Bab 10

Young Adult Completed 7294

"Sudah-sudahlah tu, Suhaila! Kenapa kamu asyik nak mengacau pelajar baru tu? Ibu tengok dia baik je dalam kelas! Tak ada buat masalah pun. Kenapa kamu benci sangat dengan dia?" soal Haizi dalam nada tertekan.

Pemanduannya turut menjadi terganggu dek tekanan yang meninggi apabila mendengar pengakuan Suhaila tadi. Nyata benarlah, dia dan rakan-rakannya yang bertanggungjawab atas tulisan MAWAR PEMBUNUH di kelas pelajar baru itu pagi tadi.

Suhaila yang duduk di kerusi penumpang bersebelahan dengan rawaknya mula ketawa terbahak-bahak. Sungguh kejahilan dan kebodohan ibunya itu mencuit dan menggelikan hati!

"Budak baik ibu kata? Kalau bukan sebab dia dengan kawan-kawan dia, Suhaiza takkan kena penyakit Bulimia dan mati! Ibu tahu tak?" Nyaring suara Suhaila mempertahankan tindakannya.

Pada hemahnya, apa yang dia dan kawan-kawannya telah lakukan masih lagi belum setanding apa yang telah dilakukan oleh Mawar di sekolah lamanya dulu bersama empat orang rakannya yang lain.

Haizi memberhentikan pemanduannya secara mengejut. Keretanya itu lalu diletakkan sementara di tepi jalan. Tuduhan Suhaila tadi begitu berat. Mana mungkin dia mengabaikannya begitu saja?

Tambahan pula, rasa ingin tahunya begitu menebal!

"Apa maksud kamu, Suhaila? Apa kaitan budak tu dengan kematian Suhaiza?" soal Haizi tegas.

Kalau benar apa yang dikatakan anaknya itu, akan bertambahlah rasa bersalah di dalam dirinya. Dalam masa yang sama, akan bertambahlah kebenciannya terhadap si bekas suami yang telah membawa Suhaiza pergi bersamanya.

"Si betina Mawar tu dulu dengan kawan-kawan dia dekat sekolah lama buli Suhaiza punyalah teruk sampai dia kena bulimia! Setiap hari pula tu, ibu tahu? Sampaikan Suhaiza akhirnya meninggal sebab penyakit bulimia dia," cerita Suhaila dengan suara yang dimamah emosi.

Ibunya itu Suhaila perhatikan kini mula menunduk. Tidak lama kemudian, terdengar tangisan ibunya terhambur. Automatik Suhaila menarik ibunya ke dalam sebuah pelukan.

Dia tahu sudah lama ibunya menahan rasa hati. Hanya di belakang tabir, apabila tidak dilihat oleh Suhaila, barulah ibunya itu menangisi anak yang dirindui yang telah lebih awal dijemput ilahi.

Kenapa takdir begitu kejam?

Kenapa Mawar dan rakan-rakannya tiada belas kasihan?

"Betul ke apa yang kamu cakap ni, Suhaila? Kamu sedar, kan? Berat tuduhan kamu tu." soal Haizi. Dia masih tidak mampu menerima bulat-bulat kata-kata anaknya itu tadi.

Dia tidak mahu serkap jarang. Dia tidak mahu main tuduh anak orang.

"Betul, ibu. Semuanya ada dalam diari Suhaiza, Suhaila dah baca. Dulu pun masa Suhaiza hidup, Suhaila pernah minta dia tunjuk gambar budak-budak yang buli dia. Ada Suhaila simpan lagi gambar lima ekor bangsat tu. Mawar pun ada sekali dalam tu," terang Suhaila.

Haizi terpempan.

***

Seminggu sudah berlalu sejak hari pertama Mawar menjejakkan kaki ke sekolah barunya. Dalam tempoh seminggu itu, tidak ada sehari yang berlalu kecuali ia diisi dengan kegiatan membuli oleh Suhaila dan rakan-rakannya.

Mejanya dilumuri sampah.

Beg sekolahnya dihumban ke dalam tong besar.

Ruang bawah mejanya diisi bangkai tikus.

Tambahan, Mawar turut perasan yang cikgu Haizi kebelakangan ini masuk ke kelasnya dengan muka masam mencuka. Bertambah masam apabila Mawar bertanya soalan kepadanya tentang perkara yang dia tidak faham.

Bersendirian di dalam bilik tidurnya saat ini memberi ruang untuk dia berfikir. Dia lalu teringat akan apa yang Ahmad Firdaus katakan kepadanya tempoh hari.

Layar mindanya mula mengimbau kenangan lama. Dia mengakui hakikat yang dia menyumbang sama kepada zaman persekolahan perit yang dilalui oleh arwah Suhaiza.

Namun, dia benar-benar tidak mengerti kenapa Suhaila menggelarkannya sebagai seorang pembunuh! Otaknya sudah puas memerah dan cuba memahami apa yang membuatkan Suhaila memanggilnya seorang pembunuh.

"Takkanlah dia dengan ibu dia nak salahkan aku atas kematian Suhaiza?" Hatinya disaduri kebimbangan dan keresahan.

Memang benar dia, Jihan, Atikah, Adibah, serta Wafa dulu kerap membuli arwah Suhaiza. Namun pembulian yang dilakukan mereka tidaklah sampai ke tahap ia mampu membunuh seseorang.

Ataupun...

Adakah Mawar telah tersalah perkiraan?

Mungkin cercaan, celaan, kejian, dan kutukan yang dilemparkan oleh Atikah kepada gadis itu dulu yang dibantu oleh Mawar dan lain-lain telah menyumbang kepada kematian Suhaiza? Adakah itu hal yang sebenar-benarnya?

Penyesalan mencengkam kuat hati Mawar. Keinsafan mula mekar dengan jayanya di dalam hati gadis itu. Air matanya merembes keluar, dan dia mula menangis teresak-esak.

Adakah itu satu kebenaran?

Tangisan penyesalannya bergema kuat di dalam bilik tidur yang sederhana besar itu. Air mata yang mengalir langsung tidak Mawar seka. Dibiarkan ia berjurai dengan harapan ia dapat menyucikan Mawar daripada dosa-dosa lamanya.

Macam mana pandangan korang pada cerita Mawar ni setakat ni?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience