BAB 6

Romance Completed 1795

Tengku Mustafar meremang bulu romanya. Sungguh, ketika itu jiwanya bagaikan disentak peringatan dari Tuhan. Dia melihat seorang tua berlapikkan kotak-kotak leper sedang mengimamkan anak dan isterinya menghadap Allah, dalam keadaan begitu daif sekali.

Tiada sejadah lembut saban kali dahi menunduk sujud. Datang cemburu dalam hati Tengku Alauddin. Cemburu melihat keluarga itu yang begitu hebat cinta mereka meraih kasih sayang Allah.

Tengku Mustafar dan Saidatul menunggu keluarga itu hingga selesai memberi salam.

“Assalammualaikum,”

“Waalaikumusalam. Eh, puan Saidatul. Tuan Zahiril tak datang sekali?”

Barangkali sudah terbiasa dengan kehadiran sepasang suami isteri itu, meluncur laju pertanyaan keluar dari mulut si tua yang begitu ceria sebaik saja melihat wajah Saidatul. Saidatul memaksa untuk senyum seadanya.

“Saya datang dengan ayah mertua saya, pak cik...”

Tengku Mustafar menundukkan kepala tanda hormat. Kedua-dua lelaki itu berjabat tangan. Kemas dan mesra sekali.

“MasyaAllah, beruntung saya dapat jumpa dengan bapanya Tuan Zahiril. Anak tuan, pemuda yang sangat-sangat mulia hatinya tuan. Habis semua orang gelandangan di sini, dibantunya. Tiap-tiap hari pulak tu. Allah...Allah...”

Orang tua itu bersungguh-sungguh sekali memuji. Tengku Mustafar melafaz tahmid. Tidak mahu ada rasa riak biar sekelumit pun timbul atas pujian yang diberi.

“Pak cik...suami saya jatuh sakit, pak cik...” Saidatul tidak tertahan lagi perasaannya. Perempuan itu mengadu penuh sebak. Terperanjat orang tua itu mendengarnya.

“Ya Allah, Tuan Zahiril jatuh sakit?” Semerta tubir mata lelaki tua itu berkaca. Saidatul mengangguk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience