Keretapi Mel Senandung Malam ke utara sudah lewat 1/2 jam. Aku dan 3
orang rakan-rakanku sudah mula tak senang duduk dibuatnya. Orang ramai
kelihatan semakin lama semakin memeriahkan lagi suasana di stesen
keretapi ini. Aku, Ani, Fid dan Nor awal-awal lagi sudah menukar pakaian
dengan memakai seluar dan kemeja. Seluar akulah yang paling ganjil
sekali, seluar batik ala seniman jalanan pemberian dari abangku yang
belajar di Arau dan berkemeja merah jambu. Kelakar habis! Orang-orang
yang berada
di sekelilingku memerhatikanku dengan penuh rasa kejanggalan sambil
tersengih-sengih apabila memerhatikan ku dari atas ke bawah, yang
malangnya ada sekumpulan anak muda yang bolehlah dikatakan ‘smart’
mengutuk aku.
“Rupa budak-budak!” kutuk mereka sambil memandang sepi ke arahku.
“Persetankan itu semua!” bentak hati kecilku.
Kami bertolak-tolak untuk merebut tempat duduk sebaik sahaja keretapi
tiba. Aku yang pertama kali naik keretapi merayap bagaikan lipas kudang
mencari tempat duduk tetapi ternyatalah keupayaanku umpamakan seekor
lipas kudung tua yang rabun kerana satu tempat duduk pun aku tak dapat.
Gerabak kian dipenuhi, aku terpisah dengan kawan-kawanku dan akhirnya
aku tersepit di celah-celah orang dan aku hanya berdiri di tempat
persembungan gerabak bersama-sama 4 orang lelaki. Mak! kecut juga
perutku seketika maklumlah berhadapan dengan orang asing dan di situasi
ini hanya aku seorang sahaja perempuan. Namun aku tetap berpasrah agar
tidak akan berlaku apa-apa kejadian yang buruk. Insya-Allah. Maka
terpaksalah aku bersama-sama 4 orang lelaki yang tidak kukenali itu
berdiri sepanjang perjalanan. Aku! 7 jamlah jawabnya maklumlah
perjalanan ke Ipoh bukannya dekat dari tempat ini.
Salah seorang dari lelaki yang berempat itu menegurku.
“Cik adik dari mana?”
“Melaka,” geli telingaku bila orang tersebut memanggilku cik adik.
“Sekolah lagi ke?”
Geramnya aku bila dia mengatakan aku budak sekolah, mentang-mentanglah
kerana penampilanku dengan berseluar ‘ala Sheqal’. 2 orang lagi yang
berdiri di sisiku memerhatikanku sambil tersenyum.
‘Ooo!...gelakkan seluar aku ye!’ seranah hati kecilku.
“Tak....ITM,” jawabku sambil merasakan suatu kepuasan.... ‘baru mereka
tahu aku budak ITM’. Terkejut terbuak di air muka mereka sambil
memandangku. Mungkin mereka bagaikan tidak percaya melihatkan gayaku
macam budak bodoh yang tidak lulus SRP.
“Abang......”sambung orang yang menegurku.
‘Apa???? Abang......rasa nak termuntah aku! Aku rasakan umurnya sebaya
dengan pakciku di kampung!’ getus hati kecilku.
Orang tersebut terus berbual sambil sesekali melemparkan senyuman
kepadaku. Aku cuma mampu tersenyum dan sesekali menyampuk ‘bicara abang’
tua tersebut. Berdiri setentang denganku, seorang pemuda yang kemas
penampilannya dengan berkemeja putih lengan panjang dan berkaca mata.
Sekali imbas rupanya seiras dengan bekas secret admirerku dulu. Dia
tersenyum.
Share this novel