BAB 9

Horror & Thriller Completed 458

“Aku tahu asal usul kau..Ikan yang bukan ikan..Seludang yang bukan
seludang..separuh hidupmu di air dan separuh lagi di alam yang lagi
satu. Tempatmu bukan di sini. Pulanglah ke tempat dari mana kamu datang.
Dan…semua manusia yang kau simpan di lubuk itu, kembalikan kepada kami.”
Ucap Haji Noh dengan suara yang tegas. Tangannya mengeluarkan pisau di
poket. Duri di sirip kanan Seludang Tapah dipotong.

“Aku ambil bisa kau ini sebagai amaran. Jangan sekali-kali memburu
manusia lagi. Pesanan ini sampaikan juga kepada kaum dan anak cucu kamu
yang lain. Kalau engkar, nyawa kau atau mereka akan menjadi galang
ganti” Sambungnya lantang. Seludang Tapah mengalirkan cecair di mata
seakan sedang menangis.

“Kalau kau dah faham, bagus. Aku akan minta orang lepaskan kau sekarang”
Serentak dengan itu, Haji Noh meminta mereka mencabut sauh yang terlekat
tadi. Tubuh Seludang Tapah ditolak ke gigi air. Perlahan-lahan makhluk
itu mengepakkan sirip dan berenang ke dasar sungai.

Selang beberapa minit, mayat-mayat mereka yang hilang tempoh hari muncul
ke permukaan lubuk. Ghani menggunakan buluh untuk menarik mayat-mayat
itu ke tepi tebing. Semua mayat-mayat itu diletakkan di bawah pohon jejawi.

“Kita kena tinggalkan mayat-mayat itu di sini. Tak mampu kita nak usung
kesemuanya sekarang. Lagipun, semua mayat-mayat tu dah mula mereput”
Rafik, antara yang datang bersama tadi bersuara.

“Takkan nak biar mereka semua ni jadi makanan langsuir tadi!” Bising
Hasbi. Dia menangis tadi sebaik melihat mayat adiknya muncul. “Aku tetap
nak bawa balik mayat Hadi. Biar aku sendiri usung dia”

“ Ambil tali dan kerat buluh tu. Buat kayu kandar untuk bawak balik
semua mayat. Jangan biar mereka kena baham sekali lagi. Tapi buat cepat
sikit. Langsuir tadi mungkin sampai ke sini sekejap lagi.” Tegas Haji
Noh. Matanya meliar memerhatikan sekeliling. Dia tidak mahu bertembung
dengan langsuir tadi sekali lagi. Bukan mudah untuk berlawan dengan
makhluk yang tengah marah itu nanti.

“Dah siap Haji” Beritahu Ghani. Empat orang yang ada sudah siap
mengusung mayat-mayat itu dengan kayu kandar yang baru dibuat tadi.

Serentak dengan itu, bunyi dahan-dahan dipijak dan hilaian nyaring jelas
kedengaran.

“Kamu semua cepat bawa mayat-mayat ini keluar dari sini. Biar aku yang
halang langsuir tu” Beritahu Haji Noh. Dia terpaksa membuat keputusan
sebegitu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience