BAB 2

Romance Completed 7085

Dira adalah satu-satunya anak perempuan Mak Siti dan Pak Ya yang masuk
universiti. Ibu bapa manalah yang tidak bangga. Anak-anak Pak Ya dan Mak
Siti, 4 orang semuanya. 2 lelaki dan 2 perempuan. Yang lelaki,
masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk menyara keluarga.+

Mak Siti masih tidak percaya. "Macam manalah Dira ni. Belajar di
Universiti, tak kanlah tak ada satu lelaki pun yang berkenan kat dia."+

Pak Ya menggelengkan kepala. "Awak ni. Hal jodoh macam ini, bukan kita
yang tentukan."+

Sukar untuk masuk ke dalam akal Mak Siti. Mana mungkin anak perempuan
yang bijak dan punya rupa macam Dira tidak ada teman di universiti?
Kalau diikutkan, Dira itu cantik juga orangnya. Meskipun tidak pandai di
dapur, jika sekadar memasak untuk makan sendiri, tidak ada masalah.+

"Kita tak pernah kita tolak pinangan orang sebelum ini. Apa kata orang
nanti?+

Sebelum ini, kita kan dah cakap. Kita tak setuju. Mengapa mahu datang
juga!"+

Mak Siti mula membentak. Selepas berbincang dengan Dira minggu lepas,
mereka berdua sudah sepakat. Dira mesti beritahu pihak lelaki, bahawa
mereka tidak mendapat persetujuan. Nampaknya pihak sebelah sana berdegil
mahu datang juga.+

"Tak apalah. Lagipun, mereka datang kan nak berkenalan saja? Bukannya
nak meminang terus. Tetamu yang mahu datang, kita sambut sajalah."+

Mak Siti masih tak puas hati. Semenjak kecil, Mak Siti tahu. Bukan mudah
menjadi seorang mak tiri. Malah, menjadi adik-beradik tiri itu pun tidak
mudah. Apatah lagi dengan Dira yang masih muda.+

Dira berkelulusan tinggi. Bekerja pun belum tetap lagi. Sejak kecil
Dira, merupakan antara anak yang paling kuat belajar. Berbanding dengan
kakaknya Sara, Dira dikurniakan kelebihan dari segi akademik. Sara pula
lebih banyak menolongnya dalam bab mengemas dan memasak.+

"Bertuah kau Siti. Ada anak yang pandai." Itulah kata-kata kawan
sekampung.+

Waktu itu, anak masuk asrama dan masuk universiti, hebat umpama dilantik
jadi Perdana Menteri. Dira memang seorang anak yang berdikari. Sejak
kecil lagi, Dira memang satu-satunya anak yang mahu menang apabila
bercakap. Berdebat itu, sudah macam kerja tetapnya.+

Mak Siti masih termenung. Pokok kelapa yang tinggi melambai ditiup
angin, seolah-olah kosong saja pada matanya. Angin yang bertiup tidak
lagi terasa sejuknya. Langit yang biru tidak lagi indah . Petang yang
redup itu, dirasakan panas seperti tengahari. Semuanya kosong bagi Mak
Siti.+

"Mak jangan risau. Kalau sampai umur Dira masuk 25 tahun, Dira tak ada
calon, Mak kahwinkanlah saja Dira dengan sesiapa. Dira setuju."

"Ha...betul sangatlah tu. Sampai sekarang tak ada kawan lelaki ni macam
mana?"

Mak Siti tahu. Dira anaknya itu, sudah memeta jalan hidupnya sendiri.
Pernah Mak Siti berleter kepada Dira. Mana tidaknya. Anaknya yang
seorang itu langsung tidak pernah bercerita tentang rancangan hidup.
Yang diceritakannya hanyalah belajar, aktiviti universiti dan rancangan
kerja.

Pengalaman hidup Mak Siti bukanlah satu rahsia pada anak-anak. Mak Siti
masih ingat. Betapa sukarnya hidup tatkala dia mengandungkan anak
pertama, dan pada masa yang sama ibu tirinya juga sedang menunggu hari
bersalin. Menunggu kelahiran anak pertama.

Masih jelas dalam ingatan Mak Siti. Sukarnya dia mendapat masa untuk
bersama ibu sendiri. Lantaran kesibukan ibunya melayan ayah tiri dan
anak-anak tirinya yang lain, Mak Siti seolah diabaikan.

Mak Siti masih ingat. Perasaan rindu, cemburu, sedih, kecewa dan
semuanya bercampur. Tatkala melihat adik-beradik tirinya sibuk bermain
bersama, dia masih rasa terasing.

Bukan. Bukan dibiar dan disisih seperti dalam kisah 'Cinderella'. Bukan
juga seperti 'Bawang Merah'. Tidak pernah Mak Siti diperlakukan seperti
anak tiri. Ianya cuma rasa dan emosi diri. Ia tetap ada. Sentiasa
melekat dalam fikirannya.

Hakikat menjadi seorang anak tiri, adik-beradik tiri tetap ada bezanya.
Sukarnya melihat ibu kandungnya melayani keluarga baru, membuatkan Mak
Siti bimbang akan masa depan Dira.

Bagaimana jika bakal anak-anak tiri Dira tidak menerimanya? Apa kata
keluarga arwah isteri bakal suami Dira nanti? Jika ada perkara yang tak
baik berlaku, Dira tentu akan bertanggungjawab kepada anak-anak tirinya
pula.

Bolehkah Dira memanggung semua persepsi, kata-kata dan cabaran dalam
keluarga baru? Bagaimana jika nanti Dira tidak boleh balik kampung?
Apakah Dira akan berubah seperti ibunya nanti? Hanya sibuk melayan suami
dan anak-anak tiri hingga lupakan keluarga sendiri?

Macam-macam perkara buruk mula masuk dalam fikiran. Mak Siti jadi
semakin bimbang. Sebenarnya, jauh dalam hati Mak Siti dia sendiri
keliru. Antara pengalaman diri sendiri dengan masa depan anaknya itu.+

Rasanya, tidak adil menyamakan apa yang dia telah lalui dengan apa yang
bakal Dira lalui. Mak Siti tahu. Dira seorang anak yang baik. Tabah,
bijak dan mampu membina hidupnya sendiri. Namun sebagai ibu, Mak Siti
juga mahu yang terbaik buat anaknya.+

"Bagaimana jika suami Dira kelak mati dulu?"+

"Ish awak ni! Fikirlah perkara yang baik-baik. Kan kita semua tahu. Ajal
dan maut ditangan Tuhan. Bukan urusan kita." Pak Ya menjawab tenang
saja. Sesekali dia geli hati juga dengan apa yang Mak Siti katakan.+

"Cuba Abang fikir. Beza umur mereka berdua tu 23 tahun. Jauh sangat
bezanya! Awak tahu apa Dira cakap dengan saya?"+

"Apa dia?"

"Katanya, beza umur kita berdua pun jauh juga."

Mak Siti mendengus. Kali ini, Mak Siti semakin mencuka. Mak Siti bukan
tidak tahu perangai anak perempuan bongsunya itu. Dira memang suka
berdebat. Ada sahaja jawapan yang diberikan jika berbincang.

Mak Siti masih bimbang. "Dulu lain, Abang. Zaman kita dulu, memang zaman
orang tua menyusun dan memilihkan pasangan. Sekarang tak macam dulu."

Pak Ya angguk-angguk. Betul juga. Kebimbangan Mak Siti ada asasnya. Dira
sendiri khabarnya tidak kenal sangat dengan lelaki yang kematian isteri
itu.

Mak Siti masih termenung. Kakinya menguis-nguis tanah kering yang
ditutup rumput hijau. Pangkin itu memang dibuat rendah. Jadi, sesiapa
yang duduk, kakinya tepat-tepat mencecah tanah.+

"Abang cuba cakap lagi dengan Dira." Mak Siti tahu. Dira lebih banyak
bercakap dengan ayahnya. Berbanding dengan dia sebagai ibu, Dira lebih
rapat dengan ayahnya. Meskipun cara percakapan Dira sesekali kedengaran
agak kasar, Dira masih tetap menunjukkan hormat kepada orang tua.+

Kadang-kadang, Mak siti risau juga. Jika berkahwin dengan lelaki tua
pula, agaknya, macam manalah degilnya Dira nanti. "Abang selalu
menangkan Dira. Ha, tengoklah apa dah jadi sekarang!"+

Suaminya, Pak Ya pula, selalu berlapang dada dengan Dira. Setiap kali
Dira mula bercakap dan mengeluarkan hujahnya, Pak Ya angguk-angguk dan
senyum saja.

"Ada betul juga apa yang Dira beritahu kita. Biarlah mereka datang.
Kemudian kita buat keputusan. Lagipun, Dira setuju dengan apa juga
keputusan kita."

Mak Siti masih tidak puas hati. Dia masih bimbang. Bagaimana jika Pak Ya
berubah hati dan setuju dengan lelaki pilihan Dira itu? Mak Siti faham
benar dengan perangai suaminya, Pak Ya.

Adakalanya, Pak Ya sering mengambil mudah banyak perkara. "Asal perkara
baik, kita mudahkan sajalah." Bagi Pak Ya, berumahtangga itu perkara
baik. Usah disusahkan urusannya. Jika mana yang tidak wajib itu, tidak
buat pun tidak mengapa.

Mak Siti pula, seperti biasa banyak berfikir. Maklumlah. Baginya, ini
bukan sekadar hal berkahwin dan kenduri makan-makan. Ia melibatkan
maruah dan keturunan. Bukan mudah untuk melayari hidup berumah tangga.
Lebih sukar apabila berkahwin dan terus bergelar ibu. Ibu tiri pula!

Mak Siti masih ingat janji Dira. Dia berjanji untuk meneruskan
cita-cita. Selepas belajar, mahu terus membina kerjaya. Katanya, dia
tidak mahu hanya sekadar belajar dan tamat begitu saja. "Mak jangan
risau. Dira belajar tinggi ni pun, Dira akan pastikan Dira menyumbang
kepada masyarakat."

Pernah Mak Siti menempelak anaknya itu. "Itulah, dulu Mak dah cakap.
Ambil saja kursus perguruan kat maktab. Tak mahu. Nanti, lepas belajar
kalau tak dapat kerja, jangan banyak komplen!"+

Meskipun semuanya sudah diberitahu dengan jelas, Mak Siti masih tidak
yakin. Pak Ya yang banyak diam, memberikan sepenuhnya kuasa kepada
isterinya untuk mengetuai perbincangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience