Bab 1

Young Adult Completed 7294

Rumah teres dua tingkat itu Mawar jeling buat kali terakhir. Mulai hari ini, dia tidak akan tinggal di situ lagi. Kenangannya bersama gemulah mak dan ayah akan kekal bergema di dalam rumah itu.

"Jom?" soal Suhana ringkas.

Mawar mengangguk sekilas.

Dengan setiap derapan kaki, langkah yang dia ambil terasa berat. Tidak tergambar dek kata-kata kesedihan dan kehibaan yang merundung jiwa Mawar saat ini.

Hanya dalam masa tiga hari, hidupnya berubah dengan banyak sekali. Dia kini bergelar anak yatim piatu. Rumah yang didiaminya selama 17 tahun berturut-turut bakal dia tinggalkan.

Hatinya terpalu sepi. Tatkala dia sampai ke pintu kereta itu, langkahnya terhenti sejenak. Air mata yang dia tahan sejak tadi akhirnya jatuh berderai ke bumi.

Suhana yang sedang menyusun barang di belakang kereta jadi terhenti seketika kerjanya. Dia berlari anak ke bahagian sebelah kereta untuk mendapatkan Mawar. Risau melihatkan anak saudaranya yang tiba-tiba menangis itu.

Suhana menahan diri daripada berbicara.

Dia lalu menarik tubuh Mawar ke dalam pelukannya. Pengalaman hidup mengajarnya bahawa insan yang baru sahaja kehilangan lebih memerlukan bahu untuk dipinjamkan berbanding kata-kata semangat menyeru kesabaran.

Pemandangan di luar tingkap kereta itu tidaklah begitu menarik hakikatnya. Namun pada saat ini, pemandangan itu sudah cukup untuk membantu Mawar mengalihkan tumpuan fikirannya.

Baru hari ini dia dapat memahami dengan sebaik-baiknya betapa menangis itu satu perbuatan yang sangat memenatkan - seluruh mental, fizikal, dan emosinya.

"Alhamdulillah, kita dah sampai. Angkat barang, jom." tutur Suhana sambil dia melangkah keluar daripada perut kereta itu.

Mawar yang kedua melangkah keluar. Setelah pintu itu dia tutup, dia berjalan menuju ke bahagian bonet kereta untuk mengambil barang-barangnya.

Dia berdiri di sisi sambil menunggu Mak Ngahnya itu menghulurkan satu demi satu barang yang nanti akan Mawar bawa dan letakkan dulu di tepi pintu masuk.

"Nah, ambil dulu kunci rumah ni! Bolehlah kamu buka pintu bawa barang ke dalam terus." ujar Suhana sambil menghulurkan segugus kunci.

Mawar seketika geli hati.

Mak Ngah seolah-olah tahu apa yang bermain di dalam fikirannya.

Bagasi yang diturunkan oleh Suhana tadi, Mawar seret ke pintu masuk lalu dia memasukkan kunci tadi ke dalam lubang pintu itu.

Apabila pintu itu terbuka, terserlahlah bahagian dalam rumah batu bertingkat satu itu yang kelihatan sungguh kemas dan cantik perhiasannya.

Dalam kekaguman, Mawar membawa masuk bagasinya. Dia lalu keluar semula untuk membantu Mak Ngah membawa barang-barang yang lain masuk ke dalam.

Selesai semua barang diangkut keluar daripada bonet kereta ke dalam rumah, pintu rumah dikunci rapat dan kedua-dua insan itu duduk kepenatan di atas sofa getah di sudut ruang tamu.

"Terima kasih ya, Mak Ngah, sebab sudi ambil Mawar tumpang duduk dengan Mak Ngah. Mak bapak saudara belah ayah semua benci Mawar. Pandang sebelah mata pun tak nak." luah Mawar yang sejak tiga hari lepas dihambat kekecewaan.

Hanya pada hari kedua selepas peninggalan ayah dan ibunya, barulah dia terfikir akan nasibnya. Hendak menumpang rumah atuk dan nenek? Kedua-dua belah sudah meninggal.

Dia sedar dirinya dipandang enteng dan hina oleh adik-beradik sebelah ayahnya disebabkan rekod disiplin sekolahnya yang teruk.

Semua ni kantoi sebab dia ada ramai sepupu yang bermulut tempayan!

Senyap-senyap sudah, tak boleh ke?

"Sama-sama. Mak Ngah tak kisah. Selain kita keluarga, Mak Ngah pun duduk seorang diri. Setakat nak tanggung Mawar, in sha Allah, Mak Ngah mampu." tutur Suhana ikhlas.

Usai Suhana mengungkapkan ayat tadi, terus Mawar duduk tegak dan memandang terus ke arahnya. Ditatapnya wajah Suhana yang iras-iras arwah emaknya itu.

Layar pandangan mereka kini saling berhubung.

'Rindu, ya Allah. Aku rindu.' Perasaan itu dizahirkan Mawar dengan linangan air mata.

"Mak Ngah?" panggil Mawar dengan sayu.

Sepasang kening Suhana terjungkit - menanti kata-kata Mawar. "Lepas ni, Mak Ngah jadi mak Mawar. Boleh ke?" tanya Mawar dengan penuh harapan.

Suhana turut sama menangis akhirnya.

Dengan senyuman ikhlas yang tertampal, dia mengangguk seraya menjawab "Insya-Allah, boleh." Mereka berdua lalu berpelukan meluahkan kesyukuran.

Terima kasih sebab baca sampai ke hujung ni. Silalah tekan upvote kalau korang suka cerita ni!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience