BAB 6

Horror & Thriller Completed 458

“Aku nak sembelih tiga ekor ayam dulu, buat umpan untuk benda tu”

Setelah selesai menyembelih, tiga ekor ayam itu diikatkan pada tali dan
digantung pada buluh yang dibawa tadi.

“Hulurkan tali itu lebih sedikit. Biar ayam itu terayun-ayun” Pesan Haji
Noh sambil mulutnya meneruskan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai
benteng mereka.

Buluh yang terikat dengan ayam-ayam tadi dihulurkan hingga ke tengah
lubuk. Darah kesan sembelihan tadi menitik-nitik ke permukaan air.

“Kita tunggu dulu!” Haji Noh menyalakan api rokoknya. Dua tiga orang
yang lain pun sama-sama merokok.

Dasar lubuk itu tiba-tiba bepusar dan berombak di tengah-tengahnya. Haji
Noh dan yang lainnya menuju ke tebing sungai. Semua yang ada ingin
melihat ‘benda’ yang selama ini menghantui mereka.

Seekor ikan sebesar anak lembu muncul dari dasar tasik dan menyambar
ayam-ayam sembelihan tadi sebelum berdebur jatuh semula ke dalam tasik.

“Itulah ‘benda’ yang menyambar orang-orang kampung dan membunuh mereka!.
Itu jugak ‘benda’ yang kita nak tangkap sekejap lagi. Dia masih lapar
tu!” Tegas Haji Noh.

“Apa bendanya tu, Haji” Tanya Ghani.

“ Kalau fizikalnya, itulah ikan tapah, tapi makhluk ini digelar Seludang
Tapah oleh orang dulu-dulu. Ikan gergasi yang dikatakan datang dari alam
lain..”

“Kalau makhluk alam lain, kenapa boleh sampai ke sungai kita?” Tanya
Hasbi pula.

“ Ada sesiapa yang kerap men’jamu’ benda-benda macam ni kat sungai?”
soalan tadi dijawab dengan pertanyaan oleh Haji Noh. Semua yang ada
hanya terdiam.

“Sebenarnya, aku selalu tolong Pawang Masnawi men’jamu’ setiap malam
jumaat. Aku mengaku yang kami berdualah yang bagi makan pada benda-benda
yang macam ni. Selalunya kami akan bagi ayam-ayam yang dilumurkan darah,
bertih dan apa-apa sahaja yang dimimpikan oleh Pawang Masnawi” Akui Ghani.

“Dah bagi makan, kenapa masih nak makan orang!!!” Marah yang lain.
Jawapan Ghani belum cukup memuaskan.

“ Mula-mula dulu, mungkin cukup makanan yang diberikan tu. Tapi bila dah
banyak yang kemari untuk makan sama, ada la yang kelaparan sebab tak
cukup makan. Dansumber makanan paling mudah, adalah manusia yang ada di
sekeliling sungai. Jamuan yang dibuat itulah sebenarnya punca banyak
makhluk yang pelik-pelik sampai ke sungai kita” Terang Haji Noh.

“Itulah kau..” Salah seorang yang datang bersama tadi menggenggam
penumbuk untuk dihalakan ke muka Ghani. Dia antara mereka yang
kehilangan ahli keluarga yang diserang Seludang Tapah tadi.

Eeeeeee…..Eeeeeeeeeeeeeee…

Bunyi mengilai yang kedengaran dari atas mematikan niatnya. Bunyi
ranting dan daun yang ditiup angin kedengaran dari atas pokok. Aura
seram menyelubungi mereka.

“Dia dah bangun..Hati-hati” Pesan Haji Noh melihatkan kelibat putih yang
melayang-layang antara pokok. Suasana seram sangat terasa. Mungkin bunyi
deburan air yang kuat semasa Seludang Tapah itu muncul mengejutkannya.

“Kita teruskan apa yang nak dibuat tadi. Jangan pedulikan sangat
langsuir tu. Kalau dia ganggu nanti, baru kita halau” Ujar Haji Noh
lagi. Dia tahu mereka semua mulai merasa takut.

Haji Noh menyembelih pula baki tiga ekor ayam yang masih ada tadi. Bunyi
ayam yang disembelih menarik langsuir yang berlegar-legar, tadi untuk
bertenggek diatas dahan pohon jejawi berdekatan. Matanya yang merah
merenung tepat ke arah ayam-ayam yang sedang menggelepar disembelih.

“Dia macam nak ambik ayam tu je, Haji” Ghani nampak cemas.

“Dia takkan ke sini kalau nampak kamu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience