Series
2094
Eskobar mendayung tangannya menuju ke lautan dalam.
Nasibnya baik. Dia sempat melarikan diri daripada dijumpai oleh konco Askuvali. Dia terdengar tentera wilayah pusat berborak tentang penabalan putera mahkota dan pembukaan semula gerbang Matak.
Dua hari lagi dia akan bertemu dengan putera Harapan. Dia sangat yakin putera Harapan kini di Matak. Bisiknya sendiri.
Dia terus mendayung laju. Matanya melekat pada gerbang besar wilayah itu. Ia tertulis besar.
WILAYAH 33.
Dia melepasi pintu kota itu. Wilayah ini terletak di dalam lautan Avalena. Jauh ke Barat Matak. Di atasnya adalah daratan pulau-pulau kecil yang menempatkan gerbang kuno dan stesen janakuasa sonar Aurum 33.
Kelihatan wilayah yang sunyi dengan bangunan-bangunan usang menghiasi pemandangan matanya. Saiznya kecil sedikit daripada wilayah diraja. Sedikit sahaja lampu neon memancar daripada bangunan-bangunan itu.
?Populasi kaum Avalena sudah berkurangan.? Dia bercakap sendirian sambil mengeluh.
Orang Avalena merupakan kaum yang paling awal hidup di Matak. Walaupun teknologi penyerapan tenaga sonar berasal daripada wilayah ini, semuanya sudah dipindah ke wilayah pusat akibat perjanjian Aberra 45. Perjanjian ini diadakan di Lot Aberra, wilayah 33, tahun 45 pusingan avtarbumi.
Perjanjian ini memaksa mereka menyalurkan tenaga sonar yang banyak ke wilayah pusat selama 500 tahun. Walaupun, mereka mendapat keuntungan dengan bayaran royalti, penuaian tenaga sonar yang banyak telah memusnahkan ekologi dan kaum Avalena.
Stesen janakuasa aurum 33 memuntahkan banyak gelombang biru yang toksik! Gelombang ini adalah hasil tindakbalas aurum dengan sonar yang bekerja secara berlebihan. Proses ini dikenali dengan nama kesan hipersonik.
Tetapi, mereka masih mampu membendung toksik ini daripada melimpah keluar dengan tangki khas yang sempat dibina. Mereka bertungkus lumus membina sepuluh tangki yang amat tebal untuk membendung gelombang biru daripada melimpah keluar.
Tiba-tiba pada suatu malam yang sunyi, mereka dapati salah satu daripada sepuluh tangki itu meletup. Gelombang itu melimpah keluar menghala ke arah lot-lot paling padat dengan populasi.
Kediamannya di lot Aberra juga tak terkecuali. Mereka tidak tahu bagaimana tangki itu boleh meletup. Semuanya tidak sempat diselamatkan. Dia teringat kejadian yang berlaku masa itu. Siren berbunyi. Beribu saudara Avalenanya jatuh ke lantai lautan.
Anak-anak kecil yang paling cepat diracuni. Keadaan masa itu sangat menyedihkan. Apatah lagi, saudara mara dan sahabat yang terselamat hanya mampu melihat kesengsaraan mangsa. Pasukan paramedik Avalena terkaku di luar lot dengan tangan seperti diikat. Kerana mereka tak mampu berbuat apa-apa.
Ramai yang memuntahkan darah biru akibat diracuni oleh gelombang toksik.
Ibu dan isterinya adalah antara beribu mangsa yang diracuni akibat letupan itu. ?Abang, selamatkan kami!? Isterinya merayu-rayu. Muntah biru mengalir dari mulutnya. Dia kaku. Tiada juga antidot yang mampu melawan gelombang itu.
Ibunya hanya diam di satu sudut. Dia tidak melihat Eskobar. Dia tidak mahu menyusahkannya. Dia tahu Eskobar tidak akan mampu menyelamatkannya. Jadi, dia duduk menahan sengsara mengetahui anak lelakinya selamat. Mungkin itu sudah mencukupi untuk seorang ibu.
Kesannya sudah sampai ke kepala. Urat-urat mereka menimbul. Mata mereka putih. Selaput insang koyak rabak. Seksaan mereka tak tertanggung. Dia hanya mampu melihat daripada dalam kebuk wasap. Dia meraung-raung mahu keluar tetapi dihalang oleh pekerjanya.
?Askumawati!! Ibu!!? Dia menjerit memanggil nama isteri dan ibunya. Air matanya mengalir deras sehingga kering melihat keluarganya dimusnahkan sekelip mata. Dia terduduk layu. Perasaannya terlalu hiba.
Dia mengaku kaumnya ketika itu tamak dengan kemewahan. Tetapi letupan itu disengajakan. Dia pasti kerana dia adalah ketua keselamatan stesen janakuasa ketika itu. Dia sudah memastikan toksik itu dibendung dan segalanya selamat.
Sejak itu, dia menyimpan dendam dengan wilayah pusat. Keturunan raja durjana itu. Semua pembesar-pembesar mereka yang gilakan keuntungan sehingga sanggup membunuh ribuan kaumnya.
Dia berjanji untuk balas dendam.
Share this novel