PROLOG
1995, Kuala Krai
Jam 6 pagi
“Terjun! Terjun!” jerit suara lelaki dari belakang, bergema seiring getaran tayar kereta api yang meluncur di atas rel besi.
Namun, wajah Hazel yang mencengkam erat bingkai pintu gerabak kelihatan pucat pasi, penuh ketakutan. Dia bergelut antara keinginan untuk menurut arahan lelaki itu dan ketakutan pada kelajuan kereta api yang bukan seperti mendayung sampan di atas air.
“Selamatkan diri. Jangan fikirkan abang,” rayu lelaki itu dengan suara pilu.
Saat kereta api memperlahankan kelajuan ketika hampir tiba di stesen Kuala Krai, lelaki muda itu melepaskan pegangan pintu, paut pinggang Hazel, dan mereka terjun bersama tanpa menoleh ke belakang. Kedua-duanya bergolek di atas lantai kaki lima stesen.
Lelaki itu menarik tangan Hazel lalu berlari laju mencari perlindungan. Mereka bersembunyi seketika di balik bangsal papan yang hampir roboh. Tidak lama kemudian, bunyi deruan kereta api berlalu menjauh, dan suasana kembali sunyi.
Alias menarik tangan Hazel untuk berpindah ke tempat persembunyian lain. Namun, pandangannya menangkap kelibat beberapa orang lelaki gagah dan bengis dari kenderaan panjang tadi. Lelaki jahat yang mengekori mereka sejak dari Kuala Lumpur nampaknya berjaya terjun ke landasan kereta api juga.
“Kita berpisah di sini,” kata Alias tegas sambil menolak Hazel ke arah yang berlainan. “Jangan menangis!” suara kerasnya menahan diri sendiri dari menangis.
Tangisan Hazel yang hampir pecah itu segera ditahan, berganti dengan kerutan wajah penuh kesungguhan.
“Larikan diri. Jangan sesekali berpaling,” pesan Alias, kemudian mengundur ke belakang. Tak semena-mena tangisan Hazel pecah semula.
Apalah yang boleh dilakukan oleh gadis berusia 14 tahun itu? Malam dan gelap telah menjadi musuhnya sejak azali, dan kini dia keseorangan di tempat yang belum pernah dijejakinya.
“Abang A!” jerit Hazel ketakutan.
Alias yang sudah hampir jauh menghentikan langkah, berpaling dan menghapus air mata yang keluar tanpa disedari.
“Kalau umur Hazel masih panjang, jangan lupa cari Abang A,” pesan Alias sambil tergeleng-geleng menahan sedih. “Teruskan hidup! Teruskan!” laung lelaki itu kali terakhir sebelum menghilang ke balik semak-samun.
Hazel tak mampu menghalang air mata dari luruh. Saat ini dia cukup takut. Kepalanya terasa berat, tidak mampu mencerna pesan lelaki itu. Mampukah dia pegang janji lelaki itu? Pantas dia pandang ke kiri dan kanan. Suasana gelap yang menakutkan itu mematahkan semangatnya.
Jika dia ke kanan, pasti dimakan binatang buas - suara unggas, cengkerik, dan sahutan musang yang beradun menaikkan bulu romanya. Jika ke kiri, percuma sahaja kerana di situ tanah lapang dan dia dengan mudahnya akan ditangkap lelaki jahat.
Hazel mengundur ke belakang, tidak menghiraukan deruan air sungai yang semakin kuat mengalir. Baru beberapa langkah, kakinya kejang.
Dia mendengar derap langkah kaki menghampiri. Apabila berpaling dia lihat kumpulan lelaki itu mengheret Abang Alias yang longlai.
Terus....
“Abang A!” jerit Hazel kuat. Tak percaya lelaki yang hilang seketika tadi kembali semula dalam keadaan berdarah.
Tubuhnya ingin menerpa ke arah lelaki itu, tetapi dia tahu dia tidak akan selamat. Lalu, dia mengundur perlahan-lahan. Mengingat pesan Abang Alias tadi.
Dia harus hidup.
Walau sesukar mana sekalipun, dia mesti terus hidup.
Lelaki yang memegang pisau semakin hampir.
“Habiskan! Kerat mulut dia! Itu yang bos nak. Dasar budak kecil berlagak pandai!” jerit lelaki itu garang.
Hazel mengundur lagi, semakin terdesak.
Dia tidak boleh mati. Dia masih ingin terus hidup di bumi ini.
Di saat genting itu, bayangan wajah tua di banglo mewah yang sedang menangis tak henti-henti terbayang di matanya. Meratapi kehilangannya.
Adakah tangisan itu akan berterusan sehingga ke akhir hayat?
Hazel menggeleng takut. Kesal. Dia akan kuatkan hati kerana dia sayangkan papanya.
Sungguh dia berdosa.
“Maafkan Hazel, pa!” ucapnya dalam tangisan.
Hazel mengundur. Cuba mencari pelindungan. Sayang,
Kakinya tergelincir dan dia jatuh ke bawah sambil menjerit kuat, memanggil nama “Abang A” yang akhirnya tenggelam bersama deruan air sungai yang deras.
KITA SEDANG MEMBINA KEKUATAN BARU.
Share this novel