Menjelang tengah hari, maka selesai lah upacara pengebumian Tuan Ahmad, berserta dengan pengebumian lelaki itu. Satu-satunya harta lelaki itu, sebilah kapak miliknya turut dibawa bersama ke dalam kubur, khuatir dicuri orang.
Kubur lelaki itu dibina khas, betul-betul bersebelahan dengan kubur Tuan Ahmad. Ukurannya sama sahaja seperti kubur manusia biasa, tetapi yang membezakan terdapat satu saluran paip kecil yang menjadi perantara di antara liang lahad dan permukaan di atas.
Paip yang menjadi laluan pernafasan dan juga laluan makanan dan minuman yang akan disediakan oleh bekas khadam Tuan Ahmad. Keadaan di dalam kubur lelaki itu sunyi sepi, langsung tak dapat didengar apa yang sedang berlaku di luar, tiada pencahayaan, dan aliran udara untuk pernafasan yang sangat-sangat terhad.
Gelap gelita. Walaupun hanya dikebumikan selama beberapa minit, ketakutan yang teramat sangat terus menerpa sekujur tubuhnya. Tubuh badannya terasa kaku dan sejuk sekali. Ngeri. Tatkala makanan dan minuman yang disalurkan sekali sehari melalui saluran kecil itu tiba, perasaan gembira langsung tiada.
Lapar? Tiada.
Dahaga? Tiada.
Ketakutan?? Ya! Teramat!
Sesalan??? Semestinya! Tetapi sudah terlambat. Tiada siapa dapat mendengar jeritannya di bawah sini.
40 hari sudah pun berlalu.
Hari ini genap 40 hari si penebang kayu itu ditanam. Awal-awal pagi lagi sudah ramai orang berkumpul di persekitaran kawasan perkuburan. Menantikan kehadiran si penggali kubur. Ada yang membawa anak kecil. Ada yang membawa ibubapa mereka yang uzur. Ada yang membawa pelbagai hadiah dan persiapan. Barangkali ingin membodek orang kaya baru, lelaki yang ditanam di bawah sana.
Share this novel