Bab 16

Young Adult Completed 7294

"Betul ke Allah akan ampunkan semua dosa kita, kak DIya?" tanya Mawar dengan nada penuh berharap. Matanya dipenuhi cahaya keinsafan yang tidak sesaat sirna.

"Haah, Mawar. Sedangkan orang yang pernah membunuh 100 orang pun diampuni Allah," kata-kata itu diakhiri senyuman.

"Tapi ada syarat, kita kena bertaubat bersungguh-sungguh dan cuba sehabis baik supaya kita tak lagi mengulangi dosa tu," tambah Saadiah.

Kata-kata kak Diya di dalam sesi usrah Sabtu lepas yang terlintas secara rawak di dalam mindanya itu membangkitkan satu semangat di dalam diri Mawar.

Dia tidak kisah dihina.

Dia akui kesilapannya dulu memang melayakkan dia dicela.

Namun, dia tidak tahan apabila skop pengampunan Allah hendak disempitkan dan diperkecilkan oleh seorang hamba seperti dia dan Suhaila! Bukankah pengetahuan kita sebagai makhluk ciptaan sifatnya terhad?

"Kau salah, Suhaila! Allah akan ampunkan semua dosa hamba-Nya, asalkan kita ikhlas bertaubat," ujar Mawar tegas setelah dia bangkit dari duduknya.

Suhaila terundur selangkah ke belakang. Tidak menjangkakan keyakinan dan ketegasan Mawar yang entah dari mana datangnya itu. Pun begitu, riak wajahnya kekal tegas.

Sebelum sempat sisi lemahnya mengambil-alih dengan lebih jauh lagi, Suhaila memasakkan kakinya ke bumi. Pandangan dicerlung tajam ke arah pendosa di hadapannya itu.

"Kau dah bunuh adik aku, dan semudah tu kau nak lari daripada tanggung akibat perbuatan kau? Dengan kau cakap kau dah bertaubat? Macam tu ke, Mawar? Kau memang pendosa yang tak tahu malu, kan?" cemuh Suhaila sepenuh hatinya.

Mawar kaku. Ada kebenaran di dalam kata-kata Suhaila itu.

Wajahnya dia tundukkan kerana diterjah malu.

Suhaila lalu mengenggam keras leretan tudung yang terlerak elok di bahu kanan Mawar. Sedang gadis itu masih tertunduk. "Kau dengar sini, pembunuh! Sampai bila-bila aku tak akan maafkan kau! Aku akan pastikan kau meringkuk dalam penjara! Lagi baik kalau kau mampus dekat sana!" ugut Suhaila.

Mawar diam tidak membalas.

Dia cuba mengerti dan memahami situasi Suhaila. Sekurang-kurangnya gadis itu mempunyai alasan yang kukuh untuk dia membuli, sedangkan Mawar dulu?

***

"Ibu tak boleh maafkan dia macam tu je! Dia tu pembunuh!" lantang Suhaila mempertahankan pendapatnya. Dia tahu benar akan kelembutan hati ibunya. Jika diberi masa yang lama, pasti ibu akan memaafkan dan melepaskan Mawar begitu saja.

Sepasang anak dan ibu itu kini telah berada di pekarangan rumah. Setelah enjin kereta dimatikan, Haizi membawa keluar barang-barangnya daripada tempat duduk belakang dan berjalan menuju ke pintu rumah.

Suhaila yang masih dihambat amarah masih lagi meluahkan ketidakpuasan hatinya dan berkeras memaksa ibunya membuat laporan polis.

Selagi Mawar bebas, selagi itu Suhaila tidak tenteram!

Selagi Mawar tidak menderita, Suhaila tidak akan bahagia!

Suhaila membuntuti langkah ibunya masuk ke dalam rumah. "Ibu!" jerit Suhaila dari belakang untuk memberhentikan langkah kaki ibunya. Pandangan mereka lalu bertemu.

"Tolonglah janji pada Suhaila yang ibu akan buat report polis dan tangkap pembunuh tu." Tangisan Suhaila mengiringi rayuan penuh keterdesakan itu.

"Suhaila, masa depan budak tu dalam taruhan. Ibu kena fikir dalam-dalam hal ni, sayang," lemah suara Haizi menjawab.

Setelah kata-kata itu dia ucapkan, anak daranya itu ditinggalkan bersendirian di ruang tamu. Kalau diikutkan naluri keibuannya, sudah pasti dia akan memujuk Suhaila supaya berhenti menangis.

Namun, pada saat ini ...

Hatinya sendiri sama berat.

Suhaila memerhati langkah ibunya sehinggalah jasad itu hilang di balik pintu bilik tidur utama rumah itu. Hatinya menggelegak kemarahan mengenangkan kemungkinan yang ibunya akan tunduk dengan permohonan ampun oleh Mawar dan ibunya pagi tadi.

Kakinya diayun melangkah ke bilik tidurnya sendiri dengan penuh kemarahan. Beg sandangnya Suhaila cabut daripada pundak lalu dihempas beg yang agak berat itu ke lantai.

Hatinya berang.

Marahnya menjulang.

Telefon bimbitnya di sebelah katil dia ambil, lalu dia segera melakukan panggilan suara secara berkumpulan di WhatsApp. Dia sangat memerlukan ketiga-tiga orang kawan baiknya saat ini.

Kalau ibunya tidak mahu mengambil sebarang tindakan, biar Suhaila yang selesaikan hal ni sendiri! Dia akan bagi pengajaran pada betina jalang bernama Mawar yang telah membunuh arwah adik kembarnya itu!

Terima kasih sudi baca coretan kisah Mawar ni. Jemputlah komen kalau korang suka cerita ni, tau!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience