Completed
66
Langkah mereka perlahan menuruni lereng berbatu. Hanya cahaya kebiruan dari batu yang digenggam Affan menjadi peneman. Sekeliling mereka gelap, sunyi, dan dingin. Awan hitam yang menggulung di langit alam itu seolah-olah memberi amaran bahawa sesuatu sedang menanti.
"Abang… tempat ni rasa lain," bisik Teja sambil menggenggam erat lengan abangnya.
Affan mengangguk, matanya tertumpu pada mulut gua yang tersorok di balik akar-akar besar. Tanpa berkata apa-apa, dia melangkah masuk, dan Teja mengikut rapat di belakang.
Di dalam gua, dindingnya dipenuhi lukisan purba. Simbol-simbol aneh, susuk tubuh manusia dengan cahaya di tangan, dan bayang hitam yang besar memerhati dari kejauhan. Teja menghampiri satu lukisan—dua orang berdiri berhadapan. Seorang membawa tongkat cahaya, seorang lagi memegang batu hitam berapi.
"Ini... Sari dan Niryu?" soal Teja perlahan.
Affan membongkok, matanya menangkap ukiran tulisan lama di bawahnya. "‘Apabila darah terakhir keturunan Sari menyatu dengan Cahaya Nuraya, kegelapan akan musnah’... Teja, maksudnya—"
Tiba-tiba, Teja terdengar bisikan. Sayup, dalam, dan menggoda. Matanya membulat. Dia berpaling, tetapi tiada sesiapa. Jantungnya berdegup laju.
"Teja, jangan sentuh apa-apa!" jerit Affan, namun terlambat.
Jari Teja sudah menyentuh lukisan cahaya itu.
Dan sekelip mata, segalanya berubah.
Gua itu lenyap dari pandangannya. Dia kini berdiri di sebuah padang rumput yang luas, dan di hadapannya—Sari masih muda, bersama Niryu. Mereka sedang berlatih, tertawa, seolah-olah sahabat sejati. Namun dalam bayang-bayang, Teja melihat sesuatu…
Wajah Niryu yang penuh cemburu. Cahaya dalam mata Sari yang mula malap.
"Ini… masa lalu?" bisik Teja.
Dia kini bukan lagi sekadar seorang pelajar yang hilang. Dia sedang menyaksikan permulaan kepada dendam berabad-abad
Share this novel