Pada zahirnya, Mawar kelihatan seperti sedang merenung ke arah baju sekolah itu. Namun, hakikatnya renungan mata itu hanyalah renungan kosong. Pelbagai hal sedang mengisi kotak mindanya.
Rindu kepada mak dan ayah.
Sekolah baru esok.
Masa depannya nanti.
Penat berfikir, Mawar membaringkan jasad. Berat dan sarat fikiran tidak tertanggung lagi - badannya harus dia baringkan kerana tidak mampu lagi menanggung aliran fikiran yang tidak berhenti.
Mengenangkan pemergian arwah mak dan ayah, bibit-bibit sesalan mula bercambah di dalam hatinya. Dia teringat kepada pesanan arwah ayahnya dulu.
"Berhentilah membuli orang, Mawar. Kamu tak kesian ke pada diorang? Habis semua kamu maki dan sepak-terajang. Mak dengan ayah nak kamu membesar jadi penyumbang kepada syiar agama. Bukan macam ni, nak..."
Hampa.
Pasti arwah mak dan ayah akan hampa jika mereka mengetahui pada hari kematian mereka pun, Mawar masih lagi membuli. Bahkan, dia membuli insan yang nyata lebih lemah darinya.
Adakah ruang untuk dia bertaubat?
Adakah Allah akan memaafkan manusia jahat sepertinya?
Hatinya tiba-tiba disaduri ketakutan, keresahan dan kebimbangan. Apa nasibnya saat bertemu Munkar dan Nakir nanti kalau dia mati sebagai seorang pembuli?
"Aku nak masuk syurga dengan mak dan ayah. Aku tak nak ke neraka," bisiknya lemah. Senandika itu lalu diiringi pula sedu-sedan tangisan penuh hiba Mawar.
Dia kini duduk di atas katil itu sambil menyeka air mata yang semakin lebat tumpah dengan menggunakan kedua-dua belah tangan. Bahunya terhinjut menahan hiba.
"Mawar, baju sekolah semua dah siap belum?" Terpacul wajah Suhana di balik pintu kayu itu. Rasa bimbang dan aneh mengetuk hati.
"Mawar okey tak? Kenapa menangis ni?" Dia segera duduk di sebelah anak saudaranya itu dan berusaha menenangkannya. Tangannya menyapu perlahan belakang badan Mawar sambil mata tidak lepas dari memerhati kelakuan rawak anak dara itu.
"Mawar menyesal, Mak Ngah," adu si anak saudara.
"Menyesal kenapa, sayang?" soal Suhana penuh prihatin. Timbul rasa kasih dan belas yang mendalam buat anak saudaranya itu. Terus terpicu naluri keibuannya yang tersimpan selama ini.
"Dulu arwah ayah dah pesan supaya berhenti membuli orang, tapi Mawar degil. Sekarang, mak ayah dah tak ada... Sebab tu ke Allah tarik nyawa mak dan ayah? Sebab Mawar anak derhaka ke?" berselang-seli sedu soalan itu Mawar tuturkan.
Bahu Mawar digenggam kuat oleh Suhana, memaksa Mawar menghadap langsung ke arahnya. "Kenapa Mawar cakap macam tu? Tak elok," tegas Suhana bersuara.
DIa tidak mahu Mawar memendam buah akal yang tak berasas sebegitu. Suhana beriman yang Allah itu tidak zalim. Dia tahu Allah bukan penindas.
Melihatkan Mawar diam seribu bahasa, Suhana menyambung kata-katanya lagi. "Apa yang Mawar cakapkan tadi mungkin hikmah daripada semua ni. Tapi, bukan sebabnya." Bersungguh Suhana meyakinkan.
Luahan Mawar tadi mengingatkan Suhana kepada kejahilannya sendiri dahulu pada usia muda. Dia faham perasaan itu. Menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Walhal, ia sudah suratan takdir. Dia tidak mahu melihat Mawar mengikut jejak jahilnya dahulu.
Mawar di sebelah hanya tertunduk. Lidahnya kelu seribu bahasa.
"Mak dengan ayah meninggal sebab dah memang tiba ajal mereka. Bukan sebab Mawar tak berhenti membuli." Kali ini, nada suara Suhana menjadi sayu.
"Mawar nak jadi anak yang baik untuk mak dan ayah Mawar, kan?" Kepada soalan itu Mawar anggukkan kepalanya. Malu bercampur pilu kerana baru hari ini dia terasa aib kegiatan membulinya selama ini.
"Mawar buat solat sunat taubat. Minta ampun banyak-banyak pada Allah, okey? Doakan sekali supaya Allah ampunkan dosa arwah mak dan ayah," tulus ikhlas Suhana menitipkan pesan itu.
"Nak jadi anak solehah, apa yang Allah perintahkan Mawar kena buat semuanya. Tinggalkan juga semua yang Allah larang, itu termasuklah membuli orang. Faham?" Nada bicara Suhana bertukar tegas.
Sekali lagi, Mawar mengangguk. Dia lalu mendakap erat jasad ibu saudaranya itu. Dia mencari kekuatan untuk berubah meninggalkan dirinya yang lama. Dia mencari petunjuk bahawa apa yang terjadi ini ada hikmahnya.
"Mak dengan ayah dah tak ada nak doakan Mawar. Mak Ngah tolong doakan, ya?" soal Mawar dengan nada lemah dalam pada pelukan mereka masih utuh.
"Sentiasa, Mawar. sentiasa, insya-Allah," balas Suhana kembali.
Terima kasih sudi baca sampai hujung ni. Kehadiran korang di sini sangatlah saya hargai. (っ.❛ ᴗ ❛.)っ
Share this novel