BAB 5

Fantasy Series 814

Terdengar bunyi kicauan burung dari atas pokok, mungkin sedang berzikir kepada maha pencipta.

Ayam-ayam kampung berkeliaran tangkas berlari ke sana sini mengais-ngais tanah untuk mencari sedikit makanan. Ada yang mencari makanan untuk diri sendiri dan ada juga untuk si anak yang masih kecil.

Angin sawah meniup lembut membuatkan anak-anak padi melenggok bagaikan sedang menari-nari kegembiraan. Matahari menyinari segenap kawasan memberi sumber kehidupan kepada tumbuhan, haiwan dan manusia.

Kanak-kanak pula sedang gembira bermain sesama mereka, permainan seperti congkak, galah panjang, batu seremban, sepak raga, gasing, layang-layang, baling kasut, guli, sorok-sorok dan sebagainya. Terasa suasana kampung yang amat mendamaikan.

Sesudah bersiap, aku dan Zakwan bergerak ke tempat yang hendak dituju bersama. Aku mengenakan seluar tracksuit bersama baju-T. Segala kelengkapan sudah dibawa Zakwan, termasuklah parang, pisau dan galah panjang yang boleh dipasang dan ditanggalkan. Semuanya dimuatkan ke dalam bonet belakang kereta.

"Daus pukul berapa kau datang jemput aku ni, kelmarin janji pukul sembilan pagi sekarang dah pukul berapa?" soal Zakwan.

"Janganlah marah Wan, baru pukul dua belas tengah hari. Aku tolong ayah aku sembur baja kat sawah pagi tadi. Aku kasihan tengok ayah aku uruskan sawah seorang diri," jelasku kepada Zakwan.

"Owhhh...! Ya ka, kenapa kau tak beritahu aku awal-awal lagi Daus. Kalau aku tahu kau tolong paklang kat sawah tadi, aku batal saja aktiviti kita hari ini, tak pun tunda ke hari lain. Aku pun sebenarnya kasihan tengok ayah kau uruskan sawah sendirian dalam usia yang dah lanjut," ujar Zakwan.

"Tak ada apalah Wan, semua dah selesai. Cuma dah lama aku tak angkat tong sembur baja, sakit belakang aku. Tak sangka ayah aku dah biasa dengan semua kerja itu," kataku takjub dengan kudrat tulang empat kerat pesawah atau petani untuk mencari sesuap nasi.

"Itulah Daus, kita kena menghargai pesawah yang bersusah payah mengusahakan sawah padi. Kalau tiada mereka takkan ada beras, tak dapatlah kita nak makan nasi lagi. Walaupun banyak beras import di luar sana, tapi takkan kita nak mengharapkan negara lain saja untuk makanan kita sendiri. Bagaimana kalau suatu hari nanti mereka tak mahu jual beras mereka kepada kita lagi? Kan dah jadi satu masalah. Kita harus fikir semua itu," tegur Zakwan penuh bersemangat.

"Ya la Wan, kau kalau berdebat tak ada siapa boleh lawan," kataku sambil ketawa.

Kami bergerak dengan perlahan dan berhati-hati memandangkan jalan untuk ke dalam hutan hujung kampung agak berliku-liku dan tidak berturap.

"Daus kita kena berhenti di tepi jambatan ini, kereta dah tak boleh masuk lagi ke dalam. Kita kena berjalan kaki terus ke pokok petai dari sini," jelas Zakwan.

"Dah lama aku tak ke sini Wan. Masa zaman sekolah dulu saja kita selalu datang sini mencari hasil hutan bersama kawan-kawan kita yang lain," kataku sambil mengenang nostalgia lama.

Aku melihat keadaan sudah banyak berubah, banyak kawasan ditumbuhi semak-samun yang setinggiku.

Kerendangan pepohon yang menghijau menyegarkan mata sesiapa sahaja yang memandang, bunyi unggas di sana sini merancakkan lagi suasana.

"Ha ha ha...! Ingat pun kau, kan kita selalu kena marah apabila datang ke sini. Kau ingat tak dulu kita selalu kutip hasil hutan di sini selepas sekolah. Hasilnya kita jual dan bahagi sama rata. Ada sekali tu hasil hutan kita penat-penat cari tak sempat nak ambil sebab kena kejar babi hutan, semua lari lintang-pukang tak peduli apa dah," kata Zakwan sambil ketawa terkekeh-kekeh menampakkan semua gigi.

"Mestilah aku ingat, nak cari duit lebihlah katakan. Duit itu pula kita habiskan untuk beli mainan. Entah pergi mana la babi hutan itu ya, besar pula tu yang kejar kita," tambahku pula sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Yang lawaknya lagi, boleh pula babi hutan tu bawak geng untuk kejar kita. Tapi kan Daus, semua tu dah jadi satu memori yang tak dapat kita lupakan sampai bila-bila, budak-budak sekarang mana nak merasa semua tu," ujar Zakwan.

"Setiap zaman ada cabarannya tersendiri Wan. Kita dengan cabaran kita, budak-budak sekarang dengan cabaran mereka yang tersendiri," ujarku pula.

Kami berdua meredah hutan dengan berhati-hati, membawa segala kelengkapan menelusuri sepanjang jalan yang selalu dilalui oleh penduduk kampung. Sesetengah penduduk kampung mencari hasil hutan sebagai sumber rezeki.

Terdapat banyak hasil hutan yang selalu dicari oleh penduduk kampung di sini, antaranya seperti rotan, rebung, ulam-ulaman, pucuk paku, buah petai, buah durian, pokok-pokok herba dan sebagainya.

Perjalanan kami lalui memakan masa selama satu jam. Dari jauh kelihatan awan mendung mulai berarak ke kawasan kami. Kawasan yang sebelum ini cerah dengan sinaran cahaya matahari semakin gelap dilitupi awan tebal.

"Aku rasa macam nak hujan saja sekejap lagi Wan," kataku meluahkan kerisauan memandangkan kami berada agak jauh ke dalam hutan.

"Tak ada apalah Daus, nanti berlalulah awan tu, kau tu risau sangat. Kita pasang galah ini, kalau cepat kita kait buah petai cepatlah kita balik nanti. Aku tengok kat sini macam banyak buah petai boleh dikait," beritahu Zakwan, dia kelihatan bersemangat memasang dan menyambung galah yang dibawanya supaya menjadi panjang.

"Agak tinggi juga pokok petai ini, seingat aku masa kita mula-mula datang ke sini taklah tinggi sangat. Apa kata kau panjat saja Wan, aku tengok kat dalam televisyen orang selalu panjat, tak pun guna beruk bila nak ambil buah petai," cadangku kepada Zakwan yang kelihatan berpeluh-peluh menyambung galahnya.

"Tinggilah Daus, kalau jatuh ni boleh mati tak pun jadi cacat seumur hidup. Cuba kau lihat galah ciptaan aku ini, boleh dipasang menjadi panjang dan boleh juga ditanggalkan menjadi batang-batang pendek. Boleh dibawa ke mana-mana sahaja, mudah alih dan senang digunakan," jelas Zakwan bangga dengan ciptaannya.

"Kau memang hebat mereka cipta sesuatu dari dulu lagi Wan. Kalau kau teruskan dengan minat kau ini, aku rasa kau boleh jadi seorang pereka cipta yang hebat suatu hari nanti," pujiku.

Zakwan sememangnya berbakat dalam bidang rekacipta. Ketika masih belajar di sekolah, dia selalu menyertai dan menjadi juara pertandingan inovasi. Sekarang Zakwan banyak menghasilkan alat atau mesin bagi memudahkan dia bekerja di dusun duriannya.

Antaranya seperti alat pengutip buah durian, mesin pemotong rumput automatik, mesin penghalau haiwan yang kerap memakan buah duriannya dan pelbagai lagi.

Zakwan juga mempunyai diploma dalam bidang kejuruteraan mekanikal, tetapi apabila sudah tamat pengajian dia lebih suka menolong ayahnya di dusun durian.

Mungkin dia juga kasihan melihat ayahnya seorang diri mengusahakan dusun durian milik keluarganya.

"Yalah Daus, tapi kau lagi hebat daripada aku. Kau bekerja di Pusat Sains Negara, pelbagai perkara berkaitan dengan teknologi terkini kau tahu kan," ujar Zakwan sambil mengait buah petai.

"Tak sangka kan Wan cepat betul masa berlalu. Ada kawan-kawan kita yang dah berkeluarga pun, semuanya dah dewasa dan ikut haluan masing-masing," luahku kepada Zakwan.

"Masa mana nak tunggu kita Daus, sedar tak sedar kita dah tua. Kalau kita boleh undurkan masa kan best," ujar Zakwan lagi. Aku hanya tersenyum dengan kata-katanya.

"Bukkk... Bukkk...!" Bunyi buah petai jatuh ke atas tanah. Terdapat banyak buah petai menjadi kali ini, semuanya besar-besar belaka.

Angin bertiup semakin kencang, awan kelihatan menghitam. Rintik-rintik hujan mulai turun. Pokok-pokok di sekeliling kami bergoyang dengan agak kuat.

"Daus cepat ambil buah petai yang jatuh tadi," arah Zakwan.

Aku mengutip buah petai dan mengikatnya menjadi satu ikatan, tidak semena-mena hujan mencurah dengan lebatnya. Kami tidak sempat untuk mengutip kesemua buah petai yang dikait tadi.

"Wan ada sebuah gua di sana, jom kita berteduh di sana dulu," cadangku kepada Zakwan.

Kami berdua melarikan diri daripada hujan yang semakin lebat ke arah gua tersebut. Tanpa disangka-sangka Zakwan tersadung akar pokok petai dan terjatuh pada seketul batu.

"Prak...!" Bunyi seakan tulang patah.

"Aduh...! Daus tolong aku," jerit Zakwan.

Aku kembali mendapatkan Zakwan dan memapah Zakwan masuk ke dalam gua, kelihatan darah pekat berwarna merah mengalir keluar daripada kakinya.

"Bertahan Wan, kau duduk di atas batu ini biar aku lihat keadaan kaki kau," kataku cuba untuk menenangkan Zakwan.

Kaki Zakwan telah patah, aku membalut kakinya yang cedera dan berdarah tadi dengan kain daripada bajuku sendiri. Aku cuba untuk menghentikan pendarahan Zakwan dengan sebaik mungkin, jika dibiarkan akan berlaku komplikasi lebih serius.

Peluh dingin mulai terbit daripada dahi Zakwan, menunjukkan dia sedaya upaya menahan kesakitan yang amat sangat.

"Kita terpaksa tunggu hujan berhenti terlebih dulu Wan, barulah aku boleh pergi meminta bantuan," jelasku kepada Zakwan.

Zakwan berehat dan bersandar di dinding gua sambil menahan kesakitan. "Terima kasih Daus, kalau kau tak ada tadi entah apa akan terjadi pada aku."

Aku lantas mengumpulkan ranting-ranting kering di tepi dan dalam gua. Unggun api dipasang, memanaskan tubuh badan kami berdua sementara menanti hujan berhenti.

Malangnya, walaupun sudah lama menunggu, hujan seakan tidak mahu berhenti. Ribut berserta angin kencang yang melanda menggusarkan hatiku. Keadaan Zakwan pula semakin serius.

Gua tempat kami berteduh agak dalam dan luas, mujur tiada binatang buas atau berbisa tiggal di dalamnya. Setahuku pada masa dahulu orang kampung pernah bercerita ternampak kelibat harimau di kawasan ini.

"Krak...!" Terdengar bunyi ranting patah dari belakang kami berdua. Aku dan Zakwan berpandangan sesama sendiri tanpa sepatah kata.

Aku mulai terfikir perkara bukan-bukan. Aku lantas mengeluarkan parang, takut-takut yang datang itu adalah harimau ataupun beruang.

Kami berdua jelas ketakutan. Pada masa yang sama, aku membaca semua doa dan surah Al-Quran yang aku hafal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience