BAB 9 - Panggilan Misteri

Horror & Thriller Series 30750

Selepas tamat pengajian di Matrikulasi, aku berkerja sambilan di salah sebuah hotel di Pahang sementara menunggu panggilan untuk menyambung pengajian di Universiti tempatan. Aku bekerja sebagai F & B dan ditugaskan bekerja di restoran yang berdekatan dengan pantai. Aku bekerja di shif pagi dan apa yang membuatkan aku berasa sangat pelik, kebanyakkan pekerja di sini tidak mahu bekerja di shif malam. Bagi aku bekerja pada waktu malam sangat rileks dan tidak memenatkan.

Jadi dipendekkan cerita, semasa bos ingin menyusun jadual staf, aku telah meminta kepada bos untuk bekerja di shif malam memandangkan tiada sesiapa yang ingin bekerja di shif tersebut. Setelah seminggu aku bekerja di shif ini, tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah kisah seram aku bermula pada suatu malam, sewaktu sibuk mengemas, aku menerima panggilan servis bilik dari pelanggan.

Waktu tu dalam pukul 4 pagi, aku hairan. Masih ada yang belum tidur. Dari skrin telefon, tertera nombor bilik bagi memudahkan pekerja menghantar pesanan. Aku pun menjawab panggilan tersebut dan kedengaran suara perempuan. Suaranya agak lemah.

Dia memesan burger dan segelas jus oren. Tanpa berlengah aku memberi pesanan tersebut kepada kawan yang bekerja di bahagian dapur. Setelah siap, aku menghantar pesanan tersebut.

Aku masih baru dan tidak hafal kedudukan bilik di hotel ini, setelah puas mencari, aku sampai di bilik tersebut. Hairan mengapa pelanggan hotel ni menginap di bilik yg agak jauh dari bilik-bilik yang lain. Aku menekan loceng bilik beberapa kali, tetapi seperti tiada orang di dalam bilik tersebut.

Selepas beberapa kali aku cuba memanggil, aku mengambil keputusan pergi semula ke bahagian reception untuk meminta bantuan kawan aku menelefon nombor bilik tersebut. Setelah memberitahu nombor bilik, kawan aku agak terkejut kerana berdasarkan rekod, tiada sesiapa yang menginap di bilik hotel tersebut pada malam itu.

Aku semak semula resit dan memang tertera nombor bilik hotel tersebut. Tidak mungkin kesilapan sistem. Muka kawan aku agak pucat dan menyuruh aku kembali ke restoran dan melupakan hal tersebut.

Pada keesokkan harinya, kawan saya yang bekerja di bahagian reception pada malam itu memberitahu kepada saya bahawa bilik tersebut memang agak sedikit ‘keras‘ dan itulah sebab mengapa staf di sini tidak suka bekerja di shif malam.

Dia memberitahu sebelum ini ada seorang perempuan telah membunuh diri di bilik tersebut dengan menjerut lehernya menggunakan kabel telefon dan perkara ini tidak dihebohkan bagi menjaga nama baik hotel tersebut. Sejak dari kejadian itu, staf yang bekerja di shif malam sering diganggu dengan panggilan aneh dan misteri dari bilik hotel tersebut. Kawan-kawan lain sengaja tidak menceritakan hal tersebut kepada aku kerana risau aku akan takut bekerja di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience