Bab 14

Young Adult Completed 7294

Pagi Ahad keesokannya, Mawar mengajak ibu saudaranya bertandang sebentar ke tanah perkuburan arwah mak dan ayahnya. Rindu yang bertandang di hati sudah tidak tertanggung lagi.

Setelah mendengar perkongsian usrah yang benar-benar telah menyentapkan hatinya semalam, sesalan dan keinsafan terbit dan mekar semula dan lebih lagi di dalam hati Mawar. Dan dia berharap ia akan kekal mekar sampai bila-bila.

Selain rindu, dia berharap dengan melihat kubur kedua mak dan ayahnya, ia akan mampu menjadi pemangkin semangat dan perangsang motivasi untuknya berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh menjadi anak yang solehah. Menjadi muslimah yang istiqamah berhijrah.

Dia menyertai Suhana duduk di atas tikar mengkuang itu sambil membaca Yasin. Lega sungguh dia rasakan kerana haidnya telah habis semalam, dapatlah dia menghadiahkan bacaan Yasin buat mak dan ayah.

"Mawar, jom baca Al-Mulk dengan mak. Dah lama mak tak dengar suara Mawar mengaji."

Seolah-olah mak ada di sisinya saat ini menuturkan ajakan itu kepadanya. Menghampiri penghujung surah itu, air mata Mawar menitis lagi entah kali yang ke berapa.

"Mawar rindu mak sangat-sangat. Kenapa mak pergi dulu seawal ni?" Suaranya tersekat-sekat mengucapkan soalan yang tiada jawapan itu. Hampir luruh tenaga mentalnya cuba menahan tangis daripada semakin lebat.

Suhana memanjangkan sebelah tangannya untuk mengusap-usap belakang tubuh anak saudaranya itu. Tingkahnya itu diharapkan dapat meredakan kesedihan Mawar, walau hanya sedikit. Sebelah tangannya lagi berusaha sebaik mungkin agar ia terus memegang Yasin.

Bacaan Yasin diteruskan oleh Suhana. Dia tidak langsung cuba untuk memujuk Mawar dengan sebarang kata-kata. Padanya, segala perasaan sedih dan hiba yang mengisi hati Mawar perlu diluahkan. Dia yakin itu lebih baik.

Sebaik sahaja mereka berdua tamat membaca Yasin, suasana sunyi dibiarkan terus menyelubungi persekitaran. Kesyahduan yang datang tanpa diundang ternyata membawa sedikit senang. Pandangan masing-masing tertunduk menyembah tanah perkuburan itu.

"Esok Mak Ngah nak jumpa dengan cikgu Haizi. Mak Ngah akan minta maaf pada dia atas pihak kamu. Tapi, kamu kena ada sekali dekat sebelah Mak Ngah. Faham, Mawar?" ujar Suhana akhirnya setelah beberapa detik berlalu.

"Taska Mak Ngah macam mana?" kata-katanya tergantung seketika untuk Mawar mencari kekuatan menyambung soalan seterusnya, "Ada ke gunanya, Mak Ngah? Dia mesti akan ambil tindakan juga nanti. Yang mati tu anak dia ...."

Harapan Mawar awal-awal sudah pun layu.

Dan dia juga tidak mahu terus menaruh harapan palsu.

"Taska Mak Ngah tak apa, pekerja semua ada. Tambahan, Mawar tak boleh putus asa secepat itu! Kita kena berusaha. Minta maaf dan belas ihsan cikgu Haizi tu. Kemudian dan akhir sekali, barulah kita bertawakal pada Allah," ujar Suhana yakin.

"Mak Ngah nak ingatkan diri sendiri dan kamu juga. Tak kira apa yang jadi lepas tu, kita kena reda sebab Allah dah tentukan itu yang terbaik." Kata-kata itu merenggut hati Mawar.

Reda.

Kalaulah saja melakukan ia semudah kata.

***

Pagi Isnin itu, rutin sekolah Mawar berbeza dari biasa. Hadirnya dia ke sekolah hari ini ditemani oleh ibu saudaranya. Tipulah sekiranya Mawar katakan dia tidak risau akan terserempak dengan Suhaila dan kawan-kawannya, atau sekiranya Mak Ngah mengajaknya ke kelas terlebih dahulu sebelum berjumpa cikgu Haizi.

Dia tidak mahu Mak Ngah melihat kata-kata cemuhan dan makian yang mungkin ada hari ini ditulis dan diconteng oleh Suhaila dan kawan-kawan khas buat dirinya. Itu pasti akan menghancurkan hati Mak Ngah.

"Bilik guru dekat bangunan blok mana, Mawar?" tanya Suhana sebaik sahaja mereka turun dari kereta yang telah diletakkan di luar pagar sekolah.

"Dekat Blok D, Mak Ngah. Jomlah kita ke situ terus. Mawar boleh je masuk kelas nanti-nanti." Suhana tidak bertanya lanjut. Dia tidak langsung mengesan niat sebenar anak saudaranya itu, lantas dia terus bersetuju.

Sesampainya mereka berdua di hadapan bangunan blok D, wajah cikgu Haizi terpacul di dalam layar mata masing-masing. Dengan itu, langkah mereka dipercepatkan.

Guru itu kelihatannya sedang sibuk mengeluarkan barang-barangnya daripada tempat duduk belakang kereta. Lega Mawar rasakan melihat ketiadaan Suhaila di situ. Senanglah sedikit untuk Mak Ngah dan cikgu Haizi berbicara berdua.

"Assalamualaikum, cikgu?" sapa Suhana sebaik mereka berdua mendekati kereta itu.

"Waalaikumussalam."

Dia baru hendak bertanya siapakah wanita di hadapannya itu, namun niatnya dibatalkan apabila pandangannya tertancap ke wajah Mawar.

Sedarlah dia apa yang sedang berlaku.

Tahulah dia apa niat wanita itu.

Pintu kereta itu Haizi hempas sebaik sahaja barang-barangnya telah dia ambil. Dia segera memalingkan seluruh tubuhnya daripada dua beranak itu, dan dia sudah bersiap-sedia hendak melangkah pergi.

"Tunggu dulu, cikgu! Tolonglah beri kami peluang untuk bercakap. Sekejap pun jadilah," rayu Suhana dengan suara yang terdesak.

Terima kasih sudi baca sampai sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience