BAB 12

Fantasy Series 814

"Ayah cepat lari, ayah lari...!" jerit Zoufy mengigau di dalam mimpinya. Aku dan Zakwan cuba untuk menenangkan Zoufy. Tidak berapa lama kemudian baharulah Zoufy sedar semula.

"Di manakah saya berada sekarang?" tutur Zoufy lemah apabila mendapati dirinya berada di atas katil yang agak lusuh.

"Kita masih berada di dalam rumah pakcik sebelum ini Zoufy, pakcik itu dan isterinya sangat ramah dan baik hati. Isterinya menjaga awak apabila awak pengsan tadi. Sekarang mereka mengajak kita bertiga untuk makan bersama," jelasku kepada Zoufy.

"Berapa lama saya pengsan?" soal Zoufy lagi sambil memicit dahinya.

"Lebih kurang satu jam, awak mengigau agak teruk. Banyak kali kami cuba untuk menenangkan awak," jawab Zakwan.

"Saya minta maaf, sejak dua menjak ini saya asyik bermimpi buruk mengenai ayah saya," luah Zoufy.

Kami bertiga kemudiannya menuju ke ruang makan. Kelihatan pakcik, makcik dan anak-anaknya masih menunggu kedatangan kami semua untuk makan bersama.

Mereka sekeluarga tersenyum mesra apabila melihat kedatangan kami. Masing-masing mengambil tempat duduk di meja makan.

Makanan yang dihidangkan sungguh pelik, seakan kumbang besar berkaki banyak. Aku dan Zakwan berpandangan sesama sendiri, agak takut untuk menjamah makanan yang berada di hadapan kami itu.

"Silalah makan, tiada apa yang istimewa untuk dihidangkan cuma kumbang tanah saja yang ada dijual hari ini. Cacing tanah semuanya sudah habis dijual di pasar tadi," pelawa pakcik kepada kami.

Aku melihat muka Zakwan sudah bertukar menjadi sedikit hijau, kami berdua teragak-agak untuk menjamah makanan tersebut.

Demi menjaga hati tuan rumah, aku dan Zakwan menggagahkan diri juga untuk makan.

Kami mencuba sedikit makanan yang dihidangkan. Rupa-rupanya rasa kumbang tanah itu sangat sedap, tidak seperti apa yang aku bayangkan. Rasanya seperti isi ketam dan udang yang bercampur bersama.

"Siapakah nama kamu bertiga? Makcik tak pernah nampak kamu semua di sini sebelum ini," soal makcik sambil menuangkan air kepada kami.

Air yang dituang agak keruh, rasanya juga sangat payau. Mungkin sukar untuk mendapatkan air yang betul-betul jernih di planet yang kering kontang ini.

"Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menolong kawan saya tadi dan mempelawa kami makan. Nama saya Firdaus dan ini kawan saya Zakwan dan Zoufy," kataku memperkenalkan diri kami bertiga.

"Nama pakcik, Rokai. Isteri pakcik bernama Zouza, ini anak perempuan pakcik yang sulung bernama Qaira dan adik lelakinya bernama Hazor. Sebenarnya kamu semua ini daripada mana dan hendak ke mana?" soal Pakcik Rokai pula.

Aku dan Zakwan terdiam tidak tahu hendak menjawab apa. Kami berdua hanya memandang ke arah Zoufy, berharap Zoufy dapat memberikan jawapan kepada soalan Pakcik Rokai tadi.

"Errr... Kami dari bandar sebelah pakcik, saja nak melawat bandar ini," jawab Zoufy sedikit gugup.

"Owhhh...! Begitu rupanya, dah lama pakcik tak berjalan ke bandar-bandar lain. Dengar kata bandar sebelah sekarang ini menggunakan mesin baru, berpuluh kali ganda lebih besar untuk mengorek sumber mineral tenaga bawah tanah. Terdapat banyak peluang pekerjaan di sana. Tapi sebelum itu macam mana kamu tahu nama pakcik di hadapan pintu tadi? Pakcik kenal dengan ayah kamukah? Ingatan pakcik pun dah tak berapa bagus sekarang, asyik lupa saja," soal Pakcik Rokai lagi.

"Sebenarnya saya pernah lihat nama pakcik pada papan iklan bilik untuk disewa sebelum ini. Kalau boleh kami ingin menyewa sebuah bilik, itu pun jika masih kosong," dalih Zoufy.

"Owhhh...! Betul-betul, pakcik ada letak papan iklan itu bulan lepas. Kalau kamu semua nak menyewa bilik, pakcik boleh berikan diskaun sepuluh peratus," jelas Pakcik Rokai sambil tersenyum.

"Ayah, saya ingin keluar bermain," beritahu Hazor meminta keizinan.

"Baiklah tapi jangan pulang lewat sangat," jawab Pakcik Rokai tegas.

"Anak-anak muda zaman sekarang macam itulah, asyik bermain tak fikirkan pelajaran langsung," bebel Pakcik Rokai sendirian.

Setelah kenyang kami semua berehat di dalam bilik yang telah disewa. Zoufy hanya diam membisu, mungkin banyak yang sedang difikirkannya.

"Zoufy betulkah Pakcik Rokai tadi tu adalah datuk awak?" soal Zakwan memecah keheningan suasana.

"Betul Zakwan, saya tak pernah berjumpa dengan datuk dan nenek saya ketika mereka masih hidup, cuma gambar mereka saja yang ayah simpan. Ayah pernah bercerita kepada saya yang datuk menyediakan bilik untuk disewa demi menampung kehidupan kami sekeluarga. Apabila ada pelanggan yang datang untuk menyewa bilik tersebut, ayah terpaksa tidur berhimpit sekeluarga," jawab Zoufy sambil tersenyum.

"Patutlah awak tahu yang rumah ini ada menyediakan bilik untuk disewa," celahku pula.

"Rancangan asal saya ialah kembali sepuluh tahun sebelum kemusnahan Planet Taqris. Seterusnya membantu ayah saya menghentikan galian mineral tenaga planet kami menggunakan bukti data kemusnahannya. Tapi nampaknya semasa kapal angkasa saya ditembak, sistemnya telah rosak dan menghantar kita balik empat puluh tahun lebih awal dari sepatutnya," luah Zoufy kesal dengan apa yang berlaku.

"Nampaknya kita tak boleh meminta bantuan ayah awak untuk memperbaiki kapal angkasa awak Zoufy. Ayah awak masih muda dan belum menerima dokumen kapal angkasa serta komponen merentas masa itu lagi," beritahuku setelah melihat ayah Zoufy yang bernama Hazor masih lagi belasan tahun ketika ini.

Jika kapal angkasa Zoufy tidak dapat diperbaiki, aku dan Zakwan mungkin tidak dapat meninggalkan Planet Taqris buat selama-lamanya.

Kami berdua mungkin terpaksa menerima hakikat untuk terus tinggal di sini dan meninggalkan orang yang tersayang di Bumi.

"Maafkan saya kerana melibatkan awak berdua dengan masalah saya. Saya betul-betul tak sangka masalah yang saya hadapi sekarang telah menjadi semakin sukar," ujar Zoufy dengan perasaan bersalah.

Kelihatan air jernih mulai bertakung di kelopak matanya.

"Awak janganlah salahkan diri awak Zoufy, benda dah nak jadi kita tak boleh nak salahkan sesiapa," pujukku.

"Betul apa yang dikatakan Daus. Saya yakin kita pasti dapat menghadapi semua ini bersama-sama," sokong Zakwan.

"Saya berjanji akan memperbaiki kapal angkasa saya dan membawa awak berdua pulang semula ke Bumi, itu janji saya," beritahu Zoufy sambil mengesat air matanya yang mengalir tanpa henti.

Bagiku setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya. Tetapi jauh di sudut hati, aku berharap sangat kami dapat pulang semula ke Bumi. Aku pasti akan merindui ayah, emak dan adik.

Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut ke wajahku. Kedengaran suara kanak-kanak dari kejauhan sedang bermain-main sesama mereka. Cahaya lampu di luar rumah masih lagi kuat menerangi segenap kawasan.

Sedar tidak sedar kami bertiga akhirnya tertidur akibat kepenatan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience