BAB 8

Fantasy Series 814

Hujan mulai berhenti setelah mencuci setiap kawasan dan memberi sumber air kepada seluruh isi hutan, mentari semakin memancarkan cahayanya menyinari segenap ruang.

Kami berdua berkemas siap untuk pulang, aku memadamkan api yang dipasang tadi. Zakwan pula tidak melupakan buah petainya dan menyimpan semula galah yang digunakan, terlupa seketika kesakitan yang dialaminya sebelum ini.

"Di manakah awak nak tinggal selepas ini Zoufy? Tak elok jika awak terus berada di dalam gua ini sendirian tanpa sebarang makanan dan minuman," soalku kepada Zoufy yang hanya diam membisu sejak dari tadi.

"Betul kata Daus. Lagipun di dalam hutan ini agak berbahaya apabila tiba waktu malam, terdapat banyak haiwan buas dan berbisa mungkin berkeliaran," beritahu Zakwan.

"Terima kasih sebab mengambil berat keselamatan saya. Awak berdua janganlah risau, saya dah besar dan pandai jaga diri. Cuma satu saya minta, harap kedatangan saya di sini dirahsiakan. Saya akan meninggalkan planet awak sebaik saja kapal angkasa saya dapat berfungsi semula nanti," jawab Zoufy penuh yakin.

"Awak nak pergi ke mana lagi Zoufy? Bukankah planet kami dah sesuai dengan awak? Apa kata awak tinggal saja di sini bersama kami. Saya dan Zakwan boleh tolong awak biasakan diri sebagai penduduk Bumi nanti," cadangku kepada Zoufy.

"Saya harap sangat dapat bantu awak selama mana awak berada di Bumi Zoufy, sebagai tanda terima kasih kerana merawat kaki saya," ujar Zakwan pula.

"Terima kasih awak berdua, tapi saya mempunyai misi yang mesti saya lakukan," ucap Zoufy sambil menggenggam erat kedua tangannya.

"Boleh kami tahu apakah misi awak itu? Kalau awak perlukan apa-apa kami sedia membantu," soalku ingin tahu.

"Saya perlu kembali semula ke masa lalu dan membetulkan keadaan kepada asal. Saya akan menyelamatkan ayah serta seluruh kaum planet saya daripada kemusnahan," luah Zoufy penuh semangat.

Aku dan Zakwan tercengang mendengar penjelasan Zoufy, dia seperti tidak dapat menerima kenyataan dengan apa yang telah menimpa ke atas dirinya.

"Kami faham kesedihan awak alami sekarang. Tapi apa yang dah berlaku takkan boleh diundur semula dan apa yang dah tiada takkan boleh kembali semula. Awak mesti menerima hakikat," nasihatku kepada Zoufy.

"Saya akan merentas masa dengan kapal angkasa saya Firdaus, kembali sepuluh tahun sebelum kemusnahan Planet Taqris. Segala bukti dan data kemusnahan planet saya telah dirakamkan kapal angkasa. Dengan bukti itu, saya harap penguasa dan penduduk planet saya akan mempercayai kata-kata ayah dan saya, seterusnya menghentikan segera galian mineral tenaga," rancang Zoufy.

"Merentas masa...! Maksud awak kapal angkasa awak juga dapat merentas masa sebelum atau selepas kejadian itu berlaku, itukah maksud awak?" soal Zakwan kagum.

"Ya Zakwan, kapal angkasa saya dilengkapi dengan komponen merentas masa, ia dapat menghasilkan tenaga positif clarion dan seterusnya membolehkan kapal angkasa saya merentas masa. Tapi itu hanya dapat digunakan sebanyak lima kali saja, selepas itu tenaganya akan habis dan tak dapat digunakan lagi," jawab Zoufy dengan wajah serius.

"Sungguh menakjubkan, teknologi yang ada di planet awak sangat maju, melebihi teknologi yang ada di Bumi. Tapi tak bahayakah penduduk di planet awak menghasilkan teknologi seperti itu? Sejarah dapat diubah dengan sewenang-wenangnya," soalku ingin tahu.

"Komponen merentas masa itu memang ada keburukannya jika ia disalahgunakan, namun jika digunakan dengan sebaiknya ia akan mendatangkan kebaikan. Tapi teknologi itu bukan teknologi Planet Taqris, teknologinya melangkaui kemajuan yang ada di planet kami. Terdapat penduduk daripada planet lain datang dan berikannya kepada ayah saya. Setelah misi saya selesai nanti, saya sendiri yang akan memusnahkannya," jelas Zoufy.

Aku dan Zakwan terkejut dengan apa yang kami dengar. Tidakku sangka, rupa-rupanya di luar sana masih terdapat penduduk daripada planet lain yang jauh lebih maju berbanding Planet Taqris dan Bumi.

"Sebenarnya ayah saya juga tak pasti kenapa komponen itu diberikan kepadanya. Ayah takut teknologi itu disalahgunakan, jadi ayah merahsiakannya. Hanya ayah dan saya saja yang tahu akan kewujudan komponen itu. Ayah menyimpan dan mengkajinya selama berpuluh tahun, namun ia langsung tak dapat diaktifkan. Sehinggalah semasa saya terhempas di planet awak, ia mulai aktif dengan sendirinya," jelas Zoufy lagi.

"Mungkin ketika awak terhempas di Bumi, sistem di dalam komponen merentas masa itu aktif secara tak sengaja Zoufy," duga Zakwan.

"Mungkin juga Zakwan. Saya percaya mesti ada sebab mengapa komponen itu diserahkan kepada ayah, mungkin untuk menyelamatkan planet saya daripada musnah," kata Zoufy sambil tersenyum penuh harapan.

"Ayah selalu bercerita kepada saya, bagaimana penduduk daripada planet lain itu datang dan berikan dua buah komponen merentas masa serta beberapa keping dokumen kepadanya. Bersama dokumen itu terdapat sekeping gambar, iaitu gambar ayah bersama ibu saya sedang memeluk budak perempuan. Mereka beritahu gambar itu diambil pada masa hadapan dan yang dipeluk oleh ibu saya itu adalah saya sendiri, peliknya pada masa itu ibu saya baru saja mengandungkan saya. Dokumen yang mereka berikan adalah . Bertahun lamanya ayah berusaha untuk memahaminya, sehinggalah akhirnya ayah berjaya membina kapal angkasa kami," beritahu Zoufy sambil menunjukkan gambar yang dimaksudkannya kepada kami.

Kami melihat gambar yang diberikan Zoufy, sekeping gambar yang menunjukkan sebuah keluarga yang bahagia. Malangnya kedua orang tua Zoufy bersama seluruh kaum planetnya sudah tiada, hanya tinggal dirinya sahaja bersendirian di alam semesta ini.

"Setelah mereka menyerahkan komponen dan dokumen itu, ayah lihat mereka menaiki sebuah kenderaan yang sangat canggih. Kenderaan mereka memancarkan cahaya terang sebelum ia hilang daripada pandangan. Sejak dari hari itu ayah percaya yang mereka memang betul-betul datang dari masa hadapan. Pelan data itu juga menerangkan bagaimana cara untuk menggunakan komponen merentas masa. Saya akan mengujinya buat pertama kali nanti," sambung Zoufy lagi. Terpancar sinar harapan di wajahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience