BAB 7

Fantasy Series 814

Sudah dua jam kami berada di sini. Hujan semakin reda, mungkin akan berhenti pada bila-bila masa. Gadis tadi sudah sedar namun masih kelihatan lemah dan pucat, dia duduk berhadapan dengan kami sambil memeluk erat kedua lututnya.

"Ermmm... Ini ada sedikit makanan dan minuman yang kami bawa bersama semasa nak datang ke sini, awak jamahlah sedikit," pelawaku untuk berkongsi bekalan kami.

"Terima kasih," jawabnya ringkas, dengan pantas dia mengambil bekalan yang diberikan. Kami lihat dia makan dengan berselera sekali seakan sudah beberapa hari tidak menjamah makanan.

"Siapakah awak dan daripada mana awak datang? Kami tak pernah nampak awak di kampung kami sebelum ini," soalku semula.

"Nama saya Zoufy Hazor, awak boleh panggil saya Zoufy. Saya bukan berasal daripada planet awak, saya datang jauh daripada galaksi lain," jawabnya lemah.

Aku agak terkejut mendengar jawapan yang diberikannya. "Apakah maksud awak dengan galaksi lain? Saya kurang faham."

"Saya berasal daripada Planet Taqris, jauhnya berjuta tahun cahaya dari sini. Tapi planet saya telah musnah akibat kehabisan mineral tenaga, membunuh semua yang saya kenal di sana." Zoufy terhenti sebentar, terpampar riak kesedihan di wajahnya.

Aku dan Zakwan terkesima dan kehairanan dengan apa yang diceritakan gadis itu, antara percaya dan tidak. Tetapi melihat kepada keajaiban yang berlaku sebentar tadi mungkin ada sedikit kebenarannya.

"Saya tahu awak berdua mungkin sukar untuk mempercayai apa yang saya katakan ini. Saya pun sama, terkejut melihat penduduk planet lain yang hampir sama dengan saya. Tapi warna darah kita berbeza, saya lihat darah awak berwarna merah sedangkan saya berwarna ungu," jelas Zoufy lagi sambil menunjukkan bekas cecair berwarna ungu di seluarnya.

"Saya tak pasti sama ada awak sedang bergurau ataupun tak sekarang ini. Macam mana awak boleh berada di dalam hutan ini, sedangkan awak beritahu tadi planet awak berjuta tahun cahaya jauhnya?" soalku masih kurang percaya.

"Betul tu Daus, untuk sampai ke sini saja dah ambil masa berjuta tahun. Rasanya, sebelum dapat sampai ke sini dah tinggal tulang, tak pun dah jadi abu sebab terlalu lama. Dah la kita masih lagi berada di dalam hutan, sekarang awak cerita perkara yang bukan-bukan dan tak masuk akal pula," ujar Zakwan pula dengan wajah curiga.

"Wajah saya kelihatan seperti sedang berguraukah? Saya takkan bergurau dengan perkara seperti ini. Ayah saya berjaya membina dua buah kapal angkasa sebelum planet kami kehabisan mineral tenaga. Sistemnya diprogramkan supaya mencari planet yang terdekat dan sesuai dengan kami. Udara di planet awak hampir sama seperti planet saya, menyebabkannya terbang ke sini. Ayah dan saya telah cuba sedaya upaya untuk terbang keluar daripada planet kami sebelum ia musnah, namun segalanya berlaku dengan pantas, ayah tak sempat menyelamatkan diri," jelas Zoufy sambil menyeka air jernih yang tanpa disedari telah membasahi pipinya.

"Kapal angkasa kami berdua mempunyai teknologi pemindahan jisim. Teknologi itu dapat memindahkan jisim kapal angkasa kami dari satu ruang angkasa ke ruang angkasa yang berbeza dengan pantas. Ini bermakna saya dapat terbang melangkaui ruang angkasa ke planet awak dalam masa yang singkat," sambung Zoufy lagi.

Zoufy kemudiannya mengambil sebatang ranting kayu dan melakarkan sesuatu di atas tanah. "Cuba awak berdua bayangkan titik A dan titik B ini ialah dua buah galaksi yang berbeza. Garisan perjalanan di antara titik A ke titik B memakan masa yang sangat panjang. Teknologi pemindahan jisim ini membolehkan awak melipat garisan perjalanan ataupun ruang angkasa menjadi berhadapan di antara satu sama lain. Dalam erti kata lain perjalanan yang sepatutnya memakan masa selama berjuta tahun cahaya akan segera sampai."

"Jika betul awak datang ke planet kami dengan , di manakah kapal angkasa itu sekarang? Saya tak tahu ilmu apa awak guna untuk merawat kaki kawan saya, tapi apa yang awak ceritakan itu semuanya sangat mustahil. Kita baru saja berjumpa hari ini, sukar untuk kami percaya kata-kata awak itu," bantahku lagi.

Zoufy hanya diam membisu tanpa menjawab persoalanku, dia seakan memikirkan sesuatu. Wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang penipuan atau rekaan cerita, dia juga tidak kelihatan seperti orang yang tidak siuman.

Selamaku bekerja di Pusat Sains Negara, inilah kali pertamaku berhadapan situasi sebegini. Masih terdapatkah mahkluk planet lain selain daripada penduduk Bumi? Malah teknologi mereka sungguh maju sehingga mampu mencipta sesuatu yang mengagumkan.

Mereka juga mempunyai kemampuan merawat kecederaan dengan mengeluarkan cahaya biru daripada tapak tangan, sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh penduduk Bumi.

Zakwan menarik tanganku ke tepi dinding gua. "Daus kau tak rasa ka apa yang sedang aku rasa? Bulu roma di tengkuk dan tangan aku macam dah meremang dah ni. Aku takut apa yang aku fikir sebelum ini adalah betul. Kau tak ingat cerita arwah Pak Samad pada kita dulu, dia pernah kena tipu dengan makhluk halus hingga sesat di dalam hutan. Aku tak nak benda sama menimpa kita," andaian Zakwan lagi.

"Aku dah baca semua doa tadi Wan. Dia bukan seperti apa yang kita sangkakan. Dia juga makhluk sama seperti kita cuma agak berbeza," dugaku.

Belum sempat kami berdua habis berbincang, secara tiba-tiba cahaya yang sangat terang memancar daripada jam di pergelangan tangan Zoufy menyuluh seluruh isi gua.

Keadaan di sekeliling kami terus berubah. Kami seakan terapung di angkasa lepas yang sungguh luas dan tidak terbatas.

Muncul satu persatu planet-planet dan bintang-bintang di angkasa, seakan wayang gambar yang memaparkan seluruh cekrawala.

"Inilah planet saya manakala planet awak berada di galaksi lain, kedudukan di antara planet kita sangat jauh. Mungkin terdapat berbilion lagi planet-planet lain yang mempunyai kehidupan yang sama seperti planet kita. Setelah bertungkus-lumus selama bertahun-tahun, akhirnya ayah saya berjaya mencipta teknologi pemindaham jisim untuk merentas galaksi. Sebelum sampai ke sini saya pun sama seperti awak berdua tak tahu mengenai kewujudan makhluk di planet lain. Setelah melihat awak berdua, saya rasa kita kena membuka minda akan wujudnya makhluk lain selain daripada kita sendiri. Kita semua tak bersendirian di alam semesta ini," jelas Zoufy sambil menunjukkan setiap planet di sekelilingnya.

"Planet yang kita diami sekarang ini dipanggil Bumi," kataku sambil menggapai-gapai Bumi yang kelihatan hanya sebesar sebiji buah anggur.

Tiba-tiba muncul sebuah planet berwarna jingga di hadapan kami bertiga, tidak semena-mena planet itu meletup dan musnah menjadi serpihan kecil.

Aku dan Zakwan terduduk kerana terkejut, semuanya kelihatan seperti benar-benar berlaku.

Zoufy mematikan jam di pergelangan tangannya, paparan imej di sekeliling kami tadi mulai kabur dan terus hilang. Rupa-rupanya kami masih berada di dalam gua.

"Sungguh menakjubkan," ucap Zakwan kagum dengan apa yang dilihatnya tadi.

"Saya tak memaksa awak berdua mempercayai kata-kata saya. Segala apa yang awak tanya mengenai diri saya dah saya jelaskan. Terpulang kepada awak berdua untuk mempercayainya ataupun tak, saya tak rugi apa-apa," ujar Zoufy lagi sambil memandang kosong ke luar gua.

Aku dan Zakwan tergamam agak lama tanpa sepatah kata. Kami berdua hanya berpandangan sesama sendiri. Lidahku terasa kelu untuk membantah.

Mungkin betul apa yang dikatakan Zoufy, kami seharusnya membuka minda yang alam ini terlalu luas untuk kami fahami.

Angin menghembus lembut ke arah unggun api, kelihatan bara api berterbangan. Zoufy memandang sayu ke tanah, melayan perasaannya sendirian.

"Errr... Maafkan kami kerana tak mempercayai kata-kata awak Zoufy. Selama ini kami sangkakan hanya terdapat penduduk Bumi saja di seluruh alam semesta ini. Rupa-rupanya sangkaan kami selama ini adalah meleset sama sekali. Apa yang awak tunjukkan tadi mustahil dapat dilakukan oleh manusia biasa. Inilah kali pertama kami berhadapan dengan penduduk daripada planet lain, sungguh tak sangka rupa fizikal kita adalah sama. Salam perkenalan, nama saya Firdaus dan ini kawan saya Zakwan. Selamat datang ke Bumi," gugupku memperkenalkan diri kami berdua.

"Saya juga ingin meminta maaf Zoufy, kerana tuduh awak yang bukan-bukan tadi," kata Zakwan sambil tersengih.

Aku dan Zakwan tidak mahu melepaskan peluang untuk mengenali Zoufy dengan lebih dekat. Kami bertiga bertukar-tukar cerita sesama kami sementara menunggu hujan betul-betul berhenti.

"Ayah saya adalah segala-galanya bagi saya, saya kehilangan ibu saya ketika saya masih kecil lagi. Ayah saya Hazor adalah ahli saintis di Planet Taqris. Dalam kajiannya selama bertahun-tahun, ayah dapati planet kami semakin hampir ke penghujung. Mineral tenaga planet kami sudah habis digunakan. Ayah dah cuba bermacam-macam untuk beri amaran kepada penguasa planet kami. Namun ayah dianggap gila dan tiada sesiapa pun yang mempercayai kata-kata ayah, kami sekeluarga juga dipinggirkan oleh penduduk lain. Hingga akhirnya semuanya dah terlambat dan tiada apa yang dapat dilakukan lagi," sambung Zoufy, terpampar riak kesayuan dan kekesalan di wajahnya.

Kami berdua bersimpati dengan luahan dan cerita Zoufy. Memang sedih apabila kehilangan orang yang kita sayang, lebih-lebih lagi ahli keluarga sendiri.

Tetapi apa yang dialami Zoufy jauh lebih menyayat hati, kehilangan seluruh kaumnya apabila Planet Taqris musnah memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Zoufy kelihatan termenung jauh seperti sedang memikirkan sesuatu, mungkin terkenangkan kampung halamannya yang sudah tiada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience