BAB 01 : PERMULAAN MISI

Drama Series 3073

Tahun 2010

Safina memandang deretan bangunan di seberang jalan. Kepalanya diteleng ke kiri dan kanan mencari restoran yang diberitahu Yusrizal semalam. Hidungnya menghembus nafas kecewa; dia tak nampak pun kedai makan tempat mereka berjanji bertemu. Perutnya yang sedari tadi berkeriuk makin kuat berbunyi apabila melihat pelanggan yang leka bersarapan di restoran mamak.

Tak boleh jadi. Takkan dia nak tercegat di sini saja.

Lantas, dia segera mendail nombor telefon Yusrizal.

“Yus, kau kat mana?” tanya Safina tanpa salam. Pagi yang dingin terasa membahang kerana terlalu lama berdiri di seberang jalan.

“Isk, perempuan ni! Kut ya pun, bagilah salam dulu. Mana sifat muslimah kau selama ni? Sia-sia saja aku kawan dengan kau. Tak boleh buat bini langsung,” bebel Yusrizal di corong telefon.

Safina tersenyum kecil. Bila bercakap dengan lelaki itu, kena ada caranya.

“Okay, maaf.”

Serta-merta Safina tamatkan talian. Lepas itu dia buat tak endah. Dia tahu Yusrizal pasti akan menghubunginya semula.

Seketika kemudian…

“Hei, minah! Kau yang putuskan tadi…” belum sempat Yusrizal berleter, Safina sudah keluarkan suara sopan.

“Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Encik Yusrizal?”

Itulah cara dia membalas mulut laser Yusrizal, dan lelaki itu tidak mahu kalah.

“Waalaikumussalam. Mr. Yus tak ada.”

Pantas Safina mengetap bibir geram. Kalah juga dengan lelaki itu.

“Dahlah main-main. Lenguh dah kaki aku tunggu kau kat sini,” omel Safina dengan muka cemberut.

“Kau tu yang pandai sangat main-mainkan aku. Kau ingat aku tak tahu taktik kau,” balas Yusrizal sambil melonggarkan tali lehernya. Berpeluh dia melangkah ke arah Safina yang menunjukkan muka cemberut. “Jangan nak mencuka sangat. Aku dah lama nampak kau. Kau je yang tak nampak aku. Cuba toleh sikit. Hah, tangan lelaki handsome ni tengah lambai kat kau. Kalau kau tak nampak juga, baik kau buang contact lens kau tu. Menyusahkan,” bebelnya geram.

Safina luahkan gelak kecil.

Talian diputuskan, dan Safina berpaling sepenuhnya. Nampak Yusrizal di hujung bangunan berjalan laju sambil melambai-lambaikan tangan, lemah longlai seperti sang putera baru kematian isteri.

“Aku dah tercongok kat sini 10 minit tau. Tunggu kau yang jakun sangat, macam tak pernah datang bandar besar macam ni,” bebel Yusrizal macam mak nenek. “Kau ingat aku ni tak ada kerja ke nak tunggu sampai ke malam? Ingat sikit ya, aku ni bos besar.” Dalam mengomel, sempat juga lelaki itu jual minyak angin.

Safina pula tunjuk muka bersalah.

“Sorrylah, Yus. Aku tahu kau sibuk sangat tapi aku yang tak jumpa restoran yang kau cakap kat aku tu,” tukas Safina dengan rasa bersalah.

“Lain kali pasang telinga betul-betul. Aku cakap restoran bawah bangunan HS2, bukan restoran seberang jalan. Tu kau tak nampak,” Yusrizal tunjuk restoran tempat dia menunggu tadi. Mata Safina pantas melilau melihat keadaan bangunan.

“Eh, orang tunjuk restoran, dia tengok bangunan pula. Kau dah tak sabar sangat ke nak kerja?”

Serta-merta pandangan Safina jatuh ke wajah Yusrizal yang licin dan gebu.

“Sorry. Aku kagum sangat. Itu yang aku tak sabar nak masuk ke dalam,” balas Safina segan. Walaupun Yusrizal kawan baiknya, namun di depan lelaki itu dia tidak mahu ada sesiapa pun mampu membaca apa yang tersimpan dalam hatinya.

“Lepas makan aku bawa kau terus ke tempat kerja. Aku ni kan... banyak kerja, tapi sebab kau aku rela buang masa tunggu kau kat sini. Menyampah kau tau tak? Kau ingat kau VVIP ke.”

Pantas tawa Safina terhambur kuat. Kalau dengan Yusrizal, hari-harinya memang ceria. Sikap lelaki itu yang ala-ala perempuan itu buat Safina senang berkawan dengannya. Namun Yusrizal bukan mat pon pon. Lelaki itu adalah lelaki sejati yang mempunyai hati yang lembut - mudah tersentuh dengan keadaan meruntun hati. Itulah Yusrizal yang dikenali semenjak berusia 19 tahun.

“Jomlah sarapan dulu. Aku belanja,” ajak Safina apabila sedar dia leka melihat bangunan yang bakal dijejakinya.

Yusrizal mencebik.

“Memang aku nak suruh kau belanja pun sebab kau dah curi masa aku.”

“No hal lah,” balas Safina. Lalu mereka berdua melangkah ke restoran yang sudah ditetapkan Yusrizal.

“Eh, kau tidur kat mana semalam?” tanya Yusrizal tiba-tiba sebaik sampai di restoran. Pantas Safina tunjuk muka geram.

“Kau baru nak tanya, Yus? Padahal dah 4,5 kali kita bercakap dalam telefon semalam. Kau saja kan tak nak pelawa aku tidur rumah kau,” Safina tunjuk rajuk.

Terus buntang mata Yusrizal.
“Eh, kau nak kena tangkap basah. Rumah aku tu jantan belaka. Mana boleh aku ajak kau,” marah Yusrizal sambil julingkan mata ke atas. Safina ketawa berdekah.

“Aku tidur kat hotel bajetlah. Lepas siap lapor diri nanti aku terus pergi rumah sewa.”

Yusrizal berhenti melangkah.

“Kau dah jumpa rumah sewa?” Gembira dengan kata-kata Safina dan gadis itu pantas mengangguk.

“Baguslah. Aku kasihan dekat kau sebenarnya. Mana tahu kau terpaksa tidur dekat kaki lima syarikat pulak malam nanti. Tak kuasa aku nak mengaku kau kawan aku kalau pak guard tanya nanti.”

Safina tunjuk muka benci. Ada-ada saja Yusrizal seorang ni.

“Kerja aku nanti macam mana?” soal Safina perlahan.

“Beres, tapi… kalau jadi apa-apa kau jangan sesekali libatkan aku. Aku tak nak masuk campur.”

Safina angguk. Harapannya hanya satu - semoga urusannya dipermudahkan Tuhan.

***

Melangkah masuk ke dalam HS2 Holdings, seluruh dada Safina bergetar hebat. Bangunan 21 tingkat itu berubah rupa dalam pandangannya — dekorasi dalamannya begitu anggun dan moden. Sesuai dengan abad kini.

Tiba-tiba, Yusrizal berdehem kuat.

“Kau tak nak masuk ke?” Lelaki itu sudah berdiri di dalam lif, tangan kanan itu menahan pintu dari tertutup.

Safina yang masih terpukau dengan keindahan bangunan tersentak.

“Ingat nak ikut tangga je, tapi tak apalah. Dah kau offer guna lif, aku ikut lah.”

Yusrizal beri cebikan benci.

“Cukup ke oksigen kau tu nak naik tingkat 18 guna tangga je? Banyaklah kau punya cekadak.”

Safina pantas mengetap bibir. Kalau berlawan cakap dengan Yusrizal, memang dia tak akan menang. Mulut lelaki itu memang lancang, tak pandai kawal mulut sendiri.

Ting tong!
Pintu lif terbuka, tanda sudah sampai ke destinasi.

“Hah, kerja kat sini je yang kosong. Aku harap kau tak kisah,” bisik Yusrizal. Safina mengangguk sambil memerhati ruang di tingkat 18. Di hadapan lif ada pintu gelangsar besar bertulis ‘Jabatan Operasi’. Yusrizal terus meletakkan ibu jarinya di sebuah mesin kecil.

Safina faham, bukan mudah nak masuk ke situ. Maksudnya, hanya staf sahaja yang boleh ke sini.

“Nanti lepas lapor diri, PA bos kau akan setkan cap jari kat mesin tu. Lepas tu, boleh guna untuk mana-mana pintu kat syarikat ni. So, lepas ni kau boleh naik turun bila-bila je, 100 kali sehari pun lantak kau lah. Janji kau tak mati je,” kata Yusrizal sinis.

“Yus!!!” Safina mengetap bibir geram. Ayat pedas lelaki itu tak berubah. "Kau kan... ada je yang kau tak puas hati dengan aku." Safina menjeling geram.

“Macamlah aku ni jakun sangat sampai tak tahu sistem canggih macam ni,” omel Safina geram lantas ketap gerahamnya.

Yusrizal pula menjeling, buat tak tahu lalu menyapa seorang wanita yang baru keluar dari sebuah bilik.

“Hai, Vit!” sapa Yusrizal kepada wanita India yang kelihatan ayu dengan blaus pink berlengan panjang dan skirt hitam separa betis. Rambut hitam panjang separas pinggang itu diikat satu. Kemas dan di bawa ke depan dada.

“Hi, Yus. Who’s that lady? Soo cute,” balas Kavitha kagum. Mata itu tak berkelip melihat keayuan Safina yang bertudung bawal melepasi dada.

“Hah… ni staf baru jabatan kau. Ini Safina,” Yusrizal memperkenalkan. seraya julingkan mata. Menyampah lihat kecomelan Safina. Sengaja betul Safina tunjuk muka manis.

“Oh, yang kau bagitahu semalam tu ke? Herm… tak sangka cantik orangnya. Baru lepas SPM ke?”

Safina tersentak pantas menggeleng. Tetapi Kavitha tersenyum manis. Perlahan-lahan, Safina hulur salam.

“Panggil Kak Vit.” Wanita itu mengingatkan.

“Safi.” Dan... Safina mesra memperkenalkan dirinya.

Tetapi Kavitha memandang wajah Safina penuh tanda tanya.

“Apahal kau tengok dia macam nak telan je?” suara Yusrizal kuat memecahkan keheningan, mematikan renungan Kavitha. Pantas wanita itu tergelak kecil.

“Bukan apa, Yus, macam tak layak je dia nak jadi kerani kat sini. Betul ke pilihan kau ni?” Kavitha masih ragu.

“Isk, engkau ni. Dah HR luluskan, so aku bawak lah. Kalau kau nak bangkang, turun tingkat 15 sekarang juga!” balas Yusrizal tegas.

Safina terkebil-kebil melihat sikap Yusrizal, tapi Kavitha hanya ketawa besar.

“Macam inilah perangai pegawai sumber manusia kita ni. Mulut puaka,” kata Kavitha sambil senyum sinis.

Safina tersenyum. Rupa-rupanya semua oranh dah kenal perangai lelaki itu.

“Safi, jangan ambil hati tau dengan Encik Yusrizal tu. Mulut dia memang macam tu, tak ada insurans langsung.”

Safina mengangguk, tidak kisah. Memang dah kenal sangat.

“Mengata kat aku tak ada faedah. Baik kau bawa dia ke meja. Takkan kau nak suruh dia berdiri sampai habis waktu pejabat,” ujar Yusrizal serius.

Kavitha yang sudah maklum tugasnya memberi renungan redup.

“Safi, tunggu sekejap ya, Kak Vit nak ambil fail kat meja kejap,” kata wanita itu sambil melangkah laju ke sebuah bilik.

Setelah Kavitha menghilang, Yusrizal merapati.

“Safi, ini sajalah yang boleh aku tolong. Lepas ni pandai-pandai kaulah bawak diri," bisik Yusrizal.

“Thanks, Yus!” ucap Safina tulus.

“Kalau ada apa-apa, kau contact je aku,” pesan Yusrizal sambil memberi isyarat hendak kembali ke pejabatnya.

Safina pun menghantar lelaki itu sehingga hilang dari pandangan.

“Jom, Safi, Kak Vit tunjukkan meja Safi,” ajak Kavitha mesra.

Safina akur dan mengikut wanita itu dengan harapan segala urusannya akan sentiasa mudah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience