BAB 2

Horror & Thriller Completed 458

Orang ramai di tebing sudah berani bersorak. Ada yang mulai membaling
batu dan kayu kearah makhluk itu. Mereka yang kehilangan ahli keluarga
di sungai itu pula kembali ke tebing sungai dengan membawa senjata.
Mereka turut teruja untuk membalas dendam atas kematian orang tersayang.

Bunuh!..bunuh!..

Jerit suara orang ramai, hampir serentak. Jamung dan pelita yang dibawa
dijulang sebaik mereka mengungkap perkataan itu. Suasana seakan pesta di
sungai itu.

Seorang lelaki tua bersama cucunya turut memerhati dari tadi. Orang tua
itu sekadar menggeleng kepala melihat apa yang berlaku.

“ Bodoh kesemuanya. Makhluk sungai itu tidak layak dilayan sebegitu. Ini
semua aksi mahu menunjukkan kehebatan diri semata-mata. Belum tentu yang
disiksa itu pembunuh sebenar" Komen lelaki tua itu. Dia kemudiannya
menghela nafas panjang.

“Atuk, Wahi nak ke tebing sungai boleh!, nak tengok dekat-dekat sikit"
Pinta anak kecil itu.

Orang tua itu menepuk belakang bahu anak kecil itu.

“Wahi tak boleh ke sana. Tak selamat. Apa-apa pun boleh berlaku malam ni"

Wahi menjuih bibir mendengarkan arahan datuknya. Dia terkilan kerana
tidak boleh turut serta. Sudah hampir setahun mereka berpindah ke atas
bukit itu, sejak datuknya dipulaukan orang kampung kerana menentang
perbuatan mereka yang dikatakan bertentangan dengan agama. Budaya
jamu-menjamu makhluk halus boleh menyebabkan syirik.

Bunyi deruan air jelas kedengaran dari atas bukit. Wafi berlari ke arah
Atuknya.

“Huh! Kepala air dah sampai ke sini. Sekejap lagi semua orang si bawah
tu dirempuhnya. Dah tak sempat aku nak beri amaran pada mereka semua!"
Jerit orang tua itu.

Pawang Masnawi masih belum puas. Orang kampung di tebing pun masih mahu
melihat aksi yang seterusnya. Makhluk yang ditakuti orang kampung kini
menjadi mainannya sahaja.

Niat Pawang Masnawi terbantut sebaik mendengar deruan air yang sangat
kuat menuju kearahnya. Tubuhnya tergamam melihat gulungan air setinggi
pohon kelapa muncul dari arah hulu sungai.

Kepala air pucuk nyiur!!!..kepala air pucuk nyiur!!!!

Jerit mereka yang nampak gelombang air itu. Mana yang nampak berlari ke
arah tempat yang lebih tinggi. Gelombang air itu membawa sekali semua
benda yang berada di laluannya seperti tsunami.

Pawang Masnawi yang terjun dari rakit untuk menyelamatkan diri, namun
dirinya digulung sekali dalam pusaran air itu.

Puteri Air yang disiksanya tadi tiba-tiba kembali segar. Ia membuka
mulut seluas-luasnya sebelum membaham kepala Pawang buaya yang
tercungap-cungap kelemasan itu. Makhluk air itu kemudiannya berenang
melawan arus dan hilang entah ke mana. Jasad Pawang Masnawi tanpa kepala
itu pula, bergulung-gulung bersama-sama dengan sampah sarap yang dikutip
oleh gelombang tersebut.

Orang-orang kampung di tepi tebing, yang lambat melarikan diri turut
diseret masuk oleh gelombang air itu. Teriak tangis kedengaran di
merata-rata, terutama suara orang mencari ahli keluarga yang hilang.

“Innalillahiwainnailaihirajiun" Ucap orang tua di atas bukit. Dia
menggeleng kepala menyaksikan azab yang baru terjadi. Esok pasti akan
jadi hari yang paling memilukan bagi semua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience