Sunyi sepi.
Hanya bunyi titisan air daripada paip singki yang tidak ditutup rapat sepenuhnya itu yang membelah kesunyian suasana di dapur rumah Suhana menghampiri tengah hari Sabtu itu.
Dia tidak mampu melihat ke arah Mawar setelah mendengar cerita Mawar tadi. Dahulu, dia pernah diberitahu oleh arwah kakaknya bahawa anak saudara tunggalnya itu sudah bertukar menjadi pembuli kerana pengaruh rakan-rakan barunya.
Dia tidak ambil endah waktu itu kerana dia menyangkakan Mawar tidak akan melibatkan diri dalam kegiatan buli melampau yang dilakukan oleh rakan-rakannya. Tahulah Suhana kini betapa dia tersilap ...
"Mawar minta maaf, Mak Ngah. Mawar banyak sangat buat silap. Mawar tak patut ikut diorang buli Suhaiza macam tu setiap hari." Sekali lagi kata-katanya diiringi limpahan air mata.
Suhana yang terasa sesak dadanya segera beristighfar. Matanya dikatup serapat mungkin, satu percubaan untuk dia menenangkan diri. Menenteramkan hati. Merasionalisasikan akal dan mengawal emosi.
"Kamu dah minta maaf tak pada cikgu kamu tu dengan Suhaila?" Suhana akhirnya jumpa kekuatan untuk berbicara. Pun begitu, nadanya itu secara tidak sengaja berbaur lebih tegas dan dingin berbanding apa yang dia niatkan.
Suasana sunyi seketika.
Suhana tertunduk sejenak sebelum menggelengkan kepalanya perlahan. "Astaghfirullah." Gejolak emosi Suhana kembali menguasai. Kenapa? Kenapa anak saudaranya itu bertindak bodoh seperti itu?
Tangannya kini mengepal penumbuk.
Sekali lagi, Suhana mengalami kesukaran hendak menenangkan hatinya dan mengawal emosinya. Api kemarahannya terhadap Mawar menjulang tinggi saat ini.
Sebuah nafas yang berat dia hembus.
"Kita kena jumpa cikgu Haizi. Kamu kena minta maaf pada dia. Harap-harapnya dia akan sudi maafkan kamu dan tak saman kita atau buat laporan polis." Tiada lagi jalan lain yang Suhana rasakan sebagai wadah terbaik.
Saat ini, dia hanya mampu berdoa agar Allah melembutkan hati wanita yang telah kehilangan anak itu untuk menghulurkan kemaafan buat anak saudaranya yang telah khilaf besar itu.
Hati manusia itu dipegang oleh Allah.
Maka, kepada Allah Suhana memanjatkan doa agar hati cikgu Haizi yang dipegang oleh-Nya akan terbuka untuk sudi memaafkan Mawar. Pun begitu, hasutan syaitan tidak kurang memainkan peranan.
Adakah ruang untuk Mawar dimaafkan?
***
Hilang sudah segala daya Haizi untuk melakukan rutin biasa hujung minggunya. Kerja rumah yang biasanya dia suka pun tidak mampu untuk dia lakukan, apatah lagi hendak menghadap kerja-kerja sekolah?
Dia duduk berteleku di atas katil itu. Hatinya remuk mengenangkan keperitan dan kesusahan yang telah dilalui oleh arwah anaknya, Suhaiza, secara bersendirian di sekolahnya dulu.
Fikirnya, air matanya telah kering dan tak akan mampu untuk tumpah lagi. Namun, Haizi ternyata salah. Dia tersangatlah salah.
Melihatkan bukti-bukti yang ditunjukkan oleh Suhaila kepadanya malam semalam membuatkan hatinya bertambah kecamuk. Membuatkan rasa bersalahnya memamah habis segenap jiwa.
"Ya Allah, kalau sajalah aku dengan Fahmi tak bercerai dulu. Kalau sajalah kami tak pisahkan anak kembar kami ... Mungkin Suhaiza masih hidup hari ni," bicara Haizi sendirian diselangi tangisan.
"Bodoh. Aku bodoh!" Haizi mencela dirinya sendiri.
Kutukan itu meski tidak dapat menghidupkan Suhaiza kembali, sekurang-kurangnya ia mampu menjadi medium dia melepaskan geram terhadap dirinya sendiri.
"Suhaiza, Ibu rindu kamu..." tuturnya lemah.
Ketukan bertalu di pintu merenggut Haizi kembali ke realiti. Dikesat air mata itu agar hilang kesannya. Dia tidak mahu Suhaila nampak tangisannya kali ini. Dia perlu jadi lebih kuat untuk anaknya itu.
"Ibu? Ibu dah sarapan ke?" soal Suhaila prihatin setelah dia menjengulkan kepalanya ke dalam bilik tidur utama itu. Dia lalu masuk ke dalam dan duduk di sebelah ibunya di atas katil itu tanpa dijemput.
"Belum, sayang. Nanti ibu makan," jawab Haizi perlahan.
Lemah nada suara ibunya itu menyentak hati Suhaila. Ia kini disaduri bimbang tak bertepi. Ia juga kini semakin membenci akan Mawar, si bekas pembuli.
Kerana Mawar, adik kembarnya mati!
Kerana Mawar, ibunya bersedih hati!
'Aku benci kau, Mawar!' getus hati Suhaila penuh kebencian. Pandangannya beralih ke lantai bilik tidur itu. Tak semena-mena, timbul sebuah gugusan fikiran di dalam benak Suhaila.
"Ibu, apa kata kita report polis nak? Kita ada bukti nak sokong dakwaan yang Mawar ada kaitan dan jadi penyumbang kepada kematian Suhaiza." Ada sinar pengharapan di dalam mata Suhaila saat dia menyuarakan cadangan itu.
Haizi hanya membisu.
Cadangan Suhaila itu bukan hal enteng.
Share this novel