BAB 5

Romance Completed 1234

Aku mencebik. "Kalau betul kau wujud, kenapa tak pernah ada apa-apa kenyataan dari pihak NASA. Kami juga ada teleskop..."

Belum sempat aku menghabiskan ayat, dia terus memotong. "Masalahnya, penduduk bumi terlalu ego. Mereka ingat mereka penduduk tunggal di seluruh galaksi!" Ujarnya bersemangat. Aku senyum sinis. Nampaknya gadis ini benar-benar mahu meneruskan lakonannya sebagai 'gadis dari bulan'.

"Nama aku Hana." Dia memperkenalkan diri.

"Aiman." Ujarku perlahan. Simpang masuk ke Pantai Klebang cuma beberapa meter dihadapan. Aku memperlahankan kereta sebelum membelok masuk.

Nampaknya cuaca menyebelahi aku. Sampai sahaja di Pantai Klebang, langit jadi cerah tanpa awan. Bintang yang berselerak atas kepala nampak jelas dan lebih indah dari apa yang pernah aku lihat sebelum ini. Gadis di sebelah, atau patut aku panggil Hana, sudahpun melepaskan diri dari belitan tali pinggang keledar. Dia keluar dengan senyum yang lebar terukir pada bibir, sebelum berlari-lari anak menuju ke persisiran pantai.

Aku berdiri berdekatan dengan tempat Hana berlari-lari. Gadis itu... Sungguh pelik. Tapi pelik dalam caranya yang tersendiri. Aku mengambil duduk sambil memerhatikan gadis genit itu berpusing-pusing seorang diri di tengah pantai. Aku kemudiannya berjalan mendekati Hana dan berhenti setelah aku berada dalam dua meter daripadanya. Dia berhenti berpusing-pusing.

Hana ketawa sedikit sebelum dia jatuh rebah menghempas pasir pantai. Katanya dia terlalu pening. Dia cuba juga untuk bangun, namun sekali lagi dia rebah. Tapi, kali ini dia pilih untuk terus berbaring sambil merentangkan tangannya. Anak mata hitamnya merenung dada langit dengan penuh minat. Aku mendongak, turut memandang langit.

"Sangat... menarik..."

Kertas dalam genggamannya dibuka. Beralaskan pasir pantai, dia membuat satu garisan yang panjang dalam kotak bernombor 6 - berbaring di bawah bintang. "Aku tak pernah sebegini dekat dengan alam..." Satu senyum puas terukir pada bibir mungilnya. Pasir pantai yang putih melekat-lekat pada tapak kakinya. "Aku suka rasa ni... Rasa geli bila pasir terlekat pada celah-celah jari kaki." Jari-jemarinya digoyang-goyang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience