BAB 27 HARAPAN YANG TERHIRIS

Romance Completed 4092

Hari yang penuh debaran akhirnya tiba. Aku berdiri di hadapan rumah keluarga Si Comel bersama Pak Cik dan beberapa orang wakil keluarga yang lain. Wajahku dipenuhi harapan, ini bukan sekadar pertemuan biasa. Ini adalah_ langkah pertamaku untuk melamar gadis yang telah lama menjadi impian - Si Comel. Hati berdegup kencang, namun aku cuba menenangkan diri.

"Aiman, tenang sikit. Percaya pada rezeki Tuhan," kata Pak Cik sambil menepuk bahuku.

Aku mengangguk, mengambil nafas panjang. "Ya, Pak Cik. Saya akan cuba buat yang terbaik."

Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang tamu, pandanganku tertumpu pada satu lagi rombongan yang tampak gah dan sempurna. Mereka duduk di hujung ruang tamu, pakaian serba mewah dan rapi. Senyuman mereka penuh keyakinan, seakan-akan segala-galanya telah disediakan dengan teliti.

"Aiman, siapa mereka tu?" bisik salah seorang wakil keluargaku.

Aku menelan liur, cuba menenangkan hati yang mula resah. Tapi, alangkah terkejutnya aku apabila melihat satu wajah yang amat aku kenali - Aniq, berdiri_ tegak dengan senyuman sinis yang menyakitkan hati.

"Tak sangka kau sampai juga hari ni, Aiman." Senyumannya menyindir sambil melangkah ke arahku.

"Aniq... apa kau buat kat sini?" tanyaku dengan suara yang hampir bergetar.

"Apa lagi, Aiman? Sama macam kau, nak melamar Si Comel," jawabnya dengan nada bangga. "Tapi beza kita, aku datang dengan persiapan yang lebih... teratur."

Panas darahku, tapi aku cuba kawal perasaan. Tak mahu mencetuskan kekecohan di hadapan keluarga Si Comel.

Ayah Si Comel memulakan bicara, dan kata-katanya bagaikan menyusuk hatiku.

"Terima kasih kepada kedua-dua rombongan yang datang hari ni. Cuma saya ingin tegaskan, sebagai seorang ayah, saya mahukan yang terbaik untuk anak saya," katanya sambil memandang ke arah kami berdua.

Aniq segera mencelah dengan senyuman lebar. "Pak cik tak perlu risau. Saya bersedia beri yang terbaik untuk Afieqah. Saya ada perniagaan sendiri, dan saya akan pastikan hidupnya bahagia."

Aku memandang wajah ayah Si Comel yang kelihatan terkesan dengan kata-kata Aniq. Pandangan itu seakan-akan mengatakan aku tidak layak.

"Bagaimana dengan kau, Aiman?" tanya ayah Si Comel secara tiba-tiba.

Terkejut, aku cuba memberi jawapan yang meyakinkan. "Pak cik, saya mungkin tidak sekaya atau sehebat Aniq, tapi saya janji akan menjaga Si Comel dengan sepenuh hati. Kami sudah lama saling memahami, dan saya akan pastikan dia bahagia bukan itu sahaja saya juga telah membuka sebuah kafe."

Namun, ayah Si Comel menggeleng perlahan.

"Aiman... saya hargai kesungguhan kau. Tapi dalam dunia ni, cinta sahaja tak cukup. Saya perlu lihat stabiliti, keyakinan, dan... mungkin nasib kau dan Afieqah tak ditakdirkan untuk bersama."

Kata-kata itu seperti tamparan yang kuat. Aniq tersenyum lebih sinis, seperti kemenangan sudah miliknya.

"Pak cik... boleh tak bagi saya peluang lagi sekali?" tanyaku, masih cuba_ meyakinkan ayahnya.

Namun ayahnya hanya menunduk dan bersuara lembut, tetapi tegas. "Aiman, aku pilih rombongan Aniq. Maaf."

Perasaan kecewa menelan aku sepenuhnya. Tanpa berkata apa-apa lagi, aku berdiri, memberi isyarat pada keluargaku untuk meninggalkan rumah itu.

Lewat malam setibanya di kafe yang menjadi tempat perlindunganku, aku membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam ruang yang sunyi. Kafe ini menjadi tempat aku mengisi kekosongan, tempat yang ku bina dengan harapan untuk masa depan yang aku bayangkan bersama Si Comel.

Aku duduk di kerusi, wajahku tenggelam dalam bayangan kenangan bersama Si Comel. Bayangannya semakin menjauh dalam fikiranku, seakan-akan isyarat bahawa kami bukan lagi ditakdirkan untuk bersama.

Tiba-tiba, satu dentuman kuat memecah kesunyian malam. Pintu kafe terhempas terbuka, dan sekumpulan lelaki bertopeng meluru masuk. Aku tersentak, cuba bangun, tetapi mereka lebih pantas. Salah seorang dari mereka menghampiri dan menendangku hingga jatuh ke lantai.

"Apa korang nak!!!?" bisikku dalam hati sambil cuba menahan kesakitan.

Salah seorang lelaki itu memegang kolar bajuku, mengangkat aku dengan kasar.

"Jangan ingat kau boleh lepaskan diri begitu saja, Aiman. Ini amaran untuk kau."

Aku menahan sakit, cuba melawan, tapi mereka lebih ramai dan lebih kuat. Setiap pukulan yang hinggap membuatkan tubuhku lemah, dan pandanganku semakin kabur. Dalam kegelapan yang semakin menyelubungi, satu-satunya perkara yang terlintas di fikiranku adalah wajah Si Comel.

Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, aku cuba mengingati senyuman dan suara lembutnya. Itu satu-satunya kekuatan yang masih ku pegang. Akhirnya, aku rebah dalam kegelapan yang pekat.

BERSAMBUNG....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience