berharap sangat Irfan akan selamatkan dia.

"Dasar jantan tak guna! Kau..." Amanina cuba melawan tetapi pantas dirinya dipegang anak buah Daos. Abangnya juga sudah rebah ke lantai. Melihatkan Daos yang semakin merapat membuatkan Amanina dilanda ketakutan.

Bunyi bising mengalihkan tumpuan mereka semua. Salah satu cermin di bahagian kanan gudang sudah pecah dibaling bata sebelum muncul kelibat seseorang melompat dari luar gudang. Irfan!

Perasaan lega mula bermukim dalam hati Amanina tetapi bila sedar yang Irfan cuma berseorangan membuatkan dia kembali takut. Melihatkan satu persatu anak buah Daos tumbang, Amanina mula mencari jalan untuk melepaskan diri. Lengan lelaki yang memegangnya digigit kuat sebelum kepalanya dihantukkan ke dagu lelaki itu. Terlepas saja daripada pegangan mereka, dia pantas bergerak ke arah abang dia tetapi langkahnya mati apabila lengannya ditangkap dan mulutnya ditekap sesuatu. Sesaat, pandangannya mula kelam dan hitam.

PERLAHAN-LAHAN kelopak matanya dibuka. Badannya terasa sengal dan sakit. Dia tak tahu apa yang berlaku tadi, sedar-sedar saja mulutnya sudah ditekup seseorang sebelum pandangan matanya gelap. Matanya liar memerhatikan sekeliling. Sedar yang dia dalam bilik kosong, pasti semua ni kerja Daos. Dia tahu lelaki itu takkan lepaskan dia semudah itu. Dia tahu lelaki itu mahukan dia untuk melampiaskan nafsu.

Amanina cuba untuk bangun. Walaupun susah dengan tangan yang terikat di belakang tapi dia mencuba juga. Dia perlu keluar dari sini dan selamatkan abang dia. Dia juga risaukan keadaan Irfan. Seorang lawan sepuluh orang, mana mungkin lelaki itu akan menang. Sedang mindanya ligat mencari jalan keluar, pintu bilik dibuka seseorang. Muncul Daos dengan baju yang berlumuran dengan kesan darah. Wajah lelaki itu pun turut sama bengkak dan berdarah. Pasti hasil tangan daripada Irfan.

"Kau dah bangun eh betina!" Tanpa dijangka sebuah tamparan hinggap di wajah dia. Bingit telinga seketika. Pipi kirinya terasa berpijar penangan tangan jantan. Terasa ada cecair mengalir dari bibirnya. Darah.

"Aku tak sangka kau bawa jantan lain datang sini. Aku dah cakap kan kau datang sorang saja. Kau dah hilang ingatan ke? Mesti jantan tu yang bagi duit dekat kau kan. Dia kan!" Tangan Daos mula mencengkam wajah gadis itu. Terasa amarahnya mengunung apabila ada lelaki lain yang tiba-tiba datang jadi penyelamat gadis itu. Disebabkan lelaki itu jugalah, dia hampir rebah bertumbuk tadi. Memang dasar betina sundal!

"Kenapa? Kau ada masalah ke kalau aku pinjam duit dia? Aku dah bayar hutang kau kan jadi lepaskan abang aku!" Amanina menjawab dengan berani. Dalam keadaan sekarang, ketakutan hanya membuatkan lelaki itu lebih berani. Lagipun dia tak tahu apa yang berlaku di luar sana sekarang ni. Macam mana kondisi abangnya dan juga Irfan. Dia yakin yang Irfan pasti ada rancangannya yang tersendiri. Mereka datang ke sini bukannya dengan tangan kosong!

"Tak semudah itu sebab kau masih ada hutang dengan aku lagi." Melihatkan senyuman sinis yang tersungging di bibir lelaki itu membuatkan Amanina sudah dapat mengagak apa tindakannya nanti.

"Sebelum aku bagi kau balik, kenapa tak kau layan aku dulu. Jangan risau, aku akan bayar kau." Daos membuka kemeja yang membalut badannya. Dia mula mendekati gadis itu. Lupakan kesakitan yang bersarang di badannya sebab sekarang ini hidangan yang terbentang depan matanya lebih menyelerakan.

Sebaik saja Daos mendekat, Amanina terus membuka langkah. Kepalanya terus dihantukkan pada lelaki itu sehingga Daos mengerang kesakitan. Peluang itu diambil untuk dia melarikan diri. Pintu bilik yang terkunci cuba dibuka tapi gagal. Melihatkan Daos yang sudah mula sedar, Amanina mula ambil langkah berjaga-jaga. Memang dia tak punya sebarang pengiktirafan dalam mana-mana seni mempertahankan diri tapi dia masih tahu asas yang diajar abangnya dahulu. Thanks to him yang masih mengajar dia walaupun ditolak berkali-kali.

Daos menjerit marah sebelum mula meluru ke arah Amanina tapi laju dielak gadis itu sebelum kakinya naik menyepak betis lelaki itu. Terduduk Daos atas lantai sambil menjerit kesakitan. Bermacam-macam sumpah seranah keluar daripada mulut dia. Di kesempatan itu, Amanina mencapai serpihan kaca daripada botol yang sudah pecah sebelum menghiris tali yang melilit pergelangan tangan dia. Sedang dia terleka, Daos kembali menyerang. Tubuh mereka jatuh menimpa katil.

"Dasar betina sundal! Bodoh!" Wajah Amanina ditampar lelaki itu berkali-kali sehingga darah mula mengalir. Amanina cuba bertahan walaupun kesakitan mula mencucuk. Bunyi pintu ditendang mengalihkan tumpuan Daos. Dua kali tendangan, pintu yang menjadi tembok pemisah itu sudah terbuka. Muncul Irfan dengan wajah yang berlumuran darah. Pantas dia menyerang Daos. Bertubi-tubi pukulan dan sepakan singgah di badan lelaki itu sebelum rebah ke bumi.

Melihatkan Daos tidak memberi sebarang tindak balas, Irfan terus berhenti menumbuk. Dia mula fokus kepada Amanina. Hatinya terasa bagaikan dihiris apabila melihat keadaan gadis itu. Terasa dayusnya dia membiarkan gadis itu terluka.

"Nina... you okey tak?" Badan Amanina dibangunkan dan ikatan tangannya dibuka. Darah yang mengalir di wajah gadis itu disapu lembut, serentak dengan itu bunyi siren polis bergema di telinga. Amanina mengeluh lega. Kesakitan di badannya semakin terasa tapi hanya satu saja dalam fikirannya sekarang ini.

"Abang saya mana?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience