Completed
66
Teja Ratna tidak pernah tahu apa yang membuat dirinya berbeza. Sejak kecil, dia hidup dengan —ibu, ayah tanpa mengetahui asal usulnya . Tetapi satu perkara yang Teja pasti—ada sesuatu yang tak kena dengan dirinya. Sesuatu yang tidak dapat dijelaskan oleh sesiapa. Sesuatu yang hanya boleh dirasai dalam mimpi-mimpinya yang mengganggu.
Hari itu, seperti biasa, Teja duduk di sudut kelas, melayan keheningan. Di luar tingkap, awan gelap meliputi langit, seperti perasaan yang tak dapat disingkapkan. Di sekolahnya, dia lebih dikenali sebagai gadis pendiam, yang seringkali dilupakan orang ramai. Namun, dunia luar tak pernah sepi baginya. Malah, dunia yang ada di dalam mindanya lebih hidup daripada yang dilihatnya.
Pagi itu, sebaik sahaja dia terjaga dari mimpi yang aneh—mimpi yang sama, tentang sebuah dunia yang jauh, penuh bayang hitam dan cahaya biru samar—dia melihat sesuatu yang aneh.
Sebelum sempat menarik nafas panjang, suara Lia, teman sekelasnya yang satu-satunya, memecah lamunannya.
"Teja, kau dengar tak cikgu panggil tadi?"
Teja mengangguk perlahan, memaksa dirinya kembali ke dunia nyata. Namun matanya masih tertumpu pada sesuatu di luar tingkap. Di bawah pokok tua yang terletak jauh dari sekolah, ada seorang lelaki berdiri, menghadapnya. Matanya tepat memandang ke arah Teja, seolah-olah dia sudah lama menunggu.
"Siapa dia?" bisik hati Teja.
Lia, yang berdiri di sebelahnya, ikut menoleh. "Eh, dia siapa? Baru pindah ke?"
Teja masih tidak dapat memalingkan pandangan. Seperti ada sesuatu yang memanggilnya dari jauh. Suasana di dalam kelas yang riuh rendah menjadi kabur, seolah-olah Teja berada di dua dunia dalam satu masa. Di dalam kelas, Lia sedang cuba menarik perhatian Teja, tetapi di luar, lelaki itu masih berdiri, tidak bergerak sedikit pun. Hanya angin yang seolah-olah mengelilinginya.
"Teja?" Lia menepuk bahunya, dan Teja tersentak dari lamunannya.
"Huh? Oh, maaf," jawab Teja, cuba berpura-pura tidak tahu apa yang berlaku. Tetapi dalam hatinya, satu perasaan pelik meresap—perasaan yang tidak pernah dia rasakan sebelumnya. Sesuatu yang mengganggu dan menarik sekaligus.
Lia tersenyum, tetapi Teja boleh rasa bahawa dia memandangnya dengan penuh persoalan. Walaupun Lia adalah satu-satunya teman yang cuba memahami Teja, gadis itu juga tidak tahu sepenuhnya siapa Teja yang sebenar. Tidak ada yang tahu.
----
Di luar, lelaki itu mulai bergerak.
Langkahnya perlahan, dan seolah-olah setiap langkah itu mengambil masa lebih lama daripada yang sepatutnya. Teja merasakan jantungnya berdegup kencang, seolah-olah ada tarikan yang tidak dapat dijelaskan.
"Teja, kau okay?" Lia bertanya lagi, tetapi kali ini, suaranya hampir tenggelam dalam bunyi hati Teja yang semakin kuat.
Mata Teja masih pada lelaki itu, namun sebelum dia sempat berkata apa-apa, lelaki itu hilang—seperti lenyap ditelan oleh angin yang tiba-tiba bertiup kencang.
Teja meraba-raba lehernya, merasa sejuk yang tidak masuk akal. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba mengingati apa yang dia lihat. Tetapi tidak ada apa-apa. Hanya angin. Hanya kosong.
---
Lelaki itu… siapa dia sebenarnya? Kenapa Teja merasakan seperti dia sudah lama mengenali sosok itu, walaupun mereka baru sahaja bertemu—atau, lebih tepatnya, Teja hanya melihat bayangannya sekali?
Dan dunia ini, dunia nyata ini, adakah benar-benar nyata? Atau ia hanya satu permainan untuk Teja yang berada di antara dua alam—dua dimensi yang tidak pernah dia fahami sepenuhnya?
---
Teja mengalihkan pandangannya kembali ke Lia yang masih tidak pasti. Tetapi di dalam dirinya, satu pertanyaan besar mula terbentuk. Adakah dunia mimpi itu benar-benar mimpi, atau adakah dunia itu lebih dekat daripada yang dia fikirkan?
Share this novel