Keesokan harinya, dengan semangat aku memulakan kerja di sekolah. Tiba sahaja di sekolah, aku duduk sambil termenung, mencari idea untuk berjumpa dengan si comel.
"Kau apahal termenung pagi-pagi ni? Ada masalah ke?" tanya Suhairi kepada aku.
"Eh... takde apa-apa lah. Tengah cari idea macam mana nak bertemu dengan si comel tu lah..." jawab aku.
Suhairi menarik kerusi dan duduk berdepan dengan aku. "Lah... abang ingat ada masalah apa. Rupanya tengah cari idea nak dekat dengan si comel kau tu. Kejap-kejap... jom kita pergi sarapan pagi dulu dekat kantin," ucap Suhairi sambil menggosok perutnya, menandakan dia tengah lapar.
"Ye, ye... abang bab makan nombor satu. Jom!" balas aku sambil bangun untuk menuju ke kantin bersama Suhairi.
Sampai sahaja di kantin sekolah, aku membuka pintu ruang makan guru. Betapa gembiranya aku apabila melihat si comel sedang memilih lauk-pauk. Aku dan Suhairi saling bertatapan.
"Aiman, tu si comel ada dekat situ... abang ada idea. Kau pergi sebelah dia, lepas tu suggest makanan untuk dia cuba," bisik Suhairi di telinga aku.
Aku terus mengikuti idea Suhairi dan menuju ke arah si comel.
"Menu-menu dekat sini semua sedap-sedap, tapi yang paling special dekat sini tu... ikan patin masak tempoyak. Sekali rasa, pasti nak lagi, tau cikgu! Cuba lah..." aku mencadangkan.
"Ye ke... sedap? Kalau macam tu saya nak cuba lah," balas si comel sambil tersenyum.
Aku dengan cepat mencapai senduk lalu mengambilkan lauk patin itu dan menuangkannya ke dalam pinggan si comel.
"Eh, cukup, cukup... terima kasih," ucap si comel sambil tersenyum manis, lalu menuju ke arah meja bersama cikgu praktikal yang lain.
Aku juga mengambil makanan dan duduk di meja berdepan dengan si comel, bersama Suhairi.
"Macam mana, bang? Agak-agak ada peluang ke?" tanya aku kepada Suhairi di sebelah.
"Kalau abang tengok cara dia balas percakapan Aiman tadi, macam ada peluang," jawab Suhairi sambil menghirup air kopi.
Aku menikmati makanan sambil curi-curi pandang si comel yang berdepan dengan aku. Sesudah si comel siap makan, dia menuju ke arah aku.
"Terima kasih, awak... betul lah, memang sedap ikan masak tempoyak tu. Okey lah, saya pergi dulu... bye," kata si comel sambil melambai tangan.
"Peh... Aiman bukan biasa-biasa, awek lambai tangan dengan dia doh!" kata kawan-kawan satu meja.
Sesudah siap makan, aku kembali ke pondok keselamatan untuk menjalankan tugas. Ketika menjalankan tugas, baru aku teringat semasa si comel itu melaporkan diri di pondok keselamatan, nombor telefonnya ada tertulis dalam buku laporan keluar masuk.
Tanpa fikir panjang, aku terus mencapai buku laporan itu dan menyimpan nombor telefonnya. "Hihihi... nombor dah ada, tapi macam mana nak mulakan perbualan ni?" bisik aku dalam hati.
Tengah berfikir, tiba-tiba sepasang suami isteri masuk ke sekolah. "Assalamualaikum... encik, boleh tolong tak? Anak saya tertinggal duit. Boleh tolong sampaikan kepada dia? Nama dia Irfan, kelas 6 Amanah," kata mereka sambil menghulurkan duit.
Aku mengambil duit itu dan menelefon pejabat sekolah. "Helo... boleh saya tahu cikgu mana yang mengajar kelas 6 Amanah sekarang?"
"Sebentar ya... okey, cikgu praktikal yang sedang mengajar sekarang ialah Cikgu Afieqah," jawab pihak sekolah.
"Oh, okey. Terima kasih," balas aku dan menutup panggilan.
"Hihih... dah ada sebab nak chat dengan si comel ni," bisik aku dalam hati.
"Assalamualaikum... ni Cikgu Afieqah ke? Saya Aiman, security sekolah. Boleh cikgu maklumkan kepada murid bernama Irfan untuk turun ambil duit di pondok keselamatan?" aku menghantar mesej.
"Baik, saya dah maklumkan kepada pelajar itu," balas si comel.
"Okay... sekarang tunggu dia save nombor aku. Aku dah ada plan. Harap-harap menjadi lah plan aku ni supaya si comel tertarik pada aku."
BERSAMBUNG...
Share this novel