Epilog

Young Adult Completed 7294

"Wah, betullah Mawar masuk sekolah kita! Seronoknya!" laung Melati penuh keterujaan. Kegembiraannya dia zahirkan melalui pelukan yang teramat erat - khas buat rakan usrahnya itu.

Mawar yang malu diraikan dengan keterujaan sebegitu membalas jua pelukan Melati tadi. Suasana di pagar sekolah yang meriah dengan para pelajar yang baru sampai tidak dia hiraukan.

"Okey, dah cukuplah peluk tu! Tak bernafas Mawar nanti," kata Ramizah sambil tergeleng-geleng. Pening juga rasanya kadang-kadang dengan Melati yang sentiasa terlebih dos teruja itu.

"Mawar, kau duduk sebelah aku dalam kelas nanti, okey? Aku dah carikan kerusi dengan meja untuk kau." Fatin pula bersuara menceriakan lagi suasana penuh rasa gembira itu.

"Terima kasih banyak-banyak, Fatin," ujar Mawar dengan nada ikhlas. Mereka berempat lalu akhirnya berjalan bersama untuk masuk ke kelas.

Dengan setiap langkah yang diambil oleh Mawar, mindanya teringat sekilas akan kejadian-kejadian yang telah berlaku sepanjang minggu lepas. Pun begitu, dia tiada daya dan kudrat untuk mengambil tahu perkembangan Suhaila.

Traumakah dia?

Mungkin.

Selepas dia dijemput pulang dari hospital oleh Mak Ngah, dia bersegera meluahkan permintaan cikgu Haizi yang kini juga menjadi permintaannya sendiri - Mawar mahu pindah sekolah. Dia mahu menghormati permintaan cikgu Haizi dan membuka buku baru sekali lagi untuk diri sendiri.

Keesokannya, dia ditimpa demam panas teruk. Pada saat lemahnya itu, timbul lagi kuntuman sesalan dalam hatinya. Pada saat itu juga, barulah dia benar-benar dapat menjiwai dan merasai apa yang kemungkinan besar dialami oleh arwah Suhaiza setiap hari.

Jujur, dia hampir rebah dimamah gejala kemurungan.

Dia nyaris tercampak ke dalam lohong kosong penuh kebinasaan.

Namun, lain yang dia jangka, lain yang telah Allah tuliskan. Hari-harinya menjadi lebih ceria apabila setiap hari akan ada dua atau tiga orang rakan seusrahnya yang datang melawat. Termasuklah kak Diya sendiri. Alangkah manisnya ukhuwah fillah Mawar rasakan.

Sesekali ada terbit rasa malu dalam hatinya kerana dia direzekikan untuk merasai kemanisan persahabatan begini dan rezeki itu entah hanya berapa kerat daripada mereka yang pernah dibuli oleh Mawar dan rakan-rakannya dulu dapat rasai.

Apapun, alhamdulillah. Syukur tak terhingga Mawar rasa apabila mengenangkan kawan-kawan yang dia kehilangan telah diganti oleh Allah dengan sekumpulan sahabat yang mendekatkan lagi dia kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Rapatnya mereka semua menjadikan Mawar bahagia, meski mereka baru saling mengenali untuk tempoh yang tak lama mana. Apa tidaknya? Baru dua kali sahaja Mawar menjalani sesi usrah bersama mereka.

'Subhanallah. Terima kasih untuk semuanya, ya Allah. Terima kasih kerana kau kurniakan aku kesempatan untuk bertaubat dan meminta maaf. Terima kasih kerana kau kurniakan Mak Ngah dan sahabat-sahabat usrah semua ke dalam hidup aku. Terutama sekali Mak Ngah,' bisik hati kecil Mawar.

TAMAT

Alhamdulillah, cerita Mawar kini menemui penamat!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience