BAB 02 : RUMAH BARU

Drama Series 3073

Usai melaporkan diri di Jabatan Operasi dan berkenalan dengan semua kakitangan, Safina memohon diri. Hari ini dia belum perlu memulakan tugas. Nasib baik. Lagi pula, dia sudah berjanji dengan tuan rumah untuk melihat rumah terlebih dahulu. Jika puas hati, dia akan terus masuk hari ini juga.

Setibanya di pagar rumah banglo dua tingkat berwarna putih kelabu, Safina menyapa mesra.

“Maaf, puan. Saya Safina, yang janji nak tengok rumah sewa kelmarin,” ucapnya sopan saat seorang wanita bertudung segera keluar menyambut.

Puan Raziah membalas dengan senyuman mesra.

“Maaflah, makcik tengah masak kat dapur. Masuklah dulu.”

Namun Safina menolak sopan.

“Tak apalah, puan. Saya nak tengok rumah dulu. Lagipun saya nak cepat ni.”

“Tunggu sekejap… siapa nama tadi?”

“Panggil saja Safi.”

Puan Raziah berlalu masuk ke dalam seketika. Kemudian kembali dengan segugus kunci di tangan.

“Marilah.” ajak Puan Raziah.

Safina melangkah keluar dari pagar, hendak menghidupkan enjin kereta, tetapi dihalang wanita itu.

“Tak payah naik kereta. Rumah sewa dekat je. Tu hah, selang sebuah rumah depan ni je.”

Safina tersenyum kecil, lalu mengangguk. Mereka berjalan seiringan ke rumah berwarna kelabu.

“Safi asal mana?” tanya Puan Raziah sambil berjalan.

“Selangor, makcik. Tapi tinggal dekat Kelantan.”

Puan Raziah mengangguk. Suka pula berbual dengan gadis muda di sebelah yang telah menukar panggilan. Dari puan kepada mak cik.

“Kat sini banyak kemudahan, kan makcik?” Safina kumpul maklumat.

“Haah, jangan risau. Pasaraya dekat, surau dekat, sekolah dekat, balai polis pun dekat. Semuanya dekatlah.”

Puan Raziah bercakap dengan penuh keyakinan, membuat Safina rasa selesa.

“Safi nak tinggal sini dengan siapa? Dah berkeluarga ke?”

Safina terkejut dengan soalan itu.

“Kenapa makcik? Kawasan ni kawasan gelap ke?” tanya dia risau.

“Taklah, kawasan ni okay saja,” jawab Puan Raziah sambil membuka pintu pagar.

Hati Safina yang resah tadi mula tenang. Melihat pula laman rumah yang bersih dan cantik hati terbuai. Landskap moden dengan rumput karpet yang menghijau memang kena dengan seleranya yang sukakan kehijauan. Cuma satu yang kurang - tidak ada pokok bunga. Cuma sepasang kaktus di tepi pagar.

“Mak cik deko sendiri ke?” tanya Safina teruja.

“Taklah, anak makcik yang buat,” jawab Puan Raziah sambil membuka pintu rumah.

“Kenapa bagi sewa?” tanya Safina lagi, mahu tahu latar belakang rumah ini. Dia agak takut kalau rumah ini berhantu.

“Entahlah Safi. Dah hampir dua tahun anak mak cik beli. Sempat lah setengah tahun duduk sendiri. Eh, tiba-tiba cakap sunyi pula. Tak nak duduk sorang-sorang. Lepas tu terus pindah duduk dengan mak cik. Padahal kalau duduk sendiri pun apa salahnya. Rumah makcik dekat ni je pun,” Puan Raziah mengomel ringan sehingga terbit senyum malu Safina. Tak sangka tuan rumah mesra begini.

“Jomlah masuk!” ajak Puan Raziah sebaik membuka pintu.

Safina mengeyakan lantas masuk ke dalam. Makin kagum dengan dekorasi moden dan konsep segar dalaman rumah itu. Tak sangka dia jatuh cinta pandang pertama lagi.

“Cantik sangat,” puji Safina yakin. “Kalau macam tu saya setuju nak sewa kat sini.”

Puan Raziah terkejut.

“Betul ke ni? Tapi sewa rumah ni mahal, Safi. Baik fikir dua kali.”

Safina kelipkan mata mendengar soal harga sewaan.

“Kenapa makcik?”

“Harga sewa rumah ni RM 1200 sebulan. Tapi kalau Safi betul-betul nak duduk, makcik potong bulan ni jadi RM1000. Bayaran pendahuluan RM2000. Bulan pertama kedua tak perlu bayar. Bulan ketiga nanti bayar.”

Safina mengangguk seraya tersenyum. Ingatkan mahal macam sewa studio berhadapan pantai rupanya tidak. Senyuman manisnya mengundang hairan Puan Raziah.

“Safi setuju mak cik,” sahut Safina ria. Tetapi Puan Raziah tetap tak percaya.

“Betul ke ni? Dah ramai yang nak sewa tapi bila tahu harga sewa terus tak jadi.”

Safina tetap senyum seraya menjelaskan dengan yakin,
“Sebenarnya, harga tu tak mahal sangat pun, makcik. Rumah fully furnished, kemudahan pun dekat. Memang berbaloi nak sewa. Cuci kaki je saya masuk.”

Puan Raziah akhirnya mengangguk puas hati.

“Jadi bila Safi nak pindah?” tanya Puan Raziah teruja.

“Erm... petang nanti boleh?”

Puan Raziah terkejut dengan jawapan pantas itu.

“Tak ada masalah kan mak cik?”
Safina bertanya dengan penuh harapan.

“Tak ada masalah pun, Safi. Rumah ni makcik dah bersihkan kelmarin. Bila-bila masa saja Safi boleh duduk.”

“Insha Allah, petang nanti ya, makcik. Lagipun esok Safi dah mula kerja.”

Lalu Puan Raziah ukir senyum lega.

“Kalau dah puas hati, jomlah ke rumah mak cik. Kita minum-minum dulu," ramah Puan Raziah mengajak.

“Lain kali, mak cik. Sekarang Safi nak ke bandar dulu. Nak selesaikan banyak urusan. Tak pasti pukul berapa balik nanti, entah-entah malam baru sampai,” jelas Safina, takut mengecewakan tuan rumah.

Dengan kecewa Puan Raziah mengangguk.
“Baiklah. Kalau macam tu Safi jaga diri.”

“Terima kasih, makcik.”

Sebelum berlalu, Puan Raziah hendak menyerahkan kunci rumah. Namun,

"Mak cik pegang dulu. Bila dah selesai semua urusan, Safi datang ambil kunci.”

Safina segera meminta diri lalu Puan Raziah hantar dengan satu perasaan. Ada rasa gembira tak terkata.

Setelah Safina hilang dari pandangan, Puan Raziah mengunci pagar sambil tersenyum puas. Tak sabar nak ceritakan pada anaknya.

---

Sementara itu, di tempat lain...

Akhyar memandang skrin Apple yang bergetar di atas meja. Tertera nama ibunya. Tapi dia biarkan. Sengaja tidak menjawab.

Sudah lima kali ibu cuba hubungi, jarang sekali ibu buat begitu. Biasanya hanya dia yang menelefon wanita itu.

Mesyuarat penting sedang berjalan, tapi perasaan risau menguasai hati.

Sejurus mesyuarat tamat, Akhyar terus menghubungi ibunya.

“Ibu ada benda penting nak bagitahu Ya ni. Sebab itulah ibu call,” suara wanita itu kedengaran ceria di corong telefon.

“Benda penting apa, bu? Kak Long dah bersalin ke?” soal Akhyar teruja. Seingatnya itulah benda penting yang dia tahu setakat ini.

“Tak lah, due date Kak Long lambat lagi. Lepas raya nanti. Ni lagi penting dari Kak Long tu.”

Akhyar pantas hamburkan ketawa kecil.

“Ibu ni, apalah yang penting sangat sampai banyak kali call Ya?”

“Rumah Ya dah ada penyewa baru. Lepas setahun tak ada yang sewa, hari ni ibu dah tak payah risau kan rumah Ya lagi.”

Akhyar akhirnya sambung ketawa sambil menggeleng.
“Ibu ni, janganlah teruja sangat.
“Mana tahu sekejap je tu,” balas Akhyar. cuba merendahkan harapan ibu.

“Tak mungkin. Air muka budak tu nampak baik je,” pujuk Puan Raziah.

“Ibu!”
Akhyar kesal dengan sikap baik hati ibunya.

“Ibu, jangan cepat letak harapan.”

Tak sangka Puan Raziah mengeyakan dengan wajah hampa.

“Ya ada banyak kerja nak settle ni. Nanti kita jumpa dekat rumah.”

“Ya lah. Lama lagi ke Ya kat Kuantan?” soal Puan Raziah dengan suara kendur. Kedengaran merajuk.

“Dua hari lagi, ibu. Hari minggu nanti kita jumpa.”

“Jaga diri, Ya. Ibu risau kalau Ya dah kerja jauh macam ni.” Puan Raziah berpesan bimbang.

“Insya Allah ibu. Ibu pun jaga diri. Jangan teruja sangat,” balas Akhyar lembut. Ada sindiran pada ayat itu dan terus membuat muka Puan Raziah berkedut geram.

"Sayang, ibu!" luah Akhyar lantas Puan Raziah mengeyakan. Itulah modal anak jantannya. Nak mengelak begitulah caranya.

Usai menjawab salam ibunya, Akhyar meletakkan telefon. Bibirnya tersenyum panjang mengenangkan ibunya.

Dia cukup faham dengan keterujaan ibunya. Tapi... bukan sebab rumah sangat pun. Hati tua itu sedang berusaha mencari calon isteri untuknya. Sebab itulah jumpa saja perempuan yang berkenan di hati terus bagi signal.

Tapi itulah... dia belum ada masa hendak cari perempuan. Kalau dah jumpa tentu rumah itu tak akan disewakan untuk orang lain.

“Ah, eloklah orang lain duduk dulu,” bisik hati Akhyar dan abaikan kata-kata ibunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience