Completed
66
Malam itu, Teja tidak dapat tidur. Mimpi yang dia alami semakin mengganggu dirinya, seperti ada sesuatu yang mendalam menunggunya. Pikirannya berputar, tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk memahami apa yang sedang berlaku. Setiap kali matanya terpejam, bayangan yang sama muncul—dan kali ini, rasa itu lebih kuat. Dia tidak boleh membiarkannya berlalu begitu sahaja.
Akhirnya, dia memutuskan untuk bercakap dengan ibu dan ayahnya.
Di ruang tamu, ibu sedang sibuk dengan kerja-kerja rumah, manakala ayah duduk di kerusi menghadap televisyen. Teja mendekati mereka, perlahan-lahan duduk di sebelah ibu, sambil menghela nafas panjang.
"Ibu, ayah... teja ada sesuatu nak cakap," katanya, suaranya penuh keraguan.
Ibu menoleh dan tersenyum, meletakkan kerja-kerjanya. "Ada apa, sayang? Kenapa nampak resah?"
Teja menggaru kepala, cuba mencari perkataan yang tepat. "Teja... teja selalu mimpi tentang tempat yang gelap, ibu. Ada bayang-bayang, ada suara yang panggil nama teja. Dan malam tadi, mimpi itu berbeza... dia kata teja ada pilihan besar yang perlu dibuat. Tapi teja tak tahu apa maksudnya."
Ayah yang mendengar, mengalihkan pandangannya dari televisyen dan memandang Teja dengan penuh perhatian. "Mungkin teja hanya terlalu banyak fikir. Mimpi adalah cara minda kita meluahkan perasaan atau tekanan yang kita alami sehari-hari. Tak perlu risau, sayang."
Teja mengangguk perlahan, tetapi dalam hati dia masih tidak puas hati. "Tapi... kenapa mimpi itu datang berulang kali? Kenapa teja rasa seperti ada sesuatu yang teja tak fahami?"
Ibu meraih tangan Teja, memegangnya dengan lembut. "Kadang-kadang, Allah berikan kita petunjuk melalui mimpi. Ia bukan selalu untuk difahami dengan segera, tetapi kita perlu berdoa dan minta petunjuk-Nya. Jangan terlalu risau, Teja. Apa yang penting, kita sentiasa berusaha dan percaya pada takdir-Nya."
Teja memandang ibu, merasa sedikit tenang. Namun, dia tahu, dalam hatinya, bahawa ada sesuatu yang lebih besar menantinya. Mimpi-mimpi itu tidak akan berhenti, dan dia harus bersedia untuk menghadapi apa sahaja yang datang.
Share this novel