Completed
66
Langkah Teja perlahan menyusuri lorong batu yang asing namun terasa seolah-olah pernah dia jejak sebelum ini. Dia masih berada dalam tubuh Sari—moyangnya yang pernah hidup berabad lalu. Tapi kali ini, apa yang dia rasa bukan sekadar bayangan, bukan sekadar lintasan kenangan. Ia hidup. Ia nyata. Segalanya terasa benar, dari degupan jantung yang laju, ke desiran angin yang membawa bau tanah lembap dan kayu lama.
Di hadapannya, Niryu berdiri. Lelaki itu memandang ke dalam sebuah perigi tua yang gelap, diam seperti menyembunyikan sesuatu. Wajahnya tenang, suaranya lembut.
“Sari,” kata Niryu, “Kau tak perlu takut pada kuasa. Aku cuma mahu pastikan kau selamat.”
Teja, dalam jasad Sari, tunduk. Tapi dalam dadanya, perasaan berbelah bagi makin menekan. Hatinya mahu percaya, tapi akalnya menolak. Teja tahu, ini bukan sekadar perbualan biasa. Ini permulaan sesuatu yang gelap.
Dia ingin menjerit, ingin memaksa Sari untuk lari—tapi suaranya terperangkap. Dia bukan pemilik tubuh ini. Dia cuma penumpang.
Dari dalam perigi, muncul bayangan hitam. Bentuknya kabur, tapi matanya merah menyala. Suaranya tidak kedengaran melalui mulut, tetapi langsung ke dalam kepala Sari—dan Teja turut mendengarnya.
“Berikan cahaya padanya… dan kau akan selamat. Jika tidak, semua yang kau sayang akan lenyap.”
Sari melangkah ke belakang, tubuhnya menggeletar. Teja dapat rasa ketakutan itu—bukan kerana Niryu, tetapi kerana dia sendiri pernah percaya pada Niryu. Dalam hati Teja, lahir kesedihan yang tak pernah dia faham sebelum ini.
Tiba-tiba, semuanya menjadi jelas. Teja nampak semuanya—potongan-potongan kenangan yang bertebaran sebelum ini kini menyatu menjadi sebuah cerita penuh. Dulu, Niryu pernah diserang makhluk dari alam gelap, dan separuh jiwanya telah diambil. Sejak itu, dia mula berubah. Dia bukan menjadi jahat kerana dia mahu, tetapi kerana dia terpaksa.
Sari pernah cuba menyelamatkan Niryu. Dia berdoa, dia bertarung, dia sanggup berkorban. Tetapi dia gagal. Dan kegagalan itulah yang membuka pintu kepada kegelapan yang sekarang memburu keturunan mereka.
Lutut Teja jatuh menghentam tanah. Tangan Sari yang menggenggam tongkat kini terkulai. Perasaan bersalah mula merayap dalam jiwanya. Dia tak sangka moyangnya dan Niryu mempunyai hubungan yang begitu dalam. Dia tak sangka permusuhan yang diwarisi itu berpunca daripada cinta dan pengkhianatan yang tak pernah disembuhkan.
Sebelum air mata sempat mengalir, satu suara yang berbeza menyentuh pendengarannya. Kali ini bukan suara dalam kenangan. Ia datang dari luar, dari alam yang lain.
“Teja… cepat bangun. Masa kau dah makin singkat.”
Dia berpaling. Dalam kabus masa yang melingkari ruang itu, muncul seorang lelaki—berdiri teguh, matanya lembut, wajahnya dikenali.
“Abang…” Teja berbisik.
Arfan tersenyum sedikit. Tapi di matanya, ada ketegangan. Masa semakin suntuk, dan mereka belum tiba ke jawapan yang dicari.
Share this novel