BAB 4

Horror & Thriller Completed 823

Semua benda yang terlindung dapat dilihat satu persatu. Ada basikal buruk, tayar lama, kotak-kotak, kawah dan banyak lagi. Mata Anas liar mencari cangkul yang mungkin ada tersimpan di situ.

Dia sendiri sebenarnya tidak pasti samada Tok Barong ada menyimpan cangkul atau tidak. Tidak lama kemudian, hanya parang berkarat dan besi penggali sahaja yang dirasakannya boleh digunakan.

“Ahak…” Bunyi batuk kedengaran di pangkin hadapan rumah.

Anas tersentak dan terus memadamkan lampu suluhnya. Dia mencari kelibat suara yang kedengaran tadi. Sempat dia menjeling jam di tangannya yang menunjukkan pukul 2.00 pagi.

“Siapa lagi yang datang berubat pagi-pagi macam ni? Kalau ada pun mesti dah dengar bunyi kereta atau motor dari tadi” Fikirnya. Tubuhnya mula merasa seram sejuk.

Kalau diikutkan, Tok Barong adalah salah seorang dukun yang terkenal di kampung Panji Wijaya.

Banyak orang dari dalam dan luar kampung yang datang untuk berubat atau mengambil tangkal. Dia datang ke situ pun pada asalnya disebabkan Waris yang mengajaknya untuk menemankan dia berubat.

Sementara menunggu giliran mereka tadi, dia dan Waris mengambil syabu yang dibawa didalam kereta untuk menghilangkan rasa bosan. Selepas itu dia langsung tidak ingat apa yang telah berlaku.

Setelah yakin yang tiada kenderaan berada di kawasan rumah. Anas bergerak kearah suara yang didengarinya tadi.Susuk tubuh seorang lelaki tua berkain pelikat sedang menghisap rokok kelihatan duduk diatas pangkin tersebut.

Kakinya satu diletakkan diatas pangkin dan satu lagi dibiarkan berjuntai ke bawah. Asap rokok yang dihembus pun dapat dihidu oleh Anas.

“Tok Barong ” Jerit Anas di dalam hati sebaik melihat kelibat tersebut. Belakang tengkuknya mula meremang dan tubuhnya berasa seram sejuk. Peluh jantan mula kelihatan di dahinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience