Aku amat mencintainya. Seumur hidupku ini dialah yang paling aku cintai. Hilman, dialah lelaki yang mengetuk pintu hatiku.
Aku mencintainya kerana agamanya. Kalau agama itu hilang darinya, maka hilanglah cintaku padanya.
Aku hanya hambamu nan kerdil, Ya Allah. Aku hanya mampu mencintai kerana semua rasa itu hanya datang daripada-Mu, Ya Rabbul Izzati.
Engkaulah Maha Mencintai dan dicintai oleh segenap umat-Mu. Sesungguhnya rasa cintaku kepada Hilman makin mengerdil di jagat raya-Mu Ya Allah. Dan aku mengetahui hanya pada-Mu adalah sebenar-benar cinta Ya Allah.
Benarlah duhai hati, duhai rasa, cintailah pada yang maha mencintai. Kerana apabila kita mencintai-Nya kita akan Dicintai-nya. Dialah sebenar-benar kekasih yang tidak akan memungkiri cinta-Nya dah hanya cinta-Nya yang kekal abadi dan tidak pernah terhakis walau sezarah pun.
“Syira, rombongan lelaki sudah sampai.” Kata umi.
Inara Syuhada mengangguk perlahan. Sedikit senyuman terbias pada wajahnya. Inara Syuhada tahu rombongan meminang itu untuk siapa sebenarnya. Bukan untuknya.
Tetapi dia hanya mendiamkan diri. Menyimpan seribu cinta yang bersemi dalam hati. Dia bukanlah insane cekal, yang mampu berpura tabah untuk menghadapi semua ini.
Tatkala itu dia menyarung pakaian pernikahan yang dibeli bersama Hilman beberapa hari lepas. Pakaian yang bernuansa ungu lembut yang tersarung cantik di tubuhnya bukan untuk dia.
Lebih layak untuk orang lain. Lebih layak untuk wanita yang Hilman cintai setulusnya. Tapi dia berada tempat itu sekarang. Hati kecilnya menangis pilu.
Share this novel