BAB 19

Fantasy Completed 66

Pagi itu, langit diselubungi awan kelabu. Teja berdiri di halaman sekolah, memegang nota kecil yang ditulisnya semalam: "Semarak — akar mula segala yang terpendam." Dia tak tahu tempat itu wujud di mana sebenarnya, tapi hati kecilnya berkata — ia bukan sekadar lokasi. Ia satu peristiwa. Satu tempat dalam masa.

“Awak yakin ni?, saya risaukan awak la Teja ” Lia datang dari belakang, beg sekolah masih di bahu.

Teja angguk. “Aku tak tahu macam mana aku tahu. Tapi aku rasa tempat tu… dekat. Mungkin dalam kawasan sekolah ni sendiri.”

Lia termenung. “Maksud kau… Semarak tu mungkin bukan tempat fizikal?”

Belum sempat Teja menjawab, suara seseorang menyampuk.

“Semarak…” Cikgu Suraya berdiri di tepi bangunan, matanya redup, seperti mengingat sesuatu yang lama. “Dulu, kawasan hutan belakang sekolah ini dinamakan Lembah Semarak oleh penduduk kampung lama. Tapi selepas tanah ini diambil alih untuk dibina sekolah, nama itu hilang dari peta.”

Teja dan Lia berpandangan.

“Hutan tu… yang ada pokok besar tu, kan cikgu?” tanya Teja.

Cikgu Suraya angguk. “Ya. Tapi kawasan itu dah lama dikunci. Terlalu banyak kejadian pelik. Orang kampung percaya ada sesuatu yang terkubur di sana. Sesuatu yang tak patut diganggu.”

Tapi Teja tahu, dia mesti ke sana.

---

Petang itu, selepas sekolah, Teja menyelinap ke kawasan larangan. Pokok-pokok menjulang tinggi, dan udara terasa lebih pekat dari biasa. Loket di tangan Teja mula berdenyut lagi — kali ini lebih kuat.

Teja diam. Tapi langkahnya tetap maju. Dan saat mereka tiba di tengah hutan, mereka nampak sesuatu yang tak pernah dicatat dalam mana-mana peta: sebuah pelantar batu bulat, ditutupi lumut dan ukiran tua.

Di tengah pelantar itu — akar besar yang kelihatan seperti pernah terbakar, namun masih hidup. Di sekelilingnya, tanah merekah. Seolah-olah pernah ada letupan tenaga dari dalam.

Teja menghampiri, meletakkan loket di atas akar itu. Tiba-tiba — bumi bergoncang.

Cahaya putih meledak dari celah-celah akar, dan dunia di sekeliling mereka mula berpusing.

Teja menutup mata.

Dan apabila Teja buka mata semula…

Teja sudah tidak berada di hutan itu.

Teja berada di Semarak — tapi Semarak yang dulu, sebelum ia hilang. Dunia yang terbentuk daripada sejarah, kenangan, dan rahsia moyang mereka.

Dan suara yang pernah membisik kini berbunyi jelas:

“Selamat kembali ke titik mula, Teja. Inilah tanah Nuraya yang sebenar.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience