Hari pertama yang mendebarkan. Awal-awal pagi lagi Safina sudah sampai ke pejabat. Dia mahu melihat cara orang di sini bekerja. Sewaktu tiba di Jabatan Operasi hanya Kavitha yang ada. Wanita itu menyapanya sepintas lalu sambil memberi isyarat hendak menyelesaikan kerja di dalam bilik ketua dahulu.
Safina tidak mahu mengganggu, terus ke meja sendiri. Ketika itu hanya dia seorang sahaja yang ada.
Sedang melabuhkan punggung, seseorang menyapa,
“Awalnya sampai.” Zulaikha memberikan senyuman tak percaya.
Sebagai orang baru, Safina mengangguk dan tersenyum. Dipandangnya Zulaikha yang dikenali semalam. Gadis itu tidak duduk, sebaliknya menarik laci dan menyimpan dompet serta telefon bimbit ke dalamnya.
Zulaikha langsung tak duduk diam. Selaku budak pejabat, gadis itu pantas ke sana ke mari mengemas apa yang patut. Sekejap menyapu, sekejap mengelap itu ini, tak lama mengumpulkan sampah ke dalam plastik besar. Ketika itu jam sudah lapan pagi, dan kakitangan pun tiba seorang demi seorang.
Apabila jam menganjak ke 8:30, muncul sekumpulan gadis yang tidak lepas berbual dan bergelak ketawa sambil mendekati meja mereka. Sedang Safina ralit memerhati, Zulaikha pula yang muncul di meja. Pantas tangan itu mencapai planner dan melihat senarai tugas yang perlu diselesaikan.
Hati Safina kagum; gadis itu nampak amanah orangnya. Namun, sekumpulan gadis tadi tiba-tiba menyeru nama Zulaikha,
“Jom, Zu! Kita pergi sarapan dulu.” Suara mereka riuh namun, Zulaikha pantas menggeleng.
“Jomlah Zu,” gesa gadis kedua pula.
Zulaikha sekali lagi menggeleng dan menepuk perutnya tanda sudah kenyang. Gadis-gadis itu julingkan mata ke atas lalu keluar dari pejabat sambil menyindir sinis.
Safina tidak faham. Kerana itu dia hendak ambil tahu.
“Awal betul keluar breakfast,” ujar Safina sengaja meraih perhatian Zulaikha.
Gadis itu mendengus,
“Macam tu lah kalau bos tak ada. Sedap lepak-lepak sambil makan,” balas gadis itu kesal. Muka nampak hampa, entah apa yang mengecewakan Zulaikha, Safina tidak tahu. Tetapi musykil.
Zulaikha sudah bergerak ke pantri yang hanya empat, lima langkah dari meja mereka. Kemudian gadis itu muncul dengan dua mug milo panas.
“Nah, buat alas perut! Lambat lagi nak makan tengah hari ni.” Mug di tangan diletakkan ke atas meja Safina.
“Terima kasih, Zu!” ucap Safina ramah. Tetapi dia hairan dengan gadis itu. Tadi kata dah kenyang, kenapa pula buatkan minuman.
“Minum ya, Safi. Orang banyak kerja nak buat ni.” Zulaikha tinggalkan milo yang masih panas dan kelam-kabut ke hujung dinding.
Tak mahu duduk saja, Safina mengekori,
“Buat apa?” tanyanya mahu tahu, sementelah dia masih baru dan dalam proses mengenal kerja sendiri. Diperhatikannya tingkah gadis itu.
“Nak copy kertas kerja Cik Mar ni. Kejap lagi dia sampai. Orang balik awal semalam. Tak sempat siapkan kerja ni,” ujar Zulaikha kesal.
Safina pun mengangguk faham.
“Biar Safi tolong.” Safina mahu membantu tetapi digeleng Zulaikha.
“Tak apa. Orang boleh buat sendiri.” Zulaikha pantas menyambung tugasnya tetapi terganggu kerana Safina masih tegak di sisi.
“Pergilah buat kerja,” suruh Zulaikha dalam bisikan. Suara gadis itu kedengaran takut-takut.
Safina kerutkan muka namun tetap senyum. Tak tahu nak mula dari mana kerana Kavitha menyuruh dia menunggu seketika. Wanita itu nampak kelam-kabut ke sana ke mari.
“Safi tengah tunggu Kak Vit ni,” ujarnya naif.
“Kak Vit tak bagitahu ke tugas Safi?”
Pantas Zulaikha menjenguk, tak nampak kelibat Kavitha, lalu memandang Safina semula.
“Kalau macam tu pergi duduklah. Buka komputer tu. Tentu banyak benda yang Safi akan jumpa nanti.”
Akur dengan arahan gadis itu, Safina pantas ke meja. Terus hidupkan komputer. Sementara menanti kotak ajaib itu berfungsi sepenuhnya, dia meneguk milo yang sudah suam sambil melirik ke arah Zulaikha yang nampak kalut.
Senyum pun terukir, lantas kembali memandang skrin komputer. Nampak notifikasi pada email yang belum dibuka. Cepat sekali dia ketik nama pengirim. Rupa-rupanya Kavitha sudah menghantar senarai tugasan yang perlu dibuat.
Sesungguhnya dia tak cakna. Padahal kelmarin wanita itu ada memberitahunya. Ah, itulah dia. Asyik lupa. Nasib baik di kampung ada Wafiah yang selalu menjadi tukang pengingat.
Mengingati gadis itu, hati berlayar sayu. Abaikan rasa itu dengan menggeleng sekali dua lantas larikkan senyum.
Kembali membaca tugasan yang perlu dibuat segera. Dalam ralit membaca kedengaran satu jerkahan.
Safina tergamam.
“Zulaikha!!!”
Jeritan seorang gadis cukup kuat menumbuk gegendang telinga. Pantas dia berpaling memandang ke arah pemilik suara lantang tadi. Susuk gadis berambut separas bahu dengan penampilan cukup moden sedang memicingkan mata seraya bibir terherot ke kanan. Wajah di muka pintu bilik berdekatan meja Kavitha itu nampak tegang. Sebentar kemudian susuk itu melangkah geram, bunyi tapak kasut tumit tinggi berlaga dengan lantai pejabat membuat hati Safina mengucap panjang. Sungguh, dia tak berkenan.
“Dari semalam lagi aku suruh kau buat salinan, kan? Kenapa pagi ni baru nak buat? Kan aku dah cakap, aku nak meeting pukul 9 nanti. Kau sengaja cari nahas kan? Kau sengaja nak buat aku naik darah pagi-pagi macam ni!”
Tengkingan gadis itu benar-benar mengejutkan Safina. Dia bangkit mahu tahu apa berlaku. Telahannya benar. Zulaikha sedang dimarahi gadis itu. Simpati pula dengan Zulaikha.
“Maaf, Cik Mar. Orang balik awal semalam sebab ada emergency. Pagi ni baru sempat buat.” Zulaikha memberi alasan yang bukan direka-reka. Memang gadis itu balik awal semalam kerana hendak menghantar ayahnya ke hospital. Bukan sengaja mereka-reka alasan.
Safina hanya mampu berdiri tidak jauh dari situ. Hati berasa simpati. Wajah Zulaikha nampak sayu, tidak dibuat-buat.
“Pergi letak kat dalam meeting room. Sebelum tu cek dulu. Kalau salah copy, kena kau nanti,” marah Mardiana lalu masuk ke dalam biliknya.
Zulaikha tidak bertangguh. Sebaik selesai membuat salinan, gadis itu ke bilik mesyuarat di tingkat atas. Hari ini Cik Mardiana akan mewakili pengurus operasi untuk bermesyuarat dengan pihak pengurusan tertinggi HS2. Selesai tugasan, Zulaikha kembali ke meja.
“Dah sejuk kan?” sapa Safina apabila melihat Zulaikha merenung kosong mug di atas meja. Gadis itu buat-buat senyum.
“Tak apa. Orang suka minum sejuk-sejuk,” nada suara Zulaikha kedengaran berbeza dari tadi.
“Zu okay ke?” Safina cuba meraih perhatian gadis itu.
“Okay je,” jawab Zulaikha buat-buat sibuk mencari sesuatu dalam laci meja. Sebenarnya dia malu dengan Safina. Gadis itu baru saja mula bekerja hari ini tetapi sudah nampak insiden yang memalukan pagi ini. Walaupun sekadar ditengking ketua, dia kalau boleh tidak mahu gadis itu nampak kekurangannya. Gadis itu orang baru, semestinya mahukan tunjuk ajar daripada dia.
“Zulaikha!!!”
Jeritan Cik Mardiana sekali lagi mengejutkan kedua-dua gadis itu. Zulaikha pandang Safina, makin tebal wajahnya dengan perlakuan ketuanya pagi ini.
Mardiana pula melangkah geram ke arah Zulaikha yang sudah berdiri ketakutan. Belum sempat tiba, gadis moden itu menengking staff yang baru tiba.
“Mentang-mentang bos besar tak ada minggu ni, suka hati kau orang saja nak keluar masuk. Dah ada kat papan kan, makan pagi pukul 10. Kenapa tak reti bahasa sangat ni.”
Safina diam saja, menyimpan maklumat dalam kepala. Sebaik kembali me nad ah Zulaikha, Cik Mardiana sudah tercegat di depan Zulaikha.
“Ini, kenapa boleh tertinggal.” Mardiana melemparkan sehelai kertas ke arah Zulaikha. Gadis itu tunduk mengutip kertas yang jatuh ke bawah.
“Maaf, Cik Mar!" ucap Zulaikha sebak. Namun, mata Mardiana beralih pada Safina.
“Engkau pekerja baru kan?” soal Mardiana ketika Zulaikha baru saja hendak melangkah ke mesin fotostat.
Dari jauh Zulaikha pandang Safina yang sudah berdiri hormat. Kelihatan Mardiana memandang Safina atas bawah berulang kali. Terdetik dalam hati. Tidak ada gunanya menolong Safina kerana dirinya sendiri sudah tidak tertolong.
“Kau tak ada kerja ke? Melangut macam orang mati laki.”
Sedas dua tembakan pedih terkena di batang hidung Safina.
Ya, memang dia belum ada kerja yang boleh dia buat tetapi janganlah samakan dia dengan janda pula. Perempuan mana yang hendak jadi janda. Isy, mulut perempuan ni boleh tahan juga. Kalau duduk dengan Yusrizal mesti macam perang saudara kalau berlawan cakap. Sempat lagi Safina mengolah kata dalam hati.
“Yang engkau diam tak reti nak jawab ni kenapa? Isy, macam manalah kau boleh kerja kat sini. Mulut tak ada. Tangan tak ada. Tu, mata tu letak kat mana. Pandang aku masa aku tengah bercakap. Bukan pandang lantai.” Rengus Mardiana geram.
“Maaf, Cik.” ucap Safina sopan. Malas hendak melayan perempuan seperti Cik Mardiana. Bukan dia tidak pernah berjumpa dengan perempuan begini. Sudah terlalu kerap hingga naik pening kepalanya. Silap hari bulan naik hantu jadinya.
“Kau pergi ambik penyapu. Kau sapu pejabat ni. Lepas tu kau buat apa-apa saja kerja. Jangan sampai mata aku ni nampak kau diam je kat sini. Nahas kau nanti.” Amaran Cik Mardiana diangguk saja oleh Safina. Tanpa dia sedari insiden tadi diperhatikan oleh Kavitha dari jauh.
Kavitha tidak mahu masuk campur. Dia sudah masak dengan perangai Mardiana. Andartu seorang tu memang cepat naik angin. Cuma dia kasihan dengan Safina. Selepas ini gadis itu kena banyak bersabar. Makin banyak cabaran akan tiba, Tambah-tambah lagi bila bekerja dengan beberapa staf yang banyak songeh.
Semoga menjadi asbab diri ini terus kuat selmat membaca.
Share this novel