Series
814
PROLOG
Dua puluh lima tahun sebelum pengembaraan masa.
Kehidupan di sebuah planet yang berada jauh daripada Bumi bakal berubah sepenuhnya tidak lama lagi. Penduduknya menyangka kehidupan mereka masih aman dan harmoni sama seperti selalu.
Tanpa mereka sedari, planet yang mereka diami sekarang sebenarnya telah ditakluki, ia sedang dimusnahkan sedikit demi sedikit oleh parasit angkasa. Parasit yang memakan mineral tenaga sesebuah planet demi untuk kelangsungan hidupnya.
Keadaan di sekeliling agak tenang ketika ini, membuai mimpi sesiapa sahaja yang sedang nyenyak tidur. Angin yang bertiup lembut sebelum ini berubah secara tiba-tiba menjadi sebuah pusaran.
Pancaran cahaya terang berwarna biru memancar daripada pusaran angin tersebut. Panahan kilat yang terhasil merosakkan beberapa buah lampu jalan di sekitar kawasan kejiranan berhampiran.
Tidak semena-mena muncul sesuatu seperti sebuah kenderaan daripadanya. Rupa bentuk kenderaan tersebut sangat canggih, terdapat pelbagai jenis lampu berkelip-kelip di sekelilingnya. Selang beberapa minit kemudian semuanya menjadi tenang semula. Debu-debu berterbangan ditiup angin malam.
Dua individu yang tidak dikenali keluar daripada kenderaan itu. Pakaian mereka juga sungguh unik seperti sebuah jubah panjang tutup melebihi kaki, sehinggakan mereka sendiri tampak agak sukar untuk berjalan.
Salah satu individu tersebut sedang mengaktifkan sebuah alat di tangannya. Alat itu mengeluarkan cahaya berwarna hijau dan pada masa yang sama memberitahu sesuatu dalam bahasa yang tidak difahami.
"Betul di sinilah tempatnya, dia berada di dalam rumah itu," beritahu individu berpakaian warna putih kepada rakannya.
"Apa yang ditunggu lagi, kita perlu segera selesaikan tugas ini," balas individu berpakaian warna hitam.
Mereka menuju ke arah rumah yang dimaksudkan, setelah mengetuk beberapa kali akhirnya penghuni rumah itu keluar. Penghuni itu kelihatan sangat mengantuk, dia menguap dan mengesat matanya beberapa kali.
"Adakah kamu bernama Hazor?" soal individu berpakaian warna hitam.
"Betul sayalah Hazor, tapi siapakah kamu berdua? Adakah kamu mahu menyewa bilik untuk malam ini?" soal Hazor semula.
"Kami minta maaf sebab mengganggu kamu sekarang, tapi hanya pada waktu ini saja kita dapat berjumpa tanpa gangguan penghuni lain. Kami mempunyai tugas penting untuk kamu lakukan," jawab individu berpakaian warna putih.
"Tugas yang dapat mengubah sejarah buat selama-lamanya, mungkin juga dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa yang tak berdosa," ujar individu berpakaian warna hitam pula.
"Apa yang kamu berdua merepek ini, saya tak faham. Rumah kami menyediakan beberapa buah bilik untuk disewa, jika kamu mahu menyewanya masih ada kekosongan," jelas Hazor keliru.
Mereka berdua mengeluarkan sesuatu dari belakang mereka, terdapat dua buah alat sebesar sebuah telefon bimbit berserta beberapa keping dokumen.
"Kami mahu memberikan kamu dengan komponen dan dokumen ini, fahaminya dan ciptalah sesuatu daripadanya," beritahu individu berpakaian warna hitam lagi.
"Planet kamu dah tak mempunyai banyak masa lagi, mineral tenaganya semakin berkurangan. Seluruh keluarga kamu akan terkorban jika kamu tak melakukan sesuatu," celah individu berpakaian warna putih pula.
"Ingat, setiap komponen yang kami berikan itu hanya dapat digunakan sebanyak lima kali saja. Selepas itu tenaganya akan habis dan tak dapat digunakan lagi," terang individu berpakaian warna hitam dengan wajah serius.
"Apa maksud kamu berdua, apa kena mengena saya dengan semua ini? Tolonglah jangan bermain-main lagi," balas Hazor dengan perasaan marah.
Individu berpakaian warna hitam mengeluarkan sekeping gambar daripada poket bajunya dan menyerahkannya kepada Hazor. Gambar tersebut menunjukkan sepasang pasangan sedang mendukung budak perempuan yang masih kecil.
"Lelaki di dalam gambar itu adalah kamu sendiri dan perempuan itu adalah isteri kamu beberapa tahun dari sekarang. Budak perempuan itu pula adalah anak kamu yang bakal lahir nanti," jelas individu berpakaian warna hitam.
"Memang betul ini gambar saya bersama dengan isteri saya, tapi anak saya masih belum lahir lagi. Bagaimana kamu berdua boleh mempunyai gambar ini?" soal Hazor kehairanan sambil menatap lama gambar yang berada di tangannya.
"Kami bukan berasal daripada planet ini, kami datang jauh dari masa hadapan. Suatu hari nanti tindakan kamu akan mengubah nasib planet ini dan juga planet lain. Gunalah komponen dan dokumen yang kami berikan itu dengan sebaiknya," ujar individu berpakaian warna putih.
Dua individu itu kemudiannya meninggalkan Hazor bersendirian, mereka datang secara misteri dan mereka pergi juga secara misteri.
"Tugas kita di sini dah selesai, aku harap dia berjaya memahami teknologi kita. Komponen yang kita berikan itu hanya akan aktif apabila ia berada di sebuah planet yang dinamakan Bumi," tutur individu berpakaian warna putih kepada rakannya.
"Jangan lupa, komponen itu juga akan aktif dengan sendirinya jika ia berterusan menyerap tekanan tinggi. Anaknya dan dua orang penduduk Bumi yang akan meneruskan misi ini, kita hanya dapat berharap kepada kejayaan mereka semua. Jika mereka gagal, mungkin ramai nyawa yang tak berdosa akan menjadi korban, termasuklah juga nyawa kita," beritahu individu berpakaian warna hitam.
"Ke mana kita nak pergi pula selepas ini?" soal individu berpakaian warna putih.
Individu berpakaian warna hitam kelihatan tersenyum penuh makna. "Kita perlu menghantar robot kecil ini ke masa hadapan, robot ini juga adalah sebahagian daripada cerita ini."
Hazor terlalu asyik melihat gambar yang dipegangnya sehingga tidak perasan dua individu tadi telah menaiki kenderaan mereka semula.
Hazor ingin mendapatkan lebih banyak penjelasan daripada dua individu tersebut, namun dia sudah terlambat. Cahaya yang sangat terang berwarna biru memancar daripada kenderaan mereka sebelum ia hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan.
"Apakah yang sebenarnya telah berlaku?" soal Hazor sendirian, terkejut dan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Peluh dingin mulai membasahi dahinya.
Hazor membaca tulisan yang tertulis pada dokumen yang ada di tangannya. Satu tajuk menarik perhatiannya.
"Dimensi masa," baca Hazor.
Share this novel