BAB 5

Romance Completed 13605

Kehidupan pada semester akhir ini diteruskan seperti biasa. Sekali lagi kumpulan Hidayu Aishah perlu bergabung dengan kumpulan B dan C bagi salah satu subjek wajib yang telah ditetapkan. Adenan Faiz telah dilantik menjadi wakil kelas setelah semua pelajar sebulat suara melantiknya berdasarkan kewibawaan dia menjadi wakil kelas pada semester lepas. Hidayu Aishah pula tidak terkecuali dari menjadi mangsa dilantik sebagai penolong wakil kelas.

Hidayu Aishah menerima dengan hati yang separuh terbuka kerana semester ini merupakan semester akhir dan dia perlu menumpukan lebih perhatian kepada Projek Tahun Akhir yang memang diwajibkan kepada para pelajar. Melalui Husna Asyikin, dia mendapat sedikit kekuatan untuk meneruskan amanah menjadi penolong wakil kelas ini. Apakan daya, dia sangkakan yang panas akan sampai ke petang, namun telahannya tidak tepat apabila rupa-rupanya ribut petir sudah melanda selepas waktu Dhuha.

Terdapat segelintir pelajar yang tidak suka melihat Hidayu Aishah yang baik dengan Adenan Faiz. Mereka merasakan bahawa Adenan Faiz memberi layanan istimewa kepada Hidayu Aishah. Berita mengenai hal ini akhirnya sampai juga ke telinga empunya diri. Hidayu Aishah hanya mampu beristighfar mendengar tohmahan itu.

Dia tidak merasakan bahawa Adenan Faiz memberi layanan istimewa kepadanya. Adenan Faiz merupakan seorang yang suka menolong orang lain yang dalam kesusahan. Bukan Hidayu Aishah sahaja yang ditolongnya, rakan-rakan perempuan dan lelaki yang lain turut mendapat pertolongan ikhlas dari Adenan Faiz yang tidak pernah mengharapkan balasan. Dan semestinya dengan perangainya yang gila-gila dan peramah itu membuatkan dia senang bergaul dengan semua lapisan perangai pelajar.

Hidayu Aishah cuba untuk tidak memikirkan gosip liar yang tersebar namun perasaannya yang berkecamuk gagal mencerna arahan dari otaknya untuk tidak memikirkan perkara tersebut. Sedang dia berbaring merenung kosong siling biliknya selepas membaca surah Al-Mulk, telefon bimbitnya mengeluarkan bunyi tanda ada panggilan masuk. Dia bangun mencapai telefon bimbitnya yang berada di meja belajar dan kembali berbaring semula.

“Helo, Assalaamu`alaikum. Hmm, kenapa call?”

“Wa`alaikumussalam. Aku nak cakap something ni. Kau tengah sibuk ke?”

“Kalau pasal pelajaran cakap je lah, kalau pasal benda lain lupakan je lah.”

“Ok, benda ni tak ada kaitan dengan pelajaran, tapi kalau tak dibendung mungkin boleh menjejaskan pelajaran.”

“Ada-ada je kau kan. Apa dia?” Hidayu Aishah bersuara tegas. Dia sememangnya tidak suka berurusan dengan lelaki jika tiada sebarang keperluan.

“Aku tahu kau mesti ada dengar gosip liar yang langsung tak merangsang sel-sel otak untuk berhubung dekat fakulti kita kan? And aku tahu kau mesti stress pasal tu. So, aku nak cadangkan sesuatu pada kau ni.”

“Aku malas nak layan benda-benda macam tu. Yang kau beria sampai call aku ni kau nak cadangkan apa?”

“Aku nak cadangkan supaya kita couple. Kau sudi tak?”

“Astaghfirullahal`adzim, Aden! Apa yang kau merepek ni?” Hidayu Aishah yang terkejut dengan cadangan Adenan Faiz itu serta-merta terbangun dari pembaringan.

“I’m so sorry Hida. Kau jangan salah faham pula. Matlamat aku cuma nak mereka stop cakap pasal kita. Kalau mereka tahu kita couple, maka lojiklah kalau mereka nampak macam aku layan kau dengan baik.”

“I’m so sorry, Aden. Aku tak boleh terima cadangan kau yang ni. Kalau kita couple sekalipun mana ada jaminan yang mereka akan tutup mulut. Kita seolah-olah mengiyakan apa pandangan mereka pada kita. Sedangkan itu semua tak betul. Kau tolong aku sama macam kau tolong kawan-kawan kita yang lain. Tak ada bezanya pun. Aku pun tak faham apa yang mereka nampak lainnya.” suara Hidayu Aishah sudah sedikit meninggi.

“Okay, I’m so sorry Hida. Aku tak patut cadangkan kita couple.”

“It’s okay Aden. Kita manusia tak lepas dari melakukan kesilapan. Aku tak nak couple walau dengan kau atau orang lain sekalipun. Allah dah pesan jangan menghampiri zina dan couple tu dah selangkah ke arah zina. Pasal apa yang mereka gosipkan tu biarlah. Allah tak akan uji kita kalau kita tak mampu untuk hadapi ujian tu. Ujian yang Allah beri tu adalah nikmat sebenarnya. Peluang untuk kita meningkatkan keimanan. Wallahu`alam.” Suara Hidayu Aishah kini sudah mengendur.

“Astaghfirullaahal`adzim. Aku hampir terpedaya dengan hasutan syaitonirrojim. Thanks Hida sebab tolak cadangan aku ni. Baru aku tersedar.”

Usai menjawab salam Adenan Faiz, Hidayu Aishah memperbaharui wudhuknya dan duduk menghadap komputer riba di meja belajarnya. Dia menadah tangan membaca doa untuk memulakan pelajaran dan usai membaca doa, dia memainkan lagu Muhasabah Cinta.

Lirik lagu tersebut sungguh mendalam dan tidak pernah gagal untuk membuatnya insaf akan kekerdilan dirinya di sisi Yang Maha Esa. Dia biarkan lagu itu terus berulang-ulang sepanjang dia menyiapkan tugasannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience