Di hadapan sebuah sekolah menengah, seorang pelajar perempuan tingkatan 1 sedang berjalan menuju ke arah ibunya. Pelajar perempuan itu bernama Raina yang tinggal bersama ibunya Puan Mastura. Mereka tinggal berdua sahaja tanpa adanya suami ataupun ayah.
"Raina, jom balik. Mama dah masak makanan favourite Raina." Kata Puan Mastura.
Satu senyuman terukir di muka Raina. Dia sudah dapat mengagak ikan siakap yang dibeli ibunya semalam sudah dimasak tiga rasa.
"Ok jom." Balas Raina pula.
Anak beranak itu bergerak dengan sebuah kereta Honda pulang ke rumah. Tanpa mereka sedari, seorang anggota polis sedang memerhatikan mereka dari dalam sebuah kereta peronda polis. Dia adalah Amran.
Amran sebenarnya merupakan bekas suami kepada Mastura dan bapa kandung kepada Raina. Dia tidak pernah berjumpa dengan anak perempuannya Raina sejak dia dan isterinya bercerai. Mastura berjaya mendapatkan hak penjagaan anak daripada mahkamah kerana Amran ketika itu tidak memiliki perkerjaan setelah keluar dari tentera.
"Koperal, Siapa diorang tu?" Tanya seorang konstabel polis di yang duduk di tempat pemandu.
"Takde apalah. gerak cepat." Arah Amran yang ingin menuju ke Bukit Aman.
Kereta mereka bergerak menuju ke arah Bukit Aman. Terdapat tugas yang perlu mereka lakukan.
Di tempat lain, Mawar sedang berjalan sendirian di sebuah lorong menuju ke arah keretanya. Namun tiba-tiba, muncul sekumpulan orang yang memakai topeng dan bersenjata kan dua bilah pisau. Mereka ingin menyerang Mawar.
Mawar yang memiliki naluri yang tajam berjaya menepis tikaman lelaki bertopeng itu dan melumpuhkan lelaki itu. Seorang lagi lelaki bertopeng cuba menyerang Mawar namun Mawar dengan pantas menghadiahkan lelaki itu satu tendangan yang menyebabkan lelaki itu terjatuh di atas jalan tar. Mawar mengeluarkan pistol lalu melepaskan tembakan amaran.
"Bang!"
"Jangan bergerak! Polis!"
Namun mereka seperti tidak mengendahkan amaran Mawar lalu beberapa serangan dituju kan ke atas detektif muda itu. Mawar kemudiannya melepaskan tembakan kepada mereka membunuh dua daripada mereka. Mawar kemudian cuba melarikan diri namun dia dikejar.
Mawar akhirnya terperangkap apabila dia sampai di jalan mati yang ditutupi dengan tembok. Lelaki bertopeng itu sampai dihadapan Mawar dan bersiap sedia untuk melapah daging detektif polis itu. Mereka berjalan ke arah Mawar dengan perlahan.
Mawar tiba-tiba meletakkan pistol miliknya di atas tanah berserta semua pelurunya. Selepas itu, Mawar membuat posisi taekwando dan bersedia untuk melawan mereka. Dia menyerahkan takdir hidup dan matinya kepada Allah.
Lelaki bertopeng itu berusaha menyerang Mawar namun Mawar berjaya menepis beberapa serangan dan melawan mereka semula. Kesemua lelaki bertopeng itu terkejut melihat kehebatan Mawar dalam seni mempertahankan diri. Terjadi pertarungan sengit antara mereka semua.
Kesemua lelaki bertopeng itu berjaya ditumbangkan. Mawar berdiri sambil memegang lengan kirinya yang tercedera. Dia yang kepenatan dan tercedera bersandar pada dinding sambil menahan rasa sakit akibat terkena senjata tajam.
Beberapa kereta polis sampai di sana. Anggota polis berseragam biru gelap dan beberapa memakai vest hijau keluar dari kereta dan memberi bantuan. Mereka memberkas semua yang terlibat manakala Mawar pula dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Amran sedang berlatih menembak. Seorang anggota polis mendatangi Amran untuk mengkhabarkan berita serangan tadi.
"Koperal, Detektif Mawar kena serang dekat lorong 3 jalan haji samad tadi."
"Apa? Dia macam mana?" Tanya Amran yang begitu terkejut.
"Dia cuma alami kecederaan ringan dan masih stabil. Enam suspek berjaya ditahan tapi tiga yang lain berjaya lari." Balas anggota polis itu.
Amran lega mendapat tahu bahawa Mawar terselamat namun dia musykil siapa dalang disebalik serangan ini. Kenapa semua sasaran mereka ialah anggota dan pegawai kanan polis yang terlibat dalam kes penemuan mayat di rumah kosong tempoh hari dan adakah dia akan menjadi sasaran seterusnya? banyak persoalan yang bermain di mindanya.
Di bilik soal siasat, Inspektor Azizul sedang menyoal siasat salah seorang daripada kumpulan lelaki itu.
"Kenapa kau cuba untuk bunuh dia? Dan siapa yang hantar kau?" Tanya Inspektor Azizul.
Lelaki itu hanya berdiam sambil tersenyum. Melihat lelaki itu hanya berdiam diri, Inspektor Azizul yang merupakan seorang yang panas baran menyimbah air ke muka lelaki itu.
"Hoi aku tanya kau jawab!! sekarang bagi tahu aku kenapa dan siapa yang hantar kau serang anggota aku tu?" Bentak Inspektor Azizul.
Lelaki itu akhirnya berkata"Kau tahu? Kes penemuan mayat di rumah kosong tu?"
"Aku tahu kes tu dan aku yang gantikan arwah ASP Syahrul untuk siasat kes ni. Apa kena mengena dengan kau?" Tanya Inspektor Azizul.
"Kalau kau nak tahu itu semua kerja kumpulan aku." Jawab lelaki itu sambil tersenyum.
"Apa?" Inspektor Azizul terkejut. "Kenapa kau buat semua benda gila tu? Kau tahu tak kau lakukan perkara khurafat?" Tanya Inspektor Azizul.
Lelaki itu tersenyum. Dia menjawab"Kalau kau nak kaya, banyak duit, kau kena buat perjanjian dengan..."
Belum sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya, Inspektor Azizul membalas "Iblis Laknatullah. Kau buat perjanjian dengan musuh-musuh Allah kau tahu tak? benda ni semua syirik."
Lelaki itu hanya tersenyum. Dia pun berkata "Kau tahu? Aku sendiri dah lupa bila kali terakhir aku tunaikan solat dan aku sendiri dah lupa kali terakhir aku ucapkan kalimah Bismillahirrahmanirrahim." Kata lelaki itu tanpa rasa bersalah.
Pipi lelaki itu ditampar dengan kuat oleh Inspektor Azizul yang tidak dapat menahan rasa marahnya. Lelaki itu terjatuh dari kerusinya namun dia masih boleh tersenyum.
"Sarjan, buat saringan air kencing kat dia ni. Aku nak tengok dia ni positif dadah atau tak."
Arah Inspektor Azizul kepada Sarjan Mizan.
Lelaki itu hanya tersenyum ketika dibawa oleh Sarjan Mizan untuk melakukan saringan air kencing. Inspektor Azizul hanya menggeleng kepala melihat lelaki itu. Dia merasa tidak percaya masih ada orang yang sanggup menyekutukan Allah hanya kerana inginkan harta duniawi yang bersifat sementara.
Keesokan harinya, Amran mendapat tahu maklumat tentang suspek kejadian serangan semalam.
"Kesemua suspek negatif dadah. Maksudnya mereka memang menyerang dengan niat." Kata Sarjan Mizan.
"Ada maklumat lain?" Tanya Amran.
"Ada Koperal. Salah seorang daripada mereka mengaku jika kumpulan mereka adalah dalang disebalik kes penemuan mayat di rumah kosong haritu. Mereka turut mengaku membunuh ASP Syahrul." Jelas Sarjan Mizan.
Amran sudah mengagak kes ini bersangkut paut dengan kes penemuan mayat itu. Dia juga sudah mengagak kes ini juga ada kena mengena dengan kes pembunuhan ASP Syahrul.
"Mereka mengatakan jika kumpulan mereka melakukan aktiviti satanism. Semua itu agar mereka mendapat kenikmatan dunia yang sementara ini." Kata Sarjan Mizan lagi.
"Apa nak jadi ni. Sanggup mereka gadaikan akhirat mereka demi dunia." Kata Amran pula.
Sarjan Mizan membalas "Bila hati dah dipenuhi cinta dunia, mereka akan sanggup lakukan apa sahaja untuk dapatkan dunia meski akhirat mereka tergadai."
Di dalam lokap polis, lelaki tadi sedang duduk menghadap ke arah dinding. Seorang tahanan polis di sel sebelah membaca Al Quran dan ketika itu dia sedang membaca Surah An-Nisaa ayat 48 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan ayatnya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa besar."
Mendengar ayat itu, lelaki itu merasa sakit pada bahagian dadanya. Ketika itu, hidung dan mulutnya tiba-tiba mengeluarkan darah. Tubuh lelaki itu terangkat lalu dia terjatuh ke atas lantai.
Beberapa tahanan lain terkejut melihat kejadian itu.
"Tuan! Tuan! Ada orang pengsan ni tuan!" Panggil seorang tahanan di sel hadapan.
Beberapa orang anggota polis segera membawa keluar lelaki itu. Mereka dengan segera menghubungi ambulans. Setelah ambulans sampai, lelaki itu dibawa ke hospital sambil dikawal empat anggota polis.
Di dalam ambulan, lelaki itu yang terbaring lemah tiba-tiba tersenyum kembali. Seperti baru sahaja berjaya melepaskan diri dari satu masalah. Ambulans terus bergerak menuju ke hospital.
BERSAMBUNG...
Share this novel