BAB 55 BERDARAH

Romance Completed 4092

Aku tersedar dari pengsan. Mata aku terbuka perlahan-lahan, dan aku dapat merasakan perit di seluruh badan. Kesakitan menjalar, dan aku hampir tidak mampu menggerakkan tubuh. Bau darah menyengat di hidung.

Wajah mak tiba-tiba muncul di hadapanku, matanya bengkak, penuh dengan air mata. "Aiman… Aiman, bangun!" panggil mak, suaranya tersekat-sekat. Tangannya menyentuh wajah aku yang lebam, cuba menahan tangisnya.

"Mak… apa dah jadi ni?" aku bertanya dalam nada serak. Aku cuba duduk, tetapi badan aku terasa berat. Darah masih mengalir perlahan dari luka-luka di tubuhku.

Mak menangis lebih kuat. "Mak dengar bunyi bising-bising dari luar. Mak turun, turun je, mak nampak kamu macam ni. Apa dah jadi, Aiman? Siapa buat kamu sampai macam ni?" Mak memeluk aku dengan erat, seperti tidak mahu melepaskan.

Saat itu, memori kejadian mula berputar kembali di kepala aku. Ingatan tentang serangan, darah, dan… Afieqah. Aku tergamam. "Mak… Afieqah mana, mak?" tanyaku, panik. "Dia… dia tak ada dengan saya?"

Mak menggeleng, air mata mengalir deras. "Mak tak tahu, Aiman. Mak cuma nampak kamu. Afieqah tak ada," katanya, suaranya semakin lirih.

Aku bingkas bangun walaupun tubuhku berdenyut sakit. "Mak, saya kena cari dia. Saya tak boleh tunggu lagi." Aku melangkah terhuyung-hayang ke luar rumah, tanpa menghiraukan jeritan mak yang cuba menahan aku.

Di hadapan rumah, aku menemui salah seorang pengawal peribadi aku – terbaring tidak sedarkan diri di atas tanah. Dadanya naik turun perlahan, tanda dia masih hidup. Di atas badannya, aku melihat sehelai kertas yang kelihatan seperti nota. Aku mengutip kertas itu dan membaca.

"JANGAN LAPOR POLIS. DATANG KE ALAMAT INI JIKA MAHU DIA SELAMAT."

Aku menggenggam kertas itu erat, amarah membuak dalam dada. Aku tahu ini perangkap, tapi aku tidak ada pilihan lain. Afieqah berada dalam bahaya, dan aku tidak akan memaafkan diri sendiri jika sesuatu terjadi padanya.

Aku masuk semula ke rumah, terus menuju ke bilik. Dengan tangan yang masih menggigil, aku membuka peti besi dan mengeluarkan pistol serta kunci kereta sport aku. Mak masih menunggu di luar bilik, wajahnya penuh kerisauan.

"Aiman, kamu nak buat apa?" soal mak, suaranya bergetar.

"Mak, saya tak boleh tunggu. Saya kena pergi cari Afieqah. Mak tinggal dalam rumah ni, kunci semua pintu. Saya akan suruh pengawal lain datang jaga mak," kataku dengan tegas. Aku tahu aku tak boleh biarkan mak risau, tapi aku tak ada pilihan lain.

Mak cuba memegang tanganku, air matanya mengalir tanpa henti. "Aiman… hati-hati. Jangan buat sesuatu yang boleh bahayakan nyawa kamu."

Aku mengangguk, menahan rasa sebak yang cuba meruntuhkan semangat aku. "Mak, percayalah pada saya. Saya akan selamatkan dia." Aku salam tangan mak sebelum berlari keluar.

Kereta sport aku menderum kuat ketika aku memecut keluar dari halaman rumah. Telefon aku berdering, dan nama Hariz muncul di skrin. Aku menekan butang hijau dan terus bercakap.

"Hariz, aku perlukan bantuan kau," kataku tanpa membuang masa.

"Aiman, apa dah jadi? Kau okay?" suara Hariz kedengaran cemas di hujung talian.

"Aku tak ada masa nak cerita panjang. Afieqah diculik. Aku ada alamat ni, aku tak tahu apa yang menanti di sana, tapi aku kena pergi sekarang."

Hariz terdiam beberapa saat sebelum menjawab. "Kau nak aku ikut kau?"

"Tak. Aku perlukan kau standby. Kalau aku tak balik, kau tahu apa yang perlu dibuat. Aku akan hantar lokasi aku."

"Okey, Aiman. Berhati-hati. Jangan buat sesuatu yang bodoh."

Aku memutuskan panggilan dan terus memandu. Alamat di kertas membawa aku ke kawasan terpencil di pinggir bandar. Jalan semakin sunyi, dihiasi lampu jalan yang suram. Hati aku berdegup kencang.

Akhirnya, aku tiba di sebuah rumah usang yang kelihatan seperti telah lama ditinggalkan. Lampu di luar rumah berkelip-kelip, menambahkan suasana seram. Aku mematikan enjin kereta dan mengambil pistol di tempat duduk sebelah.

Setiap langkah aku ke arah pintu rumah itu terasa berat. Pintu itu separuh terbuka, dan aku mendengar suara bisikan dari dalam. Nafas aku semakin laju. Di sini, jawapan kepada semua persoalan yang bermain di kepala aku.

Afieqah, tunggu. Aku akan selamatkan kau.

BERSAMBUNG....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience