Gambar itu ditenung lama. Semakin lama dia merenung, semakin berjuraian air mata yang mengalir keluar daripada kelopak mata. Suhaila tahu dia bakal tewas dengan perasaannya sendiri sekali lagi pada malam ini.
Bingkai gambar itu lalu dilekapkan pula ke dadanya. Dia menangisi ketiadaan insan di dalam gambar itu. Dia merindui kewujudan insan itu di sisinya. Dia membenci nasib yang telah tertulis oleh takdir buat adik kembarnya.
"Suhaiza, aku rindu kau sangat-sangat," gumamnya perlahan.
Air matanya menitis lagi apabila nama adik kembarnya itu meniti perlahan di bibir. Suhaila masih ingat dengan jelas perasaan yang menghempapnya pada hari dia diberitahu oleh ayah bahawa Suhaiza telah meninggal dunia.
Lututnya lemah.
Hatinya goyah.
Lukanya bertambah dalam apabila dia menemui diari milik Suhaiza yang terselit kemas di bawah tilam tempat arwah adiknya itu beradu dulu. Setiap helaian Suhaila baca. Dia menjangkakan catatan biasa menyoroti hidup adiknya dulu.
Namun, lain yang dia jangka, lain pula yang dia baca.
Setiap satu halaman yang berbekas catatan adiknya itu menimbulkan perasaan benci tak berbelah-bahagi di dalam diri.
Minda Suhaila lalu kembali memberi tumpuan kepada persekitaran bilik tidurnya saat ini. Dia jadi terbaring dek tidak mampu menanggung beratnya perasaan dan beban mental yang menghempap diri dan hati.
Tatkala wajah Mawar melintasi fikiran, kesumat yang sudah sedia ada subur bertambah hebat. "Aku takkan lepaskan kau, Mawar! Aku akan pastikan kau menderita atas apa yang kau dah buat pada adik aku dulu!" tutur Suhaila dengan azam yang menebal.
***
"Hari ni, kita nak pedajal dia macam semalam ke?" soal gadis yang mempunyai tanda lahir bagaikan lebam pada pipi kanannya itu kepada Suhaila dalam nada serius.
Hari masih awal pagi.
Kelas mereka masih kosong.
Hanya ada empat sekawan itu di dalam kelas serba sederhana itu. Mereka duduk berkumpul di meja Suhaila bertentangan arah masing-masing. Beberapa saat kemudian, Tina dengan bersemangatnya mengangkat tangan untuk menarik perhatian mereka yang lain.
Suhaila dan Syifa yang lebih berperwatakan serius sekadar tersenyum kecil - terhibur melihat gelagat Tina yang seperti biasa penuh dengan tenaga kanak-kanak ceria itu.
"Cakaplah cepat apa idea kau tu, Tina," gesa Natasha setelah penat menunggu. Syifa dan Suhaila mengangguk setuju dan kini semua menumpukan pandangan mereka ke arah Tina.
"Apa kata kalau kita ..."
Empat orang rakan rapat itu kemudian berbisik-bisik sesama mereka dengan gaya penuh rahsia - tak ubah bagaikan sedang mengadakan mesyuarat sulit.
***
Mawar cuba memaksa dirinya mengukir senyuman. Biar dunia memandang dia penuh belas kasihan. Biar mereka memandang penuh simpati.
Namun tak akan sesekali dia memperlihatkan kepada mereka sisi lemahnya.
Tidak! Mawar tidak akan membenarkan itu!
Perkara pertama yang Mawar perasan apabila dia sampai ke pintu kelas ialah kebanyakan rakan sekelasnya terlalu sibuk memandang ke arah papan putih kelas.
'Pelik. Tak pernah-pernah budak-budak ni minat nak pandang ke depan. Biasa sibuk berborak dengan kawan sebelah,'getus hati Mawar.
Sesaat kemudian, tumpuan rakan-rakan sekelasnya beralih pula ke arahnya. Seluruh kelas memandang rakan sekelas mereka yang seorang itu dengan pelbagai pandangan yang berbeza. Mawar cuba menafsir riak-riak wajah di hadapannya.
Ada yang memandang jijik.
Ada yang memandang kaget.
Ada yang menjeling tajam.
Ada juga yang sekadar merenung kosong.
Mawar yang masih tidak berganjak daripada pintu kelas itu akhirnya memutuskan untuk melihat sendiri ke arah papan putih tadi. Apa yang dilihat oleh Mawar membuatkan sepasang matanya terbeliak.
MAWAR PEMBUNUH!
Itulah ayat yang tertulis pada papan putih itu. Tulisan itu ditulis sebesar-besarnya sehingga ia hampir memenuhi seluruh permukaan papan putih itu.
Ditekan rasa terdesak, Mawar segera mendapatkan pemadam papan putih di atas meja guru untuk memadam frasa yang nyata fitnah itu.
"Tak boleh padam ..." ujar Mawar hampa.
Tahulah dia kini tulisan itu telah dinukil dengan pen penanda kekal. Tubir matanya mulai basah, namun dia memaksa hatinya kental.
Dia berjalan ke tempat duduknya dan meletakkan beg sandang di atas kerusi. Dia kemudian berlalu pergi untuk mendapatkan berus dan sabun sekali lagi daripada tukang pembersih sekolah.
(人 •͈ᴗ•͈) Jemput baca dan komen!
Share this novel