Setelah menempuh perjalanan panjang menaiki jet peribadi, kami akhirnya tiba di London. Udara kota ini terasa dingin, namun menyegarkan. Aku memandang sekeliling, melihat wajah-wajah gembira keluargaku yang tenang terlepas semua dari masalah. Afieqah menggenggam erat tanganku, senyuman manis terukir di wajahnya sambil matanya memerhati pemandangan lapangan terbang yang sibuk.
"Awak, tak sangka kita boleh sampai sejauh ini," bisiknya perlahan.
Aku hanya tersenyum, menepuk lembut tangannya. "Ini semua berkat usaha dan doa. Hariz pun banyak tolong saya sepanjang perjalanan ini."
Afieqah hanya mengangguk kecil, wajahnya sedikit kemerahan.
Kami semua dibawa ke sebuah vila mewah yang disediakan khas oleh Hariz. Rumah itu terletak di pinggir kota, lengkap dengan laman hijau yang luas dan pemandangan indah Sungai Thames. Vila itu seakan menjadi tempat perlindungan sempurna buat kami semua.
Setelah memastikan keluargaku berehat dengan selesa, aku keluar ke balkoni untuk menghirup udara segar. Suasana malam di London terasa damai, namun fikiranku dipenuhi pelbagai persoalan. Tidak lama kemudian, Hariz menghampiriku dengan wajah serius.
"Aiman, kita kena bincang," katanya perlahan sambil menarik kerusi di hadapanku.
Aku menoleh, memandang wajahnya yang penuh dengan tekad. "Apa dia, Hariz? Macam berat saja bunyinya."
Dia menarik nafas panjang. "Aku dah fikir masak-masak. Kalau kita nak teruskan hidup di sini tanpa dihantui masa lalu, kita kena tukar semuanya. Identiti, nama, dan cara kita bergerak. Biar pihak berkuasa tak dapat kesan kita."
Aku terdiam seketika, menimbang kata-katanya. "Tukar identiti? Maksud kau, tinggalkan semua yang kita ada sekarang? Itu risiko besar, Hariz."
Hariz mengangguk. "Aku tahu, tapi ini langkah terbaik. Kalau kita terus guna nama lama, terlalu banyak yang boleh berlaku. Aku akan uruskan semuanya—nama kafe, dokumen kau, aku, dan keluarga kau. Semua akan diubah."
Aku memandangnya, rasa terharu mula menguasai hati. "Kau sanggup buat semua ini untuk aku, Hariz?"
Hariz tersenyum kecil. "Aiman, aku dah janji, kan? Susah senang kita bersama. Aku takkan biarkan kau tanggung semua ini seorang diri."
Aku bangun dan memeluk Hariz erat. "Kau memang sahabat terbaik aku. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa kau."
"Kau cuma perlu teruskan hidup dan berjaya. Itu dah cukup untuk aku," balas Hariz sambil menepuk belakangku.
Kami duduk kembali, membincangkan rancangan dengan lebih terperinci. Nama baharu untuk kafe-kafe yang aku miliki di London turut menjadi topik utama.
"Aku rasa kita guna nama yang lebih neutral, yang langsung tak ada kaitan dengan asal-usul kita," kata Hariz.
"Macam mana kalau kita guna nama 'Aurora Bistro'? Sesuai dengan konsep moden kafe kita," aku mencadangkan.
Hariz tersenyum puas. "Bagus. Nama tu ada tarikan. Aku akan uruskan semua dokumen tukar nama kafe, dan kita boleh buat pelancaran rasmi dalam masa sebulan."
Selepas perbincangan itu, aku kembali ke bilik. Afieqah sedang duduk di atas katil sambil membetukan tudungnya. Dia memandangku dengan senyuman.
"Awak bincang dengan Hariz berkenaan apa?" tanyanya, suaranya lembut seperti biasa.
Aku mengangguk, lalu duduk di sebelahnya. "Hariz cadangkan sesuatu yang besar. Dia nak kita semua tukar identiti. Nama kafe pun akan diubah."
Afieqah terdiam sejenak, memikirkan kata-kataku. "Awak yakin ini langkah yang betul?"
"Saya yakin. Kalau ini yang terbaik untuk kita teruskan hidup tanpa diganggu masa lalu, saya sanggup buat apa saja," jawabku dengan penuh keyakinan.
Dia tersenyum kecil, kemudian menggenggam tanganku. "Saya percaya pada awak. Apa saja keputusan awak, saya akan sokong."
Aku memandang wajahnya, rasa syukur melimpah di hati. Dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan, aku bersyukur kerana masih ada Afieqah dan Hariz di sisiku.
Bersambung...
Share this novel