Series
2094
Jeneral Askuvali dengan gah memimpin sekumpulan tentera ke istana Lunak tempat semayamnya Raja Isvfak dan Permaisuri Lionvel. Pembesar istana hanya memandang gerun dan rasa gementar dengan berita yang bakal disampaikan.
"Ke hadapan yang Mulia, Kanda Isvfak dan Permaisuri Lionvel. Patik menghadap membawa perkhabaran yang kurang menyenangkan."
Mereka berpelukan.
Jeneral Askuvali adalah adinda kepada Raja Isvfak. Mereka lahir dalam keturunan diraja Matak yang Agung dan terkenal di seluruh galaksi Mataking.
"Apakah beritanya adinda?" Tanya Raja Isvfak kerisauan. Pembesar-pembesar berkongsi kerisauan yang sama.
"Kanda Isvfak dan pembesar sekalian, cerita yang kubawa berkaitan dengan pintu gerbang Matak."
Mereka berpandangan seperti sudah tahu kesudahannya berita itu.
"Percubaan yang ke 982 itu juga telah gagal." Ujarnya lagi. Kali ini memejam mata.
Kedengaran keluhan beberapa pembesar.
Raja Isvfak menghala ke hadapan sedikit. Baju emasnya ikut meleret.
Sesekali dia memandang permaisuri Lionvel. Permaisuri yang jelita itu sedang memangku seorang bayi lelaki. Namanya Harapan. Harapan ialah putera tunggal mereka yang berusia 4 bulan. 4 bulan di sini bersamaan dengan 16 bulan di bumi.
"Sudah 500 tahun pintu gerbang Matak terbuka. Tergelincirnya permata diraja Suvarna ke lembah Avish menyebabkan cahaya sonar daripada bintang Asfvahari tidak lagi sampai ke gerbang Matak. Akibatnya, bandar ini tidak dapat menggunakan sonar. Bagaimana lagi yang harus kita lakukan?" Titah Raja Isvfak.
Pembesar-pembesar saling berpandangan. Sudah 982 cara dilakukan untuk membuka semula gerbang Matak. Permata-permata daripada seluruh pelusuk Mataking sudah diambil untuk menggantikan permata diraja Suvarna. Namun, hasilnya hanyalah kekecewaan.
Raja Isvfak duduk ditakhtanya kelemahan.
Malah Beberapa hari lagi, bulan Avtarbumi akan muncul. Pintu ke bumi akan terbuka. Tanpa gerbang Matak, ibu segala pintu, galaksi bimasakti juga tidak akan dapat menerima sonar daripada kita. Tanpa sonar, bunyi akan berkurangan di sana. Hidupan di sana akan kosong. Kita takkan dapat solar daripada bumi.
Suasana di dewan menjadi sunyi. Tiada seorangpun yang mampu bersuara. Mereka buntu. Gerbang itu teramat penting untuk Bandaraya Matak. Ia merupakan penuai sumber tenaga sonar daripada bintang terdekat. Hasil tuaian tenaga Sonar akan diagihkan ke bandar-bandar kecil di dalam bandaraya itu.
Tiba-Tiba ada seorang lelaki ke hadapan. Dia bersuara memecah kesunyian.
"Maafkan patik yang Mulia. Patik Eskobar daripada wilayah 33. Patik ada satu cadangan." Ujarnya sambil membuka hood yang menutupi wajah.
Seluruh isi dewan memandang Eskobar. Kulitnya hijau sedikit lembap. Matanya lebih besar daripada hidungnya. Jarinya hanya ada tiga. Kelihatan ekor terkeluar daripada jaket trenchnya. Pembesar-pembesar memandang dengan jijik. Apatah lagi makhluk itu daripada wilayah 33. Makhluk primatak. Hidupan kelas ketiga.
Wilayah 33 merupakan wilayah paling hujung di barat bandar Matak. Ia mempunyai 98 peratus air Avalena dan selebihnya daratan. Air Avalena merupakan air masin seperti air laut di bumi. Jadi, hidupannya adalah dua alam.
Raja Isvfak hanya memandang dengan pandangan yang lemah. "Bersuaralah makhluk Avalena."
"Tidakkah dapat kita memandang semula ke belakang. Sebelum gerbang utama Matak, terdapat satu lagi gerbang Kuno yang pernah menyalurkan sonar kepada bandar Matak lama dahulu."
Raja isvfak terus memandangnya tepat. Dia bangun.
"Ceritakan lagi Eskobar." Kali ini dia memanggil Eskobar dengan nama.
"Gerbang itu merupakan gerbang pertama yang dibina oleh kaum Avalena. Gerbang ini sudah lama tidak digunakan kerana kedudukannya yang kurang strategik di barat Matak. Jika dapat dihidupkan, gerbang Kuno ini pasti dapat menyalurkan sedikit sonar kepada kita sementara menunggu gerbang utama Matak dibaiki."
Mata Raja Isvfak bulat. Dia memegang bahu jeneral Askuvali. Nampaknya seperti ada sinar harapan buat kita kerana simpanan sonar bandar ini sudah berkurangan.
"Apakah kamu ada jalan untuk menghidupkan Gerbang kuno itu?"
"Ya yang Mulia. Tapi ia sedikit rumit dan memerlukan bantuan keluarga yang Mulia."
Raja Isvfak amat gembira. Dia tidak kisah dengan apa saja harga yang dikemukakan. Dia pasti akan membayarnya.
"Erm, kita memerlukan permaisuri Lionvel." Eskobar bersuara teragak-agak.
Permaisuri Lionvel memandang Eskobar, terkejut.
"Mengapakah beta, wahai Eskobar." Tanya permaisuri itu cuba menyembunyikan rasa terkejutnya.
"Ini kerana permaisuri Lionvel adalah pemegang kepada satu permata Air Avalena yang paling tua. Permata itu pernah digunakan untuk menghidupkan gerbang Kuno satu ketika dahulu."
Suara pembesar- pembesar di dewan menjadi riuh. Permata Air Avalena merupakan nyawa permaisuri. Mana mungkin nyawa permaisuri dipertaruhkan.
Eskobar cuba menghilangkan gelisah mereka.
"Kuasa permata itu sudah berkurangan tetapi patik rasa ia masih mampu menghidupkan gerbang Kuno itu. Malah patik berjanji ia tidak akan membahayakan nyawa permaisuri." Katanya sambil mengangkat kedua-dua tangan ke atas seperti ingin meredakan kemarahan mereka.
"Tidak adakah cara yang lain?" Jeneral Askuvali mula bersuara.
"Ada satu lagi cara. Tetapi ia lebih berisiko tinggi."
"Bagaimana?" Mereka semua kusyuk mendengar.
"Erm, Kita juga boleh menggunakan putera Harapan. Ini kerana putera Harapan juga mewarisi permata air Avalena."
Hadirin menjadi riuh-rendah. Jeneral Askuvali tidak dapat menahan marah. Permaisuri memeluk lebih erat puteranya.
"Beraninya kamu Eskobar!" Bentak Jeneral Askuvali. Suaranya sahaja mampu mengetarkan jiwa setiap isi dewan. Putera Harapan masih bayi. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang boleh mencederakan putera itu.
Eskobar melutut tanda hormat. Dia tahu nyawanya dalam bahaya kerana mengusulkan cadangan yang amat provokatif.
Raja Isvfak hanya diam. Dia memandang permaisurinya dan kemudian beralih ke arah puteranya itu.
Dia tidak boleh kehilangan kedua-dua permata hidupnya. Tetapi dia ada tanggungjawab yang besar kepada penduduk Matak. Dia adalah raja pemerintah dan pelindung Matak. Lagipun seperti yang di janjikan Eskobar, penggunaan permata Avalena pada gerbang kuno itu tidak akan membahayakan permaisurinya. Dia menghembuskan nafas dengan kuat sehingga kedengaran oleh mereka.
"Baiklah, beta bersetuju."
Jeneral Askuvali memandang kekandanya. Raja Isvfak berpaling.
Dia tidak ingin lagi berbincang mengenai hal ini. Dia mendekati permaisurinya. Permaisuri Lionvel hanya memandangnya dengan perasaan bangga. Suaminya adalah raja yang berfikiran adil dan berani. Kini, dia lebih menyanjungi keperibadian suaminya.
Raja Isvfak melihat permaisurinya tersenyum.
"Bersurai semua." Titah Raja Isvfak.
Diiringi bunyi semboyan persuraian.
Share this novel