BAB 7

Romance Completed 13605

Menghampiri bulan akhir sebelum peperiksaan akhir bermula merupakan masa yang kritikal bagi setiap mahasiswa. Bagi pelajar tahun akhir pula sudah tentu tekanannya lebih tinggi berbanding biasa. Namun, pihak universiti tidak memandang remeh masa kritikal ini. Pasti ada persatuan yang akan menganjurkan aktiviti bagi mendekatkan para pelajar kepada yang Maha Esa.

Munirah berhajat untuk mengajak Hidayu Aishah dan Husna Asyikin mengikuti satu ceramah yang akan diadakan pada hari Jumaat malam Sabtu nanti. Sudah tiga minggu mereka tidak bersua kerana masing-masing mempunyai komitmen yang tersendiri.

Bagi Hidayu Aishah pula, pelawaan Munirah bagi mengikuti ceramah di masjid universiti mereka merupakan sesuatu yang sangat dia syukuri. Setelah lama bergelumang dengan segala macam tugasan yang melemaskan, menyertai ceramah seperti ini ibarat terapi untuk mindanya.

Membawa minda untuk bersantai dan berfikir mengenai perkara selain dari pelajaran lalu persetujuan diberikan kepada Munirah dan Husna Ayikin juga turut bersetuju untuk ikut serta.

Seusai ceramah, mereka bertiga beratur untuk mengambil kudapan yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Setelah itu mereka mengambil keputusan untuk terus pulang ke kolej kediaman. Sewaktu mereka bertiga menuruni anak tangga untuk ke tempat menunggu bas, mereka terpandang dua orang pelajar lelaki yang sudah berada di hujung anak tangga dan berjalan ke arah tempat yang bakal mereka tujui. Sebaik sahaja mereka bertiga tiba di tempat menunggu bas, salah seorang dari pelajar lelaki tadi menegur Munirah.

“Assalaamu`alaikum. Ra, awak datang ceramah tadi juga?” ujar pemuda tersebut.

Di dalam hati dia sudah mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Munirah hanya tersenyum kecil. Hidayu Aishah dan Husna Asyikin sudah berpandangan sesama sendiri dengan dahi yang sudah berkerut-kerut.

“Ra?!” ujar Hidayu Aishah dan Husna Asyikin serentak seraya memandang Munirah seperti meminta penjelasan.

“Wa`alaikumussalam. Ha’ah Hanz. Alhamdulillah berkesempatan untuk join ceramah tadi. Kena berterima kasih pada Hida dan Nash yang sudi temankan saya.” Munirah menjawab soalan dari pemuda tadi. Hidayu Aishah dan Husna Asyikin makin keliru dan dahi berkerut seribu.

“Hanz?!” sekali lagi Hidayu Aishah dan Husna Asyikin bersuara. Kali ini memandang lelaki yang digelar Hanz pula.

“Ya Allah, kau orang janganlah terkejut macam tu sekali! Aku memang akan beritahu kau orang pun tapi dah alang-alang jadi macam ni aku beritahu teruslah ya. Kenalkan ni Hanif Hanzalah. Insya Allah kami akan bertunang lepas habis final exam ni nanti.”

Terbeliak mata Hidayu Aishah dan Husna Asyikin dengan berita yang begitu mengejutkan itu.

“For serious? Why so sudden? Anip, bila masa kau ushar Moon ni?” soal Husna Asyikin.

“Seriouslah weyh. Sorrylah, mana aku tahu kau orang berdua kenal Ra. The rest of the story aku rasa kau orang patut claim from Ra sendiri. Eh, Ra, kenalkan ni jodoh saya sejak tadika, Adenan Faiz. You can call him Aden.” Hanif Hanzalah berbicara sambil turut mengenalkan Adenan Faiz kepada Munirah.

Adenan Faiz hanya tersenyum dan menunduk sedikit tanda hormat, begitu juga dengan Munirah. Sebetulnya Adenan Faiz sudah diberitahu oleh Hanif Hanzalah yang dia bakal bertunang tetapi baru hari ini dia diperkenalkan dengan bakal tunangan jodoh-sejak-tadikanya itu.

“Amboi, Anip. Kalau Aden ni jodoh kau sejak tadika, Moon ni sejak bila?” tanya Husna Asyikin.

“Ra jodoh aku sejak di luh mahfuz.” jawab Hanif Hanzalah dengan yakin dan tersengih sehingga menampakkan gusinya. Munirah sudah tertunduk malu.

“Cewahh bukan main lagi Anip kita ni ya. Sekarang dia panggil Moon, Ra. Dah kahwin nanti lagi panjang dia panggil Moon.” Hidayu Aishah bersuara.

Adenan Faiz hanya memasangkan telinga tanpa memberikan sebarang komen. Sejak peristiwa dia mengajak Hidayu Aishah untuk ber‘couple’, dia sudah segan untuk berbicara dengan Hidayu Aishah. Dia hanya berhubung apabila ada isu berkaitan dengan tugasan pelajaran.

“Apa dia Hida?” Husna Asyikin pula yang teruja bertanya. Hanif Hanzalah dan Munirah turut memandang Hidayu Aishah dengan tanda tanya.

“Dah kahwin nanti Anip panggil Moon, ‘Rasa sayang hei, rasa sayang sayang hei, hei lihat nona jauh rasa sayang sayang hei’” ujar Hidayu Aishah sambil membacakan lirik lagu ‘Rasa Sayang’. Kesemua yang mendengar sudah ketawa riang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience