Sebuah lori bunga berhenti di hadapan rumah. Mardhiah yang sedang
menyidai baju di tepi rumah sewanya yang dikongsi dengan dua orang lagi
gadis terus melangkah ke arah seorang lelaki Cina yang terjengah-jengah.
Mungkin dia tidak perasan akan kehadiran Mardhiah di tepi rumah.
“ Amoi, you punya full name Ainul Marhiah kan?” Soal lelaki Cina itu
sebaik sahaja Mardhiah menegurnya.
“ Ya. Itu nama saya Uncle Tong.” Jawab Mardhiah sopan.
Dia memang mengenali lelaki Cina yang peramah itu kerana apabila ada
waktu lapang, dia akan membeli bunga segar di kedai Uncle Tong dan
isterinya Aunty Annie untuk dibuat gubahan dan dihiaskan di rumahnya.
“ Amoi, ini ada bunga untuk you. Tadi pagi ada satu lelaki banyak
handsome, panggil wa hantar ini kasi you.” Kata lelaki itu dengan bahasa
rojaknya sambil menghulurkan sejambak ros merah yang dihias cantik
kepada Ainul Mardhiah.
“ Siapa yang bagi ni uncle?”
“ Wa tak kenal. Dia bawak kereta banyak besar. Pakai baju warna putih,
ada itu line warna kuning. Tak apa lah amoi, you sign sini, wa sudah mau
balik. Ada banyak bunga mau hantar. Nanti you punya Aunty Annie ah
banyak bising leh. Dia kata wa cari gilpren dating. Hahaha..” Jawab
Uncle Tong lalu ketawa besar.
‘Gilpren’ yang diperkatakannya ialah ‘Girlfriend’ iaitu teman wanita.
Mardhiah turut ketawa . Selepas menurunkan tandatangan, dia memulangkan
semula pen dan kertas itu kepada Uncle Tong.
“ Hahaha.. Ok.. Xie xie Uncle Tong. Ma Fan Ni..” Kata Mardhiah yang
bermaksud ‘terima kasih Uncle Tong. Buat menyusahkan awak sahaja.’
“ Wa pergi dulu. You ohh, jangan duduk luar seorang, bahaya, sekarang
ramai itu orang jahat. Ingat oh.” pesan Uncle Tong sebelum berlalu pergi.
Mardhiah menganguk lalu membalas dengan senyuman. Uncle Tong dan Aunty
Annie memang pasangan suami isteri yang baik hati. Beberapa minggu
kebelakangan ini, Ainul Mardhiah sering menerima jambangan bunga yang
dihias cantik tanpa mengetahui siapakah pemberinya. Bunga itu juga turut
dihantar dari kedai yang berbeza. Safiyah yang menjadi mangsa, terpaksa
menjaga kebanyakkan bunga yang diterima oleh pensyarah mudanya kerana
Ainul Mardhiah tidak dapat menerima hadiah tanpa mengetahui siapakah
pemberi‘baik hati’yang memberi sejambak bunga kepadanya. Safiyah
merupakan pelajar yang paling rapat dengan Ainul Mardhiah. Mereka sering
keluar, makan tengah hari dan ber‘shopping’ bersama. Safiyah sudah
menganggap pensyarahnya itu seperti kakaknya sendiri. Siap menyidai
semua pakaian, Ainul Mardhiah masuk ke dalam rumah dan mula mengemas
pakaiannya untuk dibawa pulang ke kampung. Mardhiah merancang untuk
membawa Safiyah pulang ke kampung halamannya pada hujung minggu ini yang
terletak kira-kira sejam perjalanan dari pusat pengajian mereka.
Ainul Mardhiah dan Safiyah selamat sampai ke kampung dengan hati yang
riang. Tanpa Ainul Mardhiah ketahui, ada kejutan besar untuknya malam
ini. Safiyah telah mengetahuinya terlebih dahulu kerana Eman telah
menghantar mesej pesanan ringkas kepadanya sebaik sahaja jejaka itu tiba
di tanah air.
Tunang?
Share this novel