BAB 4

Fantasy Series 814

Mataku tertancap pada jam di dinding, jarum pendeknya menunjukkan hampir ke nombor sembilan. Terhidu keharuman aroma nasi goreng bersama kopi pekat yang membangkitkan selera, aku bingkas bangun dan terus ke dapur.

"Sedapnya bau nasi goreng, kalah restoran mahal ni," pujiku kepada emak.

"Makanlah kenyang-kenyang, bukan selalu kamu balik ke kampung dan merasa masakan mak," balas emak sambil tersenyum gembira melihat gelagatku.

"Kalaulah selalu dapat merasa masakan mak kan best," ujarku sambil mengingati makanan kegemaranku yang selalu emak masak ketikaku pulang ke kampung, antaranya seperti gulai ikan termenung, rendang daging dan sambal udang petai.

"Kalau kamu nak merasa masakan mak lagi, selalu-selalulah balik ke kampung. Boleh mak masakkan," jawab emak.

Masakan emak memang sedap, orang berpengalaman memasak ada keunikannya yang tersendiri. Orang kampung selalu memuji masakan emak apabila emak dan kawan-kawannya bergotong-royong memasak di kenduri-kendara.

Semasa masih muda dan bertenaga, emak sering menghantar nasi lemak ke Warung Pak Ali yang berhampiran dengan rumah kami.

Nasi lemak buatan emak antara yang paling awal habis. Apabila sudah meningkat usia, emak lebih suka menghabiskan masa dengan mengerjakan amal ibadat.

Teringat kembali sewaktu di zaman persekolahan dahulu, emak selalu memasak masakan kegemaranku dan adik apabila kami pulang dari sekolah ataupun mengaji Quran. Walaupun letih bekerja seharian di sawah, emak tetap melayan karenahku dan adik tanpa jemu.

"Ayah pergi mana mak, tak bersarapan sekalikah?" soalku kepada emak sambil mencuci muka dan tangan di dalam singki.

"Ayah kamu pagi-pagi lagi dah keluar pergi ke sawah. Katanya nak buang air sawah yang mungkin dah penuh akibat hujan lebat semalam, takut rosak pula anak padi nanti," jawab emak sambil menghidangkanku dengan sepinggan nasi goreng bersama kopi pekat di atas meja makan.

"Berapa lama abang cuti kali ini?" soal Adik Najihah pula yang kebetulan masuk ke dalam rumah setelah habis menyidai kain di ampaian.

"Dalam seminggu jugalah, abang nak habiskan cuti tahunan abang." Terasa segar seluruh badan apabila dapat menghirup kopi pekat buatan emak.

"Elok sangatlah tu, bolehlah kamu tolong ayah kamu di sawah nanti. Mak kasihan tengok ayah kamu masih bersawah lagi walaupun badan tak berapa nak sihat. Malam-malam asyik sapu minyak angin saja sebab lenguh di sana sini. Ayah kamu itu bukannya muda lagi nak buat kerja-kerja berat di sawah," luah emak kerisauan.

Bersawah merupakan punca rezeki kami sekeluarga. Ayah tidak mempunyai pelajaran yang tinggi, cuma tamat tingkatan tiga sahaja. Ayah selalu bercerita mengenai dirinya pada zaman kanak-kanak yang hidup dalam keadaan susah dan serba kekurangan, tambah-tambah lagi apabila tentera Jepun datang menawan Tanah Melayu.

Kehidupannya pada masa itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kadang-kadang tiada makanan langsung untuk beberapa hari. Beras yang disimpan oleh orang kampung juga selalu dirampas oleh tentera Jepun.

Makanan yang terdapat banyak pada masa itu pula hanya ubi kayu sahaja. Hampir setiap hari ayah memakan ubi kayu, adakalanya ubi kayu juga tiada untuk dimakan. Sebab itu ayah sangat menghargai kemerdekaan yang dikecapi sekarang.

Mujur arwah datuk ada meninggalkan sawah padi untuk diusahakan ayah. Melalui hasil daripada pendapatan bersawahlah ayah menyekolahkanku dan adik hingga berjaya.

Masalahnya sekarang walaupun sudah menginjak ke usia emas, ayah lebih suka mengerjakan sawahnya sendiri daripada mengupah orang lain. Menjadi kepuasan kepada ayah apabila melihat padi yang masak menguning hasil usaha dan titik peluhnya sendiri.

"Baiklah mak, dah lama saya tak berpeluh. Sekurang-kurangnya dapat juga saya mengurangkan lemak di badan," ujarku bersimpati dengan ayah yang semakin dimamah usia.

"Betul tu mak, adik tengok lemak di badan abang dah makin bertambah-tambah sejak bekerja di Kuala Lumpur," gurau Adik Najihah sambil ketawa terkekeh-kekeh.

"Amboi melawak kasar nampak," balasku sambil mengerling tajam.

"Assalamualaikum." Terdengar suara orang memberi salam di luar rumah.

"Waalaikumsalam, owhhh...! Kau rupa-rupanya Wan, aku ingat siapalah tadi. Jemputlah masuk ke dalam rumah bersarapan sekali," pelawaku kepada Zakwan.

"Tak perlulah Daus, aku dah bersarapan di Warung Pak Ali tadi. Datanglah kejap kita bersembang kat bawah pokok ini," pinta Zakwan.

"Hai Zakwan dah tak sudi masuk ke dalam rumah maklang ka?" sapa emak bersama ikan kering yang hendak dijemur di luar rumah.

"Tak adalah maklang, rumah maklang ini saya dah anggap seperti rumah kedua saya. Cuma rasa tenang dan seronok bila duduk di bawah pokok ini sambil hirup udara segar," beritahu Zakwan sambil tersengih-sengih.

"Cantik basikal kau Wan, basikal siapa kau curi ini?" sindirku kepada Zakwan.

"Ini basikal ayah akulah, motorsikal aku bulan hadapan baru boleh ambil. Daus kalau tak menyusahkan, aku nak minta tolong kau dengan kereta kau sekali kita pergi ambil buah petai di dalam hutan hujung kampung. Sekarangkan musim buah petai sedang berbuah. Susah aku nak bawa balik buah petai dengan basikal ini seorang diri, nanti kita bahagilah separuh-separuh. Aku tahu kau pun suka makan buah petai kan," pujuk Zakwan.

"Aku ingat kau ini cuma pengusaha buah durian saja, tapi sekarang nak jadi pengusaha buah petai pula ya Wan," selorohku.

"Ke situ pula kau ini, daripada dibiarkan buah petai di dalam hutan hujung kampung itu rosak atau dimakan haiwan liar, elok rasanya kita pergi ambil dan jual, ada juga hasilnya nanti. Lagipun hutan hujung kampung itu tiada pemilik, sesiapa pun boleh pergi ambil," jelas Zakwan tidak mahu mengalah.

"Ok la Wan aku pun dah lama tak masuk hutan hujung kampung, kalau begitu esok pagi aku datang jemput kau di rumah. Jangan lupa pula segala kelengkapan bila nak ke sana nanti," ujarku.

"Haa...! Macam itulah, ok esok pagi macam sekarang pukul sembilan pagi kau datang jemput aku. Jangan lewat pula," balas Zakwan bersemangat.

"Kalau nak masuk ke dalam hutan hujung kampung itu berhati-hatilah ya, takut juga sebab terdapat banyak haiwan liar dan berbisa di sana," sampuk emak sambil menghidangkan secawan kopi kepada Zakwan.

"Terima kasih maklang, kami akan ingat pesan maklang," balas Zakwan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience