BAB 11

Fantasy Series 814

Di manakah aku berada sekarang? Di manakah Zakwan dan Zoufy? Adakah aku sudah meninggal dunia? Adakah ini syurga? Kepalaku terasa sangat sakit.

Cahaya merah apakah itu? Cahaya itu semakin menghampiri ke arahku, semakin lama cahaya itu semakin panas membahang. Seluruh tubuh badanku berpeluh dengan laju.

Pada masa yang sama, aku terdengar suara seperti seseorang sedang memanggil namaku. Suara itu semakin lama semakin jelas kedengaran. "Firdaus, Firdaus, Firdaus...! Bangun."

"Firdaus bangun, tolong saya angkat Zakwan." Aku tersentak dan mulai tersedar, kelihatan Zoufy bersusah payah cuba mengeluarkan Zakwan daripada kapal angkasanya yang terbakar.

Zakwan masih tidak sedarkan diri lagi, kami cuba sedaya upaya memadamkan api yang marak menggunakan pasir dan tanah. Mujur api dapat dikawal dan dipadamkan beberapa minit kemudian.

"Apakah yang telah berlaku Zoufy?" soalku termengah-mengah akibat kepenatan memadamkan api.

"Kapal angkasa saya rosak dengan agak teruk akibat ditembak tadi. Maafkan saya kerana menyebabkan awak berdua turut sama mengikut saya ke sini," jawab Zoufy kesal dengan apa yang telah berlaku.

Aku masih lagi kebingungan, semuanya berlaku dengan sangat pantas. Kepalaku berdarah sedikit, mungkin terhantuk kapal angkasa Zoufy.

"Tak perlu minta maaf Zoufy, yang penting kita semua selamat. Tapi di manakah kita berada sekarang?" soalku lagi.

"Kita berada di Planet Taqris Firdaus. Saya telah menetapkan masa sepuluh tahun sebelum kemusnahan planet saya, nampaknya komponen merentas masa itu benar-benar telah berjaya membawa kita merentas masa. Kita perlu berjumpa dengan ayah saya untuk memperbaiki kerosakan kapal angkasa saya, hanya ayah dapat memperbaikinya." Zoufy kemudiannya mengecilkan semula kapal angkasanya dengan sistem paduan mudah alih.

"Selepas ayah saya memperbaikinya, saya berjanji akan hantar awak dan Zakwan pulang semula ke Bumi. Maafkan saya kerana menyusahkan awak berdua, saya betul-betul cemas tadi dan tak dapat berfikir dengan waras," luah Zoufy dengan wajah yang bersalah.

"Apa yang berlaku ini mungkin ada hikmahnya Zoufy, lagipun bukan salah awak. Kalau awak tak bantu saya dan Zakwan tadi dah pasti kami berdua dah terkorban," ujarku cuba untuk mengurangkan rasa bersalah Zoufy.

Pada masa yang sama aku berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar dan kami dapat pulang semula ke Bumi. Keluargaku dan Zakwan di Bumi pasti akan risau dengan kehilangan kami berdua.

Lebih menyedihkan lagi, apabila difikirkan semula, aku dan Zakwan pasti akan merindui keluarga kami di Bumi nanti.

Zakwan mulai sedar daripada pengsan. Zoufy memberikan kami sedikit minuman untuk mengurangkan rasa sakit di kerongkong akibat bom asap sebelum ini.

Aku melihat keadaan di sekeliling. Rupa-rupanya kami bertiga terhempas pada waktu malam di sebuah tempat yang gersang serta sunyi sepi. Tiada langsung tanda-tanda kehadiran penduduk, haiwan dan tumbuhan. Suhu di sekitar kami ketika ini sangat sejuk membeku, seluruh tubuhku menggigil kesejukan.

"Zoufy di manakah semua penduduk? Saya lihat kawasan ini seperti padang jarak padang terkukur saja," soalku kepada Zoufy, hairan dengan pemandangan yang agak sunyi dan menyeramkan.

"Setiap sumber semulajadi Planet Taqris dah lama habis digunakan, termasuklah haiwan dan tumbuhan. Ketika ini semua penduduk tinggal di bawah tanah, di atas ini cuacanya sangat panas pada waktu siang dan sangat sejuk pada waktu malam. Tiada apa yang dapat bertahan dengan cuaca yang ekstrem sebegitu. Lapisan ozon di planet kami telah lama musnah. Jika ditanam tumbuhan pun takkan boleh hidup lama, sebab itu kami lebih suka hidup di bawah tanah," jawab Zoufy.

"Owhhh...! patutlah semasa awak berada di Bumi bukan main seronok lagi awak berjalan dan melihat sekeliling kampung," celah Zakwan yang sudah semakin pulih.

"Saya harap planet awak berdua tak jadi seperti planet saya. Awak mesti menjaga planet awak dengan sebaik mungkin," nasihat Zoufy kepada kami.

"Zoufy kenapa Ajen Gazer itu menyerang kita? Kita tak pernah buat salah kan? Anehnya bagaimana mereka masih hidup walaupun planet awak dah musnah?" soal Zakwan kehairanan.

"Secara jujurnya saya juga hairan dan tak faham bagaimana mereka dapat sampai ke Bumi, malah masih hidup. Seingat saya sewaktu planet saya musnah, tiada sesiapa pun yang berjaya menyelamatkan diri kecuali saya," jelas Zoufy.

"Lebih pelik lagi, terdapat individu misteri yang membantu kita bertiga semasa diserang oleh Ajen Gazer di bengkel Wan tadi. Tanpa bantuannya dah pasti kita semua takkan berada di sini seperti sekarang," beritahuku.

"Saya harap semua persoalan itu akan terungkai satu persatu nanti," ujar Zoufy.

Tidak pernahku bayangkan apa yang aku alami sekarang. Berada di sebuah planet yang asing di galaksi yang berbeza. Hendak terbang ke luar negara pun aku tidak pernah terfikir, inikan pula dapat terbang merentas galaksi ke sebuah planet yang berjuta tahun cahaya jauhnya daripada Bumi.

Namun serangan oleh Ajen Gazer yang berlaku sebelum ini menggusarkan hatiku buat seketika.

"Daus aku risau dengan keluarga kita, aku harap orang jahat tadi tak mengganggu keluarga kita," luah Zakwan. Wajahnya kelihatan sedikit pucat.

"Aku pun sama Wan, sekarang apa yang boleh kita lakukan adalah berdoa supaya keluarga kita selamat," jawabku cuba untuk menenangkan Zakwan.

"Kita perlu segera mencari pintu untuk ke bandar bawah tanah. Bahaya jika kita terus terdedah dengan cuaca sejuk ini," beritahu Zoufy.

Kami bertiga berjalan selama tiga puluh minit merentasi gurun di Planet Taqris. Kami semua memeluk erat tubuh kami cuba untuk mengurangkan kesejukan. Kesejukan semakin terasa sehingga ke tulang. kami semua jelas menggeletar kesejukan.

Suhu semakin lama semakin sejuk, tubuh badanku terasa seperti dicucuk-cucuk kesejukan. Zoufy menggunakan alat di pergelangan tangannya untuk menentukan arah ke pintu bawah tanah. Alat itu juga berfungsi sebagai lampu menyuluh perjalanan kami.

Aku dan Zakwan menggunakan kesempatan itu untuk melihat segenap kawasan. Sungguh indah pemandangan di atas langit pada waktu malam. Berbilion bintang sedang menyinari ruang angkasa tanpa sebarang halangan.

Planet Taqris mempunyai tiga buah bulan dengan pelbagai saiz dan warna yang berbeza. Bulan yang paling besar berwarna merah, sederhana berwarna kuning dan yang paling kecil berwarna ungu. Gabungan warna itu memberikan pemandangan yang sangat mempesonakan.

Walaubagaimanapun, udara di sini agak kotor. Kami perlu menutup hidung dan mulut kami apabila ada tiupan angin meniup habuk halus ke udara.

Zoufy beritahu kami, terdapat sejenis alga yang hidup di bawah batu planet Taqris. Alga itu dapat bertahan dengan cuaca yang sangat melampau dan pada masa yang sama menghasilkan oksigen untuk kami bernafas.

"Kita dah sampai, di sinilah salah satu pintu masuk untuk ke bandar Planet Taqris," jelas Zoufy.

Aku nampak sebuah tiang yang sangat besar di situ, tinggi tiang itu mungkin lebih kurang sepuluh meter. Terdapat beberapa bentuk butang dengan bahasa penulisan yang tidakku fahami.

Zoufy menekan salah satu bentuk butang tersebut, dalam beberapa saat kemudian tiang itu terbuka dan di dalamnya kelihatan seperti sebuah lif.

Zoufy mempelawa kami berdua menaiki lif tersebut, lif itu meluncur turun dengan laju sebaik sahaja pintu lif ditutup. Seluruh tubuh badanku terasa ringan dan melayang. Dalam sepuluh minit kemudian baharulah lif itu berhenti dan terbuka.

Bertapa kagumnya aku dan Zakwan apabila melihat kawasan yang sangat luas di bawah tanah Planet Taqris, seluas mata memandang dan bagaikan tiada penghujungnya.

Kawasan itu sungguh maju dan padat dengan penduduk. Semua bangunan tinggi-tinggi belaka namun langitnya bukanlah awan, sebaliknya dipenuhi dengan lampu-lampu yang menyinar bagaikan Matahari.

Ada kenderaan yang bergerak di jalanan dan ada juga yang terbang. Kenderaan yang lalu-lalang penuh sesak di sana sini. Kami berdua tercengang sebentar melihat pemandangan yang mengagumkan di hadapan kami.

"Jika awak berdua nak tahu bandar ini dipanggil Bandar Korakuri, terdapat sebelas buah bandar lagi yang sama seperti ini di seluruh Planet Taqris. Bandar ini takkan ada malam, ia akan sentiasa siang supaya penduduknya dapat bekerja tanpa henti. Rumah ayah saya berada di seberang jalan sana, dalam dua puluh minit berjalan kaki," jelas Zoufy bersemangat, mungkin tidak sabar untuk berjumpa dengan ayahnya.

Zoufy membawa kami berdua memasuki sebuah kedai elektronik yang agak besar, menjual pelbagai jenis peralatan canggih yang tidak pernahku lihat.

Ramai penduduk Planet Taqris sedang membeli-belah di dalam kedai itu. Pakaian yang dipakai mereka semua juga sungguh unik.

Mereka asyik memandangku dan Zakwan sepanjang kami berada di dalam kedai itu. Mungkin pelik dengan pakaian kami berdua. Zoufy membeli dua buah alat seperti yang dipakai di pergelangan tangannya.

"Firdaus, Zakwan ambil alat ini dan pakai di pergelangan tangan awak berdua. Saya telah menetapkan bahasa planet saya, nanti senang untuk awak memahami dan berkomunikasi dalam bahasa kami," beritahu Zoufy sambil memberikan alat penterjemah tersebut.

"Terima kasih Zoufy," ucap kami berdua.

"Tapi kenapa penduduk di sini menjual alat penterjemah ini ya, bukankah semua penduduk di sini menggunakan bahasa yang sama?" soal Zakwan ingin tahu.

"Sebenarnya planet saya ada beribu bahasa yang berbeza di setiap tempat, malah setiap bandar pun menggunakan bahasa berbeza. Jadi alat penterjemah ini sangat berguna untuk samakan bahasa kami semua," jawab Zoufy.

"Tapi ada sesuatu yang aneh di bandar ini, tak seperti sebelumnya. Cuma saya tak tahu apa," bisik Zoufy sedikit curiga dengan keadaan di sekelilingnya.

Kami bertiga berjalan untuk ke rumah Zoufy. Sepanjang perjalanan, kami melihat kanak-kanak dan anak-anak muda sedang bermain-main sesama mereka. Permainan yang sudah semestinya berlainan sama sekali dengan penduduk Bumi.

Terdapat banyak rumah penduduk di sini, kawasan perumahannya hampir sama seperti di Bumi. Cuma yang berbeza adalah reka bentuk rumahnya yang agak aneh.

Ada yang berbentuk bulat, bujur, segitiga dan segiempat. Tumbuh-tumbuhan di tepi rumah mereka juga bukan tumbuhan yang sebenar, semuanya tampak keras seperti plastik.

"Zoufy tak apakah kita datang berjumpa dengan ayah awak sekarang? Nanti diri awak yang berada pada masa ini mesti terkejut melihat awak," soalku.

"Diri saya pada masa ini sedang belajar di Bandar Zabura. Tahun berikutnya baru saya pulang ke rumah. Saya rasa tak ada masalah jika kita pergi berjumpa dengan ayah saya sekarang, saya akan cerita segala-galanya kepada ayah saya apa yang telah berlaku," jelas Zoufy.

"Kita dah sampai di rumah saya, bertapa saya rindukan kampung halaman saya dan ayah," ucap Zoufy teruja.

Zoufy mengetuk pintu rumahnya beberapa kali, tidak berapa lama kemudian pintu itu terbuka. Tetapi wajah gembira Zoufy berubah menjadi sangat terkejut.

"Datuk Rokai kah ini? Tapi bagaimana..." Zoufy terhenti sebentar, dia tergamam dengan apa yang dilihat di hadapannya.

"Ya betul tu, saya Rokai tapi siapakah kamu bertiga?" soal lelaki tersebut. Lelaki itu berumur dalam lingkungan lima puluh tahun, terdapat sedikit uban di tepi rambutnya.

"Siapakah yang mengetuk pintu itu bang?" Wanita yang hampir sama usianya dengan pakcik tadi juga muncul di hadapan pintu.

"Nenek." Tidak semena-mena Zoufy jatuh terjelepok dan terus pengsan di hadapan pakcik dan makcik tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience