Series
814
Setelah beberapa puluh minit berjalan kaki, kami akhirnya sampai di rumah datuk Bandar Korakuri. Terdapat ramai pengawal yang sedang berjaga di setiap kawasan.
Rumahnya sangat besar dan mewah, berbentuk seperti piramid. Setiap penjuru rumahnya dibina daripada kaca yang sangat kukuh berwarna hijau berkilau.
"Atas urusan apa kamu semua datang ke sini?" soal pengawal yang berbadan besar kepada kami.
"Kami ingin berjumpa dengan datuk bandar, ada perkara penting yang perlu kami sampaikan," jawab Zoufy penuh yakin.
"Baiklah, tapi sila tinggalkan semua benda yang tak berkenaan di sini." Pengawal tersebut memeriksa badan kami satu persatu dengan sebuah alat pengimbas yang canggih.
Aku hairan mengapa rumah datuk bandar dikawal begitu ketat, seperti ada sesuatu disembunyikannya. Kapal angkasa Zoufy yang sudah dikecilkan dengan sistem paduan mudah alih juga dirampas dan disimpan di dalam sebuah peti keselamatan.
Mujur Zoufy telah menyimpan semua data kemusnahan Planet Taqris di dalam alat penterjemah di pergelangan tangannya.
Pengawal keselamatan itu lantas membawa kami bertiga ke bilik datuk bandar. Bilik tersebut dihiasi pelbagai jenis batu permata berwarna-warni. Beberapa buah potret juga tergantung di dinding.
Potret-potret itu dapat bergerak dengan sendirinya. Kebanyakannya adalah potret datuk bandar, tertulis perkataan datuk bandar pada kesemua potret itu.
"Ya, ada apa kamu bertiga mahu berjumpa dengan saya. Saya harap kamu semua tak membuang masa saya dengan hal yang remeh," beritahu datuk bandar tersebut sibuk dengan kerjanya di atas meja.
Datuk bandar itu berumur dalam lingkungan empat puluh tahun, mempunyai misai bergulung di tepi, agak gempal, botak dan tidak berkening.
"Nama saya Zoufy dan ini kawan saya Firdaus dan Zakwan. Saya membawa berita buruk untuk seluruh penduduk Planet Taqris. Kita perlu menghentikan segera galian mineral tenaga, sebab dalam beberapa puluh tahun dari sekarang planet ini akan kehabisan mineral tenaga dan seterusnya akan musnah. Tiada sesiapa pun yang akan selamat apabila kemusnahan itu berlaku," jelas Zoufy bersungguh-sungguh.
Datuk bandar itu kelihatan terkejut setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Zoufy. Dia kemudiannya memandang tajam ke arah kami bertiga sambil tersenyum sinis. "Saya rasa inilah lawak yang paling teruk pernah saya dengar. Adakah kamu mempunyai bukti dengan apa yang kamu katakan itu?"
"Semua data kemusnahan Planet Taqris telah disimpan di dalam alat penterjemah saya. Datuk boleh melihat sendiri kalau datuk masih tak percaya dengan kata-kata saya," jawab Zoufy sambil memberikan alat penterjemah di pergelangan tangannya kepada datuk bandar.
Beberapa ahli saintis telah dipanggil untuk mengkaji dan menyelidiki segala data yang diberikan Zoufy. Mereka juga melihat ulang tayang hologram kemusnahan Planet Taqris.
Wajah mereka terus berubah pucat dan berpeluh-peluh, mungkin terkejut dengan data kemusnahan yang bakal berlaku di planet mereka nanti.
"Tuan, segala data yang diberikannya adalah benar dan tiada langsung keraguan. Data tersebut menunjukkan kemusnahan Planet Taqris empat puluh tahun dari sekarang," beritahu ahli saintis itu kepada datuk bandar.
"Mustahil...! Bagaimana mereka boleh mempunyai data pada masa hadapan," jerit datuk bandar tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
"Kita masih mempunyai masa lagi sebelum semuanya terlambat. Tiada gunanya saya menipu perkara penting seperti ini, berbilion nyawa penduduk Planet Taqris menjadi taruhannya," jelas Zoufy, pada masa yang sama memberi amaran serta peringatan.
"Saya masih juga kurang percaya, walaupun ahli saintis saya mengatakan data itu adalah benar. Bagaimana mungkin kamu bertiga mempunyai data yang kejadiannya akan berlaku empat puluh tahun dari sekarang. Kalau saya mati hidup semula pun saya takkan percaya dengan kata-kata kamu semua," balas datuk bandar.
Zoufy merengus marah dengan sikap yang ditunjukkan oleh datuk bandar tersebut. Walaupun sudah ada bukti yang nyata, namun datuk bandar itu masih tetap meraguinya. "Kami sebenarnya... Sebenarnya kami bertiga datang dari masa hadapan."
Semua yang berada di dalam bilik datuk bandar terus terdiam, mereka tercengang dengan penjelasan Zoufy.
"Masa hadapan, tapi bagaimana kamu bertiga dapat datang ke sini? Kamu semua jangan nak tipu saya, kamu tahu kan apa hukumannya untuk penduduk yang menipu," gertak datuk bandar.
"Kami datang dengan menggunakan kapal angkasa yang dapat merentas masa, kalau datuk tak percaya saya boleh tunjukkan," jawab Zoufy.
"Tapi Zoufy, tak bahayakah kita tunjukkan kapal angkasa awak kepada mereka?" bisikku kepada Zoufy.
"Saya terpaksa Firdaus, demi menyelamatkan planet saya. Harap mereka percaya kata-kata saya dan bawa hal ini kepada pemerintah Planet Taqris nanti. Lagipun kita tak berikan mereka kod rahsia kapal angkasa, tanpa kod itu mereka tak dapat mengaktifkan kapal angkasa saya," jawab Zoufy seperti sudah bertekad untuk meyakinkan datuk bandar.
"Baiklah, jika kamu tunjukkan kepada saya kapal angkasa yang dapat merentas masa itu barulah saya akan percaya dengan kata-kata kamu," ujar datuk bandar.
Zoufy lantas mengambil dan membesarkan semula kapal angkasanya ke bentuk asal. Tanpa membuang masa, datuk bandar dan ahli saintisnya terus melihat dan meneliti setiap bahagian kapal angkasa Zoufy.
Mereka semua kelihatan kagum dan terpegun dengan kecanggihan teknologi serta sistemnya yang kompleks.
Komponen merentas masa paling mendapat perhatian ahli saintis yang berada di situ. Bahan yang digunakan pada komponen itu juga tidak terdapat di Planet Taqris.
Salah satu ahli saintis paling tua membisikkan sesuatu kepada datuk bandar, mungkin sedang melaporkan setiap penemuannya.
"Sungguh menakjubkan, teknologi yang digunakan kapal angkasa ini sangat maju, melebihi teknologi yang ada sekarang. Kalau boleh saya ingin tahu siapakah penciptanya?" soal datuk bandar lagi.
"Saya minta maaf datuk, sebenarnya pencipta kepada kapal angkasa ini telah pun meninggal dunia," jawab Zoufy dengan nada kesal.
"Sayang sekali, saya harap sangat dapat berjumpa dengan penciptanya. Mungkin kami dapat bertukar pandangan tentang ilmu sains dan teknologi," ujar datuk bandar.
Datuk bandar menghampiri Zoufy, dia memegang bahu Zoufy sambil tersenyum. "Selain kamu bertiga, siapakah lagi yang tahu mengenai data kemusnahan planet ini?"
"Tiada sesiapa, datuklah yang pertama kami jumpa untuk menceritakan semua ini. Saya harap datuk dapat sampaikan perkara ini kepada pemerintah Planet Taqris nanti," jawab Zoufy mengharap bantuan daripada datuk bandar.
"Owhhh...! Dah semestinya saya akan menolong kamu semua, ini adalah planet saya juga. Mestilah saya akan menjaganya hingga ke titisan darah yang terakhir," balas datuk bandar.
Kami semua berasa sangat gembira dengan janji yang diberikan oleh datuk bandar untuk menolong kami. Nampaknya segala usaha Zoufy tidaklah sia-sia.
Kami semua dijemput untuk makan tengah hari bersama dengan datuk bandar di atas jasa yang telah kami lakukan. Kapal angkasa Zoufy disimpan sementara waktu oleh datuk bandar, supaya ia tidak hilang atau jatuh ke tangan penjahat.
"Jemputlah makan janganlah malu-malu," pelawa datuk bandar.
Terdapat pelbagai jenis makanan dihidangkan di hadapan kami bertiga seperti cacing tanah, kumbang tanah dan juga makanan-makanan lain.
Makanan yang ada di situ terlalu banyak untuk kami semua habiskan. Aku dan Zakwan hanya memakan kumbang tanah kerana rasanya yang sungguh sedap dan unik.
Zoufy pula asyik mempelawa kami berdua untuk mencuba cacing tanah. Zoufy beritahu kami, cacing tanah merupakan makanan mewah di Planet Taqris memandangkan ia agak sukar didapati dan ditangkap. Tetapi melihat kepada rupa bentuk cacing tanah itu, aku tidak sanggup untuk menjamahnya.
Tidak semena-mena, kedua mataku terasa berat dan kabur. Seluruh tubuh badanku menjadi lemah, untuk mengangkat tangan pun aku tidak mampu.
Aku melihat Zakwan dan Zoufy juga mengalami keadaan yang sama sepertiku. Entah apa yang telah berlaku kepada kami bertiga.
Kepalaku terasa sangat sakit, sekelilingku pula nampak berpusing-pusing tidak berhenti. Akhirnya semuanya menjadi gelap, aku tidak dapat membuka mata lagi.
Pada masa yang sama, aku dapat merasakan diriku seperti sedang diseret daripada meja makan. Entah ke mana mereka hendak membawaku pergi.
Terdengar samar-samar suara ketawa datuk bandar. Sepertinya datuk bandar telah meletakkan sesuatu di dalam makanan kami semua.
Share this novel