BAB 06 : SALAH LIF

Drama Series 3073

Sesudah subuh Safina memandu keretanya dengan laju membelah gelapnya pagi. Tujuannya; dia tidak mahu bersesak di jalan raya. Satu lagi, dia tidak mahu kakitangan Jabatan Operasi melihat pacuan empat rodanya. Pasti banyak syak wasangka yang akan bermain di fikiran mereka.

Sekejap saja dia tiba di aras parkir. Sementara menanti matahari muncul dia membaca ayat-ayat suci Al Quran lebih dahulu. Sedang mengaji telefonnya berbunyi. Nama Wardah muncul di layar telefon.

“Salam alaik Kak H... EH, Kak Safi.” Suara Wardah menegur kedengaran ceria tetapi bernasib baik tidak berbuat silap.

Seperti biasa Safina berdehem. Mengingatkan. Warda pantas ketawa kecil.

“Mana mana Kak Safi sekarang sejak kerja dalam ofis beraircond?” tanya Wardah sekadar mengusik.

Lalu Safina tergelak kecil.
“Jangan nak perli akak ya. Tapi kalau Adah nak tahu, sejak kena aircond ni kulit akak dah putih gebu. Muka akak dah glowing. Flawless gitu,” gurau Safina dan Wardah balas dengan ketawa geram. Geram dengan kakaknya itu yang suka menjawab.

“Macam mana bisnes?” soal Safina mahu tahu.

“So far so good. Alhamdulillah. Cuma….” Wardah terdiam seketika.

“Apa dia?” Dada Safina pantas berdebar-debar. Bila Wardah sudah menyebut cuma, kebarangkalian untuk ada masalah itu tinggi.

“Kak Safi tolong call Shuk. Dah dua hari Adah call tapi dia tak jawab-jawab. Kalau dengan Kak Safi mungkin dia akan jawab rasanya.”

Safina mengangguk walaupun tidak dapat dilihat Wardah.

“Ada apa-apa masalah ke ni?” soal Safina tak sedap hati.

“Dah seminggu medium promosi tak diupdate. Adah tak tahulah dia tu buat apa. Dah dia yang bertanggungjawab uruskan iklan tapi dia tak main peranan betul-betul.” Warda mengomel geram. Sakit hati dengan sikap adik sendiri yang buat kerja sambil lewa.

“Shuk ada masalah kut. Tak apa Dah. Nanti Kak Safi call. Kejap lagi.” Janji Safina dan Wardah mengeyakan.

“Baik kak. Apa-apa hal nanti Kak Safi inform Adah tau,” pesan Warda risau.

“Ya Adah. Jangan lupa kirimkan salam kakak dekat Ayah Aji dengan Mak Aji,” pesan Safina pula.

Sebaik Wardah putuskan talian dia pandang jam di layar telefon. Setengah jam lagi ke pukul lapan.
Pandang keluar.
Ada beberapa buah kereta diparkir dekat dengan pintu untuk ke kotak lif. Safina cepat-cepat keluar dari perut kereta apabila yakin tiada seorang pun yang melihatnya.

Dengan langkah laju dia masuk ke dalam. Tak lama berlari-lari anak ke pintu lif yang ke tiga. Tangan cepat-cepat menekan punat lif.

Pintu terbuka.
Wajah seorang jejaka tercengang memandang ke arahnya yang melangkah masuk ke dalam tanpa riak. Safina tidak menghiraukan sebaliknya mendekati papan nombor lalu menekan punat berangka 17. Kemudian, dia bergerak ke belakang. Rapat ke dinding.

“Staf baru?” tanya lelaki di sebelah dan Safina angkat muka.
Mengangguk.
Terus bibir Akhyar terherot senyum lucu namun, Safina tidak membalas. Hanya memerhati sekilas jejaka yang memakai kemeja lengan panjang baby blue itu.

“Jabatan mana?” tiba-tiba suara itu bertanya lagi dan kali ini dada Safina berdebar hebat. Terus pandang wajah itu.
Akhyar tak lepaskan peluang. Tangkap mata itu yang merenung ke arahnya. Seketika mereka tenggelam dalam emosi masing-masing.

“Erk, Jabatan Operasi,” jawab Safina segan apabila sedar dia sudah memalukan dirinya dengan menilik wajah itu.

Akhyar pula kerutkan muka. Sedang gadis di depan menunduk dia tilik wajah itu lama.

‘Ini ke kerani baru yang Kavitha cakap?’ batin menyoal.

“Position?” Akhyar tak mahu teka teki dalam hati tak berjawab lalu bertanya lagi.

“Erk, kerani kat situ.”

Dan… betullah apa yang Kavitha khabarkan. Lalu dia sunggingkan senyum lucu.
“Ketua awak tak cakap ke?” Sengaja dia mahu mengusik. Terkebil-kebil gadis itu memandang.

“Cakap apa?” tanya Safina tak tahu.

Akhyar pantas memberi isyarat menyuruh si gadis melihat ke arah butang lif.

Safina pula tak teragak-agak memanggung kepala lalu membca tag yang diukir dengan tulisan berwarna putih.

- Khusus untuk VIP dan pengurusan tertinggi HS2 HOLDINGS sahaja -

Terus mata Safina terbuntang luas sebaik sahaja melihat patah-patah perkataan yang tertera di papan akrilik hitam itu. Serta merta bibirnya diketap kesal dan dahinya berkerut menahan malu. Wajahnya sudah menyebu merah.

“Erk, maaf!” ucapnya segan.

Akhyar kawal tawanya. Keadaan gadis itu yang sudah kelam kabut buat dia terpana seketika. Nampak comel.

Dipihak Safina pula dia mula gelabah.
“Kalau macam tu saya keluarlah,” ujar Safina sebaik pintu lif terbuka.

“Eh….” Belum sempat Akhyar hendak menghalang si gadis terkocoh-kocoh melangkah keluar sehingga terlanggar seorang lelaki yang baru saja hendak melangkah masuk.

“Maaf. Maaf, encik. Saya tak sengaja.” Safina tertunduk-tunduk seraya meminta maaf. Kebetulan orang yang dilanggar tidak berbunyi terus dia menghilangkan diri. Akhyar di dalam menggeleng kesal dengan sikap kelam-kabut sang gadis. Tangan pula tekan punat menahan pintu dari tertutup.

Dato’ Hamzah yang sedari terkedu pantas menoleh ke belakang. Cuba melihat wajah sang gadis yang terkocoh-kocoh melarikan diri namun, tak ternampak di mata. Tetapi sebaik kakinya melangkah masuk matanya menangkap sesuatu di tengah-tengah pintu lif. Terus dia tunduk ke bawah dan mencapai sesuatu yang bersinar itu.

Sebentuk kerongsang bermotifkan bunga matahari berwarna emas. Digenggamnya lalu bawa masuk ke dalam lif. Sebaik menyandar dia merenung dalam kerongsang tersebut.

Rekaannya begitu menarik minat Dato’ Hamzah. Huruf HD yang dihiasi berlian dan melekat di tengah-tengah benang sari bunga membuatkan dia mengingati memori indah yang telah jauh ditinggalkan.

“Papa nak tahu tak kenapa Hazel sukakan bunga matahari?”
Dato’ Hamzah angguk seraya memandang ke ladang bunga matahari yang sedang mekar.

“Kenapa sayang?” soal Dato’ Hamzah teruja.

“Sunflower means faithful and success.”
kening Dato’ Hamzah mula bertaut.
“Huraikan.”

Dan… Hazel beri senyum panjang.
“Bunga matahari lambang kesetiaan dan kejayaan. Biar waktu berlalu pergi pa, Hazel akan setia dengan papa. Lepas tu Hazel harap kejayaan akan mengelilingi hidup Hazel.”

Dato’ Hamzah terkesan.
Pantas saja air mata lelakinya hendak menitik jatuh.

“Insyaallah, Hazel. Papa doakan apa yang Hazel nak akan termakbul.”

Tetapi tiba-tiba saja wajah Hazel dirundung mendung.
“Tapi pa, bunga matahari perlukan matahari untuk terus hidup. So, papa kena jadi matahari Hazel buat selamanya. Janji ya papa.”

Tak semena-mena Dato’ Hamzah cuit hidung anaknya.
“Sekarang memanglah papa ni matahari Hazel. Tapi… bila Hazel dah besar panjang, papa dah tak boleh jadi matahari Hazel lagi.”

Terus Hazel menggeleng tak mahu. Tunjuk rajuk. Tak lama kedengaran raungan Hazel yang kuat.

“Dato’.”
Akhyar memanggil.

Terus orang tua itu tersentak. Hati Akhyar kehairanan apabila lelaki berpangkat itu termenung jauh.

“Nampaknya staf tadi tercicir brooch ni.” Dato’ Hamzah menghulurkan kerongsang di tangan kepada Akhyar.

“Staf Ya, dato’!” balas Akhyar dengan senyum sumbingnya apabila teringat akan kekalutan gadis tadi.

“Staf Im? Tak pernah nampak pun.” Dato' Hamzah kerutkan muka dan Akhyar tunjuk senyum resah. Dia sendiri pun tak pernah jumpa lagi. baru tadi dia melihat muka. Itupun dia mengagak saja.
“Staf baru, dato’. Macam tu lah.” ujar Akhyar dan menerbitkan tawa halus Dato’ Hamzah.

Faham sangat. Sudah menjadi kebiasaan staf baru di sini tersalah masuk lif. Bukan sekali dua bahkan sudah berkali-kali mereka berhadapan dengan insiden lucu begini.

“Ya pulangkan pada dia.” Suruh Dato’ Hamzah dan sememangnya Akhyar akan menemui gadis itu. Lagipun dia memang perlu berkenalan dengan kakitangan baru.

Pintu lif terbuka sebaik cahaya dari nombor 17 malap.

“Dato’, saya keluar dulu!” ujar Akhyar apabila sudah tiba ke destinasinya.

“Go on!” ucap Dato’ Hamzah bersama senyuman.

Akhyar beri salam dan mengangguk sekali dengan dada yang lapang. Sambil tersenyum dia melangkah ke pejabat dengan satu agenda.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience